Samsung terus mengukuhkan kedudukan dalam segmen pertengahan menerusi Galaxy A37 5G. Tahun ini, fokus utama jelas diberikan kepada integrasi ciri AI yang sebelum ini eksklusif untuk siri flagship. Namun persoalannya – adakah ia cukup untuk menjadikan peranti terbaharu ini satu naik taraf yang signifikan?
Bagaimana pula persaingan dengan peranti lain yang semakin canggih dengan ciri-ciri terkini yang ditawarkan pada harga yang lebih rendah dan kadang kala tidak masuk akal.
Sebagaimana model keluaran terdahulu, Samsung Siri A kekal menjadi peranti popular rakyat Malaysia kerana prestasi, reka bentuk dan paling penting harga yang berpatutan.
Rekaan Masih Sama, Tapi Lebih Tahan Lasak
Secara luaran, Galaxy A37 5G tidak banyak berubah berbanding generasi sebelumnya. Ia masih menggunakan rekaan minimalis dengan kemasan kaca berkilat serta modul kamera menegak di belakang.
Apa yang menarik, Samsung kini menaik taraf ketahanan dengan penarafan IP68 – satu peningkatan yang jarang dilihat dalam kelas ini. Ciri kalis air dan habuk tetap menjadi keutamaan apatah lagi dalam keadaan cuaca Malaysia yang kadang-kadang hujan serta panas yang tidak menentu.
Jika dilihat secara kasar, rekaan bezel skrin pada sebelah kanan peranti ini diberikan pembaharuan seolah-olah mempunyai tapaknya tersendiri menjadikan rekaannya lebih kemas dan kelihatan eksklusif.
Skrin
Samsung sekali lagi membawakan paparan berkualiti tinggi melalui panel 6.7 inci Super AMOLED+. Kelebihan utama tahun ini adalah tahap kecerahan yang mencecah 1900 nits, menjadikannya lebih mudah digunakan di bawah cahaya terang.
Gabungan Vision Booster dan kadar segar semula adaptif 120Hz menjadikan pengalaman penggunaan harian lebih lancar dan selesa.
Bagi mereka yang memerlukan sebuah peranti yang berfungsi baik dibawah cahaya terang khususnya mereka yang terbabit dalam bidang penghantaran makanan atau barangan, peranti ini mampu membantu memudahkan kerja harian anda.
Prestasi Lebih Baik Dengan Sentuhan AI
Dikuasakan cip Exynos 1480, Samsung A37 5G ini menawarkan prestasi yang sedikit lebih baik berbanding A36. Namun fokus sebenar adalah pada ciri AI seperti:
- Suntingan gambar pintar (AI editing)
- Transkripsi suara ke teks
- Pemprosesan imej lebih baik
Ciri ini memberi nilai tambah namun untuk menikmatinya atau mendapatkan akses anda hanya perlu menghubungkan peranti ini dengan mana-mana akaun Google. Ciri transkripsi suara ke teks memudahkan kerja harian bagi mereka yang memerlukan peranti bagi tujuan merakamkan kuliah tanpa perlu mengambil nota khususnya kepada pelajar kolej.
Kamera Dipertingkat
Kamera utama 50MP kini hadir dengan sensor lebih besar untuk tangkapan cahaya lebih baik. Hasil gambar secara keseluruhan memuaskan, tetapi sedikit kecewa kerana zoomnya hanya ditawarkan pada tahap maksimum 10 kali ganda sahaja.
Bagaimanapun, ciri kamera mod malamnya tidak mengecewakan. Ciri Nightography yang dioptimumkan pada Galaxy A37 5G membolehkan anda merakam momen yang terang walaupun dalam keadaan cahaya rendah.
Kamera sudut lebar yang menyokong ISP yang dipertingkat untuk menghasilkan video yang lebih hidup dengan perincian lebih tajam, walaupun dalam suasana gelap.
Sokongan video Super HDR untuk swafoto pula membolehkan anda menghasilkan kandungan yang dinamik dengan butiran yang jelas, latar belakang yang tajam serta warna dan kontras yang dipertingkatkan.
Rakaman gambar menggunakan mod zoom juga tidak mengecewakan dan ini dapat dilihat menerusi gambar dibawah ini.
Peranti ini juga secara pintar mampu mempertingkatkan butiran foto dengan cepat dan mudah. Sistem kamera belakang secara automatik mengenal pasti latar belakang, subjek hadapan dan langit dalam gambar potret, kemudian meningkatkan kualiti imej pada kulit, wajah, rambut dan banyak lagi.
Lihat hasil gambar-gambar yang dirakam menggunakan mod malam Samsung A37 5G yang lebih jelas berbanding menggunakan mod biasa.
Circle to Search
Gunakan Circle to Search dengan Google untuk mencari pelbagai item hanya dengan melingkari sesuatu pada skrin. Sebagai contoh, anda boleh melingkari pakaian yang dipaparkan dan sistem akan membantu anda mencari setiap komponennya — daripada baju hingga kasut dan aksesori lain — semuanya dalam satu carian. Anda hanya perlu lingkari, cari dan temui gaya tersebut terus dari skrin anda.
Nah…ada satu lagi ciri menarik ialah Oject Eraser dimana anda boleh memadamkan mana-mana gambar yang tidak dikehendaki dengan pantas. Berguna jika ada gemar berswafoto tetapi diganggu oleh kelibat orang yang lalu lalang dibelakang anda.
Perisian
Galaxy A37 5G direka dengan pemproses Octa-core yang canggih, menawarkan prestasi berkuasa sepanjang hari. Anda boleh bermain, mencipta dan menyunting kandungan dengan lancar serta lebih yakin.
Ini adalah hasil daripada peningkatan prestasi CPU sehingga 12 peratus dan GPU sehingga 19 peratus berbanding model sebelumnya. Memori LPDDR5X yang dipertingkat turut membantu meningkatkan keupayaan multitasking, manakala sistem vapor chamber memastikan telefon tidak mudah panas—membolehkan anda kekal sejuk walaupun ketika asyik bermain ‘game’ yang intensif.
Selain peranti ini memberikan prestasi lebih baik untuk tujuan ‘gaming’, reka letak dan susunan setiap pemuka pada peranti ini cukup kemas serta lancar, menjadikan pengalaman menggunakan peranti ini lebih menyeronokkan.
Bagi anda yang gemar menggunakan avatar, peranti ini juga menawarkan pilihan untuk menghasilkan avatar anda sendiri mengikut gaya yang dikehendaki dengan mudah.
Bateri
Menurut spesifikasi dibekalkan oleh Samsung, bateri 5,000mAh bagi peranti ini mampu bertahan sekitar satu hari penggunaan normal dan tahan sehingga dua hari dengan satu cas penuh. Sokongan pengecasan pantas 45W adalah satu kelebihan, tetapi kepala pengecas tidak disertakan dalam kotak.
Anda boleh menikmati kandungan, media sosial atau bermain ‘game’ tanpa perlu mengecas sehingga dua hari. Apabila anda memerlukan tambahan kuasa, sambungkan pengecas dengan sokongan Super Fast Charging 2.0 dan capai sehingga 60 peratus cas hanya dalam masa 30 minit.
Sokongan Perisian
Peranti Samsung A37 kali ini menawarkan sehingga 6 tahun kemas kini, menjadikan A37 antara peranti kelas pertengahan paling tahan lama daripada segi sokongan.
Kesimpulannya, peranti ini menawarkan ciri AI terkini dan peranti yang stabil serta boleh diharap untuk kegunaan harian.
Peranti ini juga dipadankan dengan ciri amaran krisis dimana pengguna akan diberikan isyarat amaran sekiranya berlaku sesuatu bencana melanda kawasan sekitar dengan menetapkan tetapan butang lokasi pada peranti ini.
Samsung Malaysia menawarkan Samsung Galaxy A37 5G dalam dua varian memori untuk memenuhi keperluan pengguna yang berbeza.
Varian pertama menampilkan konfigurasi 8GB RAM dengan storan dalaman 256GB, dijual pada harga RM1,899.
Varian kedua pula dengan 12GB RAM dan storan 256GB, ditawarkan pada harga RM1,999. Kedua-dua varian ini menampilkan pilihan warna yang sama iaitu Awesome Lavender, Awesome Charcoal dan Awesome GrayGreen.
Untuk pasaran Malaysia, harga yang ditawarkan adalah seperti berikut:
Galaxy A37 5G (12GB + 256GB) = RM1,999 (RM1,899 selepas rebat)
Galaxy A37 5G (8GB + 256GB) = RM1,899 (RM1,699 selepas rebat)
Spesifikasi Samsung Galaxy A37 5G:
- Paparan : 6.7” Super AMOLED FHD+ (1080 x 2340 FHD+), 120 Hz
- Pemproses: Exynos 1480
- OS: Samsung One UI 8.5 + Android 16
- Saiz: 162.9 x 78.2 x 7.4mm
- Berat: 196 gram
- Memori: 12GB
- Storan: 256GB
- Bateri: 5000mAh Fast Charging 45W
- CPU: Octa-core (2.75 GHz + 2GHz)
- Kamera belakang: 50MP + 8MP + 5MP
- Kamera depan: 12MP
- Ciri Menarik: Pengimbas cap jari, surround sound Dolby Atmos, IP68
- Warna:Awesome Lavender, Awesome Charcoal dan Awesome GrayGreen.
- Harga: RM1,999
Meh. Prebiu.com belanja gambar-gambar menarik yang dapat dirakam ketika penulis berada di Pulau Langkawi baru-baru ini. Gambar Menara MAHA dirakam menggunakan mod malam yang kelihatan lebih cantik berbanding mod biasa.
Begitu juga gambar feri Langkawi dan beberapa kapal mewah yang kebetulan berlabuh di jeti Kuah ketika gambar dirakam pada waktu tengahari.
#AYETetapNgam
#NgamChoice
#NgamLaju
#GalaxyA37 5G







































