Pepper Labs terus memperkasakan kemahiran rakyat Malaysia dalam menyokong aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara AI-Ready menjelang 2030.

Berdasarkan usaha berterusan dalam memperkukuh literasi dan kompetensi AI di seluruh Malaysia, serta kejayaan mencapai lebih 350,000 peserta setakat ini, Pepper Labs telah dipilih sebagai penyedia latihan tempatan di bawah AI Opportunity Fund: Asia-Pacific Phase 2, sebuah inisiatif oleh Asian Venture Philanthropy Network (AVPN) dengan sokongan Google.org dan Asian Development Bank (ADB).

Melalui inisiatif ini, Pepper Labs akan melaksanakan program peningkatan kemahiran AI yang bertujuan melengkapkan 50,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran praktikal kecerdasan buatan (AI), yang ditawarkan secara percuma kepada peserta.

AVPN merupakan rangkaian pelabur sosial terbesar di Asia, merangkumi lebih 700 ahli pelbagai latar belakang di 43 pasaran. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen AVPN untuk memperkukuh tenaga kerja digital serantau dengan memperluas akses kepada pembangunan kemahiran AI.

Usaha ini bertujuan membina kesiapsiagaan AI secara inklusif merentasi pelbagai sektor, dengan menyasarkan pelajar pendidikan tinggi dari universiti, politeknik dan kolej komuniti, selain pendidik, jurulatih vokasional serta usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pengarah Urusan Pepper Labs, Selan Rajendran berkata, pengiktirafan ini mencerminkan komitmen organisasi dalam memperluas akses saksama kepada teknologi baharu.

“Kami berbesar hati dipilih sebagai rakan strategik kepada AI Opportunity Fund: Asia-Pacific. Pengiktirafan ini mengukuhkan komitmen kami untuk memperluaskan peluang AI yang inklusif dan berimpak tinggi, serta memperkasa rakyat Malaysia daripada pelbagai komuniti untuk berkembang dalam masa depan digital yang semakin pesat,” katanya.

Pepper Labs akan menyediakan latihan berstruktur yang direka untuk melengkapkan peserta dengan pengetahuan AI serta kemahiran digital secara praktikal bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa kini, termasuk pendedahan kepada Generative AI, Agentic AI dan Applied AI.

Inisiatif ini memastikan keupayaan AI dapat diakses bukan sahaja dalam sektor teknologi, malah memberi manfaat kepada komuniti dalam bidang pendidikan, keusahawanan dan perkhidmatan awam.

Golongan pendidik, termasuk guru sekolah, pensyarah dan jurulatih vokasional, merupakan fokus utama inisiatif ini.

Dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), inisiatif ini akan melengkapkan pendidik dan pelajar dengan kompetensi AI yang penting, sekali gus menyokong integrasi kemahiran ini dalam persekitaran pengajaran dan pembelajaran serta memberi impak jangka panjang kepada pelajar dan institusi.

Pada masa yang sama, usahawan PMKS juga akan diperkenalkan kepada penggunaan alat AI praktikal yang dapat meningkatkan produktiviti, mengukuhkan daya saing dan memperbaiki kesiapsiagaan digital. Dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), inisiatif ini menyokong pembangunan ekosistem PMKS yang lebih berdaya tahan dan diperkasa secara digital.

Di peringkat serantau, Pepper Labs merupakan antara 18 penyedia latihan tempatan yang dipilih di bawah AI Opportunity Fund Fasa 2 di rantau Asia Pasifik, menyumbang kepada misi lebih besar untuk memperluas akses AI kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan serta menyokong pertumbuhan digital yang inklusif.

Kerjasama ini turut mengukuhkan kedudukan Pepper Labs sebagai pemain utama dalam pembangunan bakat AI dan penyelesaian teknologi di Malaysia, serta sebagai rakan pilihan bagi organisasi korporat dan sektor awam.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini