Baru sahaja selesai membuat persiapan memasuki sesi persekolahan yang baharu pada Mac lalu, kini ibu bapa perlu membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Rata-rata masyarakat menyatakan kekangan kewangan dan kos sara hidup yang semakin meningkat membuatkan mereka memilih untuk tidak membeli baju raya pada tahun ini.
Memahami bebanan kewangan yang dihadapi oleh masyarakat, pengasas Sabella Holding yang sinonim dengan trademark ‘Baju Kurung Tidak Perlu Gosok’, Siti Fatimah Abd Samad melancarkan Bazar Aidilfitri Sabella, jualan gudang di mana para pelanggan dapat memiliki baju raya pada harga yang sangat berpatutan.
“Sempena Ramadan kali ini, kita tawarkan harga yang sangat berbaloi iaitu sepasang baju kurung berharga serendah RM30 dan bukan itu sahaja, pelanggan yang membeli dua pasang baju kurung akan menerima sepasang baju kurung secara percuma”, katanya.
Bagi memenuhi permintaan dan keperluan pelanggan sepanjang tempoh jualan gudang, Sabella menyediakan stok pakaian baju kurung sebanyak 300,000 pasang untuk semua lima gudang yang terlibat.
Siti Fatimah berkata, pelanggan berpeluang mendapatkan pelbagai pilihan baju kurung pada harga serendah RM30 sehingga RM40. Selain jualan gudang, pelanggan juga boleh membuat pembelian secara dalam talian bagi semua koleksi terbaru Sabella.
Jualan gudang ini berlangsung pada 15 Mac sehingga 7 April di lima buah lokasi iaitu di Sabella HQ, Batu Caves, Mydin Tunjong, Kelantan, Terengganu Equestrian Resort, Terengganu, Dewan Teratai, Shah Alam dan Masjid UKM, Bangi.
Sementara itu, pengasas Noir Health & Beauty, Eriyca Baiduri atau mesra disapa Madammu turut hadir di gudang Sabella bagi mengagihkan 1,000 pasang baju raya percuma bagi golongan yang tidak berkemampuan. Program pengagihan baju raya ini merupakan kolaborasi di antara Noir dan Sabella.
Ketika ditemui, Madammu menyatakan niatnya untuk berkongsi rezeki tercetus semasa menunaikan umrah bersama suami dan ketika itu beliau terbaca mengenai perkongsian orang ramai yang mengakui tidak mampu membeli baju raya.
“Kebetulan Sabella juga sedang menjalankan jualan gudang jadi saya terfikir kenapa tidak kita ambil sahaja (stok baju raya) dan membuat agihan terus di lokasi gudang”, katanya.