Syarikat rundingan media dan pengiklanan terkenal, NKMH Media Sdn Bhd (NKMH) dengan kerjasama Pertubuhan Ad Deen mengagihkan pek makanan di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, sempena Ramadan menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), semalam.

Program yang berlangsung di Warung Makan Sahabat ini meraikan lebih 300 orang masyarakat kurang bernasib baik terdiri daripada golongan gelandangan, mualaf dan asnaf di sekitar Chow Kit.

Pengarah Operasi NKMH Media Sdn Bhd, Muhamad Hafiz Che Yahya berkata, program CSR yang masuk tahun ke-7 ini sedikit berbeza kerana pihaknya mensasarkan semua lapisan masyarakat di sekitar Chow Kit tanpa mengira bangsa dan agama.

“Program CSR ramadan sebelum ini kita raikan bersama anak-anak yatim dan golongan asnaf tetapi kali ini kita ingin membuat kelainan dengan menyantuni rakan jalanan yang terdiri daripada golongan gelandangan dan individu kategori miskin bandar. Mereka bukan sahaja beragama islam dan mualaf tetapi juga kaum India dan Cina”, katanya.

Muhamad Hafiz berkata, ramai di antara penerima pek makanan bukan sahaja gelandangan tetapi individu yang mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal.

“Mereka ini (golongan miskin bandar) juga datang untuk mengambil sumbangan pek makanan kerana mereka hidup dalam keadaan daif dan tidak mampu membeli makanan terutama pada hujung bulan,” katanya.

Selain program itu, pihaknya turut menjalankan beberapa program CSR lain seperti infaq kain kafan dan wakaf van jenazah.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Ad Deen, Ustaz Khairul Sani berkata, golongan sasaran dalam program terbabit adalah gelandangan di sekitar Jalan Pahang, di sini.

“Ada yang hadir menerima sumbangan pek makanan ini dari luar Kuala Lumpur, mereka sanggup datang dari jauh kerana makanan yang disediakan di sini sedap dan memenuhi citarasa mereka,” katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak RM1 juta sumbangan daripada orang ramai pada tahun ini yang digunakan untuk penganjuran program CSR seperti wakaf van jenazah, infaq kain kafan dan pek makanan.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini