Sikap Israel yang bongkak dan nekad melancarkan lancar serangan di Asia Barat mencetuskan ketegangan di antara negara yang berkonflik dan mengancam ketenteraman negara serantau.

Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, tindakan Amerika Syarikat yang suka campur tangan untuk membuat serangan balas memburukkan lagi keadaan.

Beliau berkata, ketegangan yang berlaku di rantau Asia Barat seolah-olah menuju ke arah perang dunia ketiga kerana perang Israel dan genosid ke atas Gaza telah merebak ke negara lain sekali gus menjadikan konflik itu semakin meluas hingga ke Lubnan serta Iran.

“Di Selatan Lubnan, beberapa pemimpin penting telah dibunuh. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mesti mengambil pendirian dan dunia perlu menentang serta mengecam pencerobohan dan serangan yang berterusan dilakukan oleh Israel yang bersikap kebinatangan dan tidak berperikemanusiaan.

“Ketegangan dan keganasan itu sengaja dilakukan oleh Israel untuk mengalih pandangan dunia terhadap kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin. Usaha damai masih belum menemui titik nokhtah apatah lagi gencatan senjata yang belum ada kata muktamad,” katanya.

Dr Mustapha berkata, perang Israel-Gaza telah merebak ke konflik Asia Barat semuanya atas alasan ingin mengekang keganasan malah tindakan Iran merupakan reaksi tindak balas kepada provokasi Israel yang membunuh pemimpin Hizbullah iaitu Hassan Nasrallah, membunuh pemimpin politik Hamas Ismail Haniyeh dan keganasan Israel ke atas Palestin yang tiada kesudahan.

Katanya, Iran juga tidak akan berdiam diri dan akan melakukan serangan yang lebih dashyat sekiranya Israel masih dengan sikap provokasi dan memandang rendah terhadap kekuatan yang dimiliki oleh Iran.

Menurutnya, bagi meredakan ketegangan di Asia Barat, negara-negara Arab harus bersatu dan bekerjasama menghalang Israel serta sekutunya dari berbuat sesuka hati. Ini adalah masanya untuk negara-negara Islam bangkit dan bersatu untuk buktikan bahawa kita tidak lemah dan senang ditindas.

“Sebenarnya Negara negara Arab mempunyai senjata yang dikira lagi berkuasa tetapi mereka masih lagi tidak menggunakannya. Sebagai pengeluar minyak terbesar dunia kita boleh sekat kebergantungan Israel dan sekutunya. Dengan cara ini kita dapat menundukkan kesombongan Israel. Kita percaya bangsa Arab mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi sesama mereka dan tidak mudah menyerah kalah.

“Konflik ini sekiranya berlarutan akan memberikan kesan kepada tindakan pelabur, pasaran global, harga minyak dunia meningkat. Ianya turut menjejaskan ekonomi dunia dan hubungan sosial. Semua pihak termasuk kerjasama semua negara-negara Islam mesti mengadakan perbincangan bagi mencari jalan terhadap konflik yang berlaku di Asia Barat,” katanya.

Kesimpulannya, negara-negara OIC perlu tegas mengambil keputusan kerana sikap Amerika yang sentiasa menyokong Israel walaupun Amerika tahu sikap dan tindakan Israel adalah salah mengikut peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi kerana politik, ekonomi dan kuasa disebalik itu Israel terus berani serta melanggar peraturan PBB penyelesaian menjadi sukar kerana kedegilan Israel di sokong Amerika.

OIC perlu tegas, berani untuk membuat keputusan dengan menggunakan kuasa sebagai negara pengeluar minyak untuk menghentikan perang yang boleh merebak ke Asia barat dan perang ini tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya memberi kesan Ekonomi Dunia serta keselamatan serantau serta Antarabangsa.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini