Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA) hari ini memeterai kerjasama fasa baharu pembangunan automotif negara melalui Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) bagi pelaksanaan ‘Program Kejuruteraan xEV PERODUA-UTM’.

Kolaborasi strategik itu memfokuskan kepada pemerkasaan modal insan dan penyelidikan teknologi Kenderaan Elektrik (xEV) bagi mendepani cabaran mobiliti hijau di Malaysia. Melalui kerjasama selama lima tahun itu, seramai 10 hingga 15 pelajar cemerlang daripada program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian akan dipilih setiap tahun untuk menyertai program khas ini.

Secara keseluruhannya, para pelajar ini keseluruhannya akan mengikuti program ini selama satu setengah tahun bermula semester kedua ketika berada di tahun tiga pengajian. Pelajar terpilih akan menjalani latihan industri di PERODUA selama 10 minggu dan berpeluang memperoleh pensijilan antarabangsa Institute of the Motor Industry (IMI) Level 3.

Selain itu, Projek Sarjana Muda (FYP) mereka akan diselia secara bersama oleh jurutera pakar PERODUA bagi memastikan hasil kajian memenuhi piawaian industri.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Abdul Rahim menyifatkan kolaborasi ini sebagai anjakan paradigma dalam merapatkan jurang antara akademik dan keperluan industri.

“Melalui penubuhan Makmal Kejuruteraan xEV PERODUA-UTM yang dilengkapi peralatan canggih, graduan kami akan memiliki kelebihan daya saing yang tinggi. Integrasi kursus elektif kejuruteraan kenderaan elektrik bateri (BEV) dalam kurikulum dan akses kepada teknologi simulasi terkini seperti sistem Hardware in the Loop (HIL) pula akan menjadikan graduan UTM sentiasa relevan dan ‘future-ready’,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, inisiatif itu adalah langkah proaktif syarikat dalam membina ekosistem xEV yang mampan serta kompetitif di peringkat global.

“Kerjasama ini bukan sekadar pemindahan teknologi, malah ia adalah pelaburan jangka panjang untuk melahirkan jurutera ‘masa hadapan’ yang mahir dalam kejuruteraan kenderaan elektrik. Dengan bimbingan terus daripada jurutera kami, pelajar akan didedahkan kepada realiti sebenar industri automotif moden,” katanya

Sebagai sokongan kepada program tersebut, PERODUA turut menyumbangkan peralatan teknikal dan dua (2)unit kenderaan PERODUA QV-E bagi tujuan pembelajaran praktikal di Makmal Kejuruteraan xEV PERODUA-UTM.

Menerusi kerjasama ini, UTM akan terus memperkukuh hubungan strategik bersama industri bagi memastikan pembangunan bakat dan inovasi negara sentiasa seiring dengan keperluan semasa, seterusnya menyumbang kepada agenda kelestarian serta kemajuan sektor automotif negara.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini