Agrobank hari ini menandatangani memorandum persefahaman bersama Borong (dahulunya dikenali sebagai Dropee) dengan pembiayaan berjumlah RM300 juta ditawarkan kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS) melalui Program Digital Niaga.
Inisiatif ini adalah kolaborasi strategik dalam usaha untuk membangunkan ekosistem berasaskan perniagaan digital pertanian dan agrobisnes.
Kerjasama strategik dimeterai antara Agrobank dan Borong memberi manfaat kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian kepada akses pembiayaan yang lebih komprehensif dengan menawarkan pilihan pembiayaan yang berpatutan. Melalui platform digital Borong, Agrobank dapat menyediakan pembiayaan kepada PMKS mengikut keperluan masing-masing untuk pembangun serta pengembangan perniagaan.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Agrobank selain menawarkan bantuan pembiayaan ia juga memberikan latihan keusahawanan kepada para usahawan. Akses kepada latihan keusahawanan ini dapat membantu para peniaga memperkukuh strategi perniagaan supaya mereka dapat meningkatkan daya saing di pasaran yang semakin mencabar.
Tambahan pula, perniagaan yang inovatif dan berdaya tahan akan memacu pembangunan ekonomi negara terutamanya dalam memasarkan produk-produk tempatan yang berkualiti tinggi melalui platform digital terutamanya bagi sektor pertanian”
Pengarah Urusan, Borong Aizat Rahim berkata, Program Digital Niaga adalah peluang keemasan untuk perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS) untuk melonjakan perniagaan mereka. Program ini menyediakan platform untuk mereka mencari kemudahan digital yang sesuai dan akses kepada sumber kewangan. Ini bertujuan untuk meningkatkan pendapatan dan memperkasakan usahawan-usahawan PKMS di Malaysia melalui penyelesaian dan rangkaian perniagaan.
Melalui kerjasama ini, Agrobank dan Borong komited untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang baharu untuk 15,000 PKMS di Malaysia. Dengan menggabungkan bantuan pembiayaan dan akses kepada pasaran yang luas melalui platform Borong, kolaborasi ini dijangkan akan memperkasakan PKMS dan menyumbang kepada keseluruhan pembangunan negara. Usaha ini berpotensi menjana impak ekonomi bernilai RM8.6 bilion dalam tempoh 3 tahun.
Simbolik pemeteraian perjanjian ini telah disempurnakan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, dan Aizat Rahim, Pengarah Urusan Borong sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup di MAEPS Serdang bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2024 (MAHA 2024).