Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim menganjurkan Seminar Penyelidikan Kebangsaan 2025 (SPK 2025) secara hibrid di Bilik Bursa, Blok 10, Kampus Sultan Azlan Shah, semalam.

Bertemakan “Memperkasa Penyelidikan dan Pembangunan Melalui Inovasi dan Integrasi
Kecerdasan Buatan (AI)”, seminar itu menghimpunkan pembentang artikel dan inovasi dari
pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Dekan FPE, Prof Madya Dr Mohd Asri Mohd Noor berkata, tema yang dipilih bertepatan
dengan cabaran era Revolusi Industri 4.0, sekali gus menekankan keperluan penggunaan AI dalam penyelidikan.

“AI bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan yang berperanan sebagai pemangkin
memperkayakan ilmu, merangsang idea baharu serta memacu penyelidikan berimpak tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan seminar itu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik termasuk HELP University,
Maths Proofread, Spectrum International University College dan Global Academic
Excellence atas sokongan menjayakan program tersebut.

Seminar itu menampilkan Naib Canselor HELP University, Prof Andy Liew Teik Kooi
sebagai penceramah ucaptama, selain perkongsian daripada Naib Canselor Hensard
University, Prof Dr Dileep Kumar M.; Pensyarah Kanan UPSI, Dr Muhamad Hariz Muhamad
Adnan; dan Pensyarah Kanan London South Bank University, Dr Arsalan Mujahid Ghouri.

Menurut penganjur, SPK 2025 menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama antara
ahli akademik, pelajar dan industri melalui pembentangan hasil penyelidikan dalam bidang
ekonomi, pengurusan, keusahawanan, perakaunan serta disiplin lain.

Selain itu, ia turut menyokong agenda universiti dalam meningkatkan pencapaian penarafan Malaysia Research Assessment (MyRA), SETARA dan QS Ranking, serta memberi peluang kepada peserta menerbitkan hasil kajian dalam jurnal berindeks MyCite terbitan FPE.

Prof Madya Ts Dr Kesavan Nallaluthan menyampaikan ucapan alu-aluan sempena
SPK2025

Pengarah Program SPK 2025, Prof Madya Ts Dr Kesavan Nallaluthan berkata pihaknya
sebelum ini mempromosikan seminar itu bersama Prof Andy Liew dalam program RTM
bertajuk “AI SPK2025: Kuasa Baharu Dunia Penyelidikan” yang bersiaran pada 21 September lalu.

SPK 2025 turut mengekalkan keunikan dengan membuka penyertaan kepada pelajar
pascasiswazah melalui yuran berpatutan selain menawarkan format pembentangan dan
pertandingan inovasi yang lebih interaktif.

Sejak dianjurkan beberapa tahun lalu, SPK terus mendapat sambutan menggalakkan dalam
kalangan penyelidik muda dan pensyarah IPT, sekali gus diyakini mampu memberi impak
positif terhadap perkembangan penyelidikan dan budaya penerbitan ilmiah di UPSI serta
peringkat kebangsaan.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini