Masyarakat Islam di Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan kemunculan satu ajaran sesat menggunakan nama ‘The Ahmadi Religion Peace and Light’ atau ‘Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya’ yang dikepalai oleh seorang individu mengaku bahawa dirinya ialah Imam al-Mahdi dengan menggunakan gelaran Abdullah Hashem Aba al-Sadiq. Manakala pendeta (bishop) mereka di Malaysia dan Indonesia bernama Kashfullah Bin Amaluddin.
Ajaran sesat ini aktif melakukan pelbagai platform media sosial. Namun mereka menjadi agak popular melalui penstriman langsung (live stream) di platform TikTok.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, kebimbangan tercetus kerana akaun Tiktok tersebut mempunyai pengikut lebih 30,000 pengikut (followers) dan mempunyai jumlah penonton yang ramai selain menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa komunkasi mereka.
Menurut laporan, mereka difahami dan beroperasi di luar negara. Di aplikasi YouTube pula, saluran (channel) The Ahmadi Religion of Peace and Light (AROPL) mempunyai seramai 24.3K pengikut (subscribers) dan 275 video.
“Ajaran ini menyeru orang ramai agar turut menjadi pengikut Imam al-Mahdi dan pemimpin-pemimpin Imam Mahdi yang didakwa telah muncul masa kini; mereka juga mempercayai penjelmaan semula (reincarnation), juga mempercayai bahawa utusan-utusan Tuhan itu terdiri daripada pelbagai manusia yang hebat daripada pelbagai agama seperti Nabi Ibrahim, Krishna, Zoroaster, Buddha, Zeus, Moses, Aristotle, Socrates, Pythagoras, Plato, Nabi Isa and Nabi Muhammad SAW,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Falsafah dan konsep ajaran ini jelas mengandungi banyak percanggahan dengan ajaran Islam, dan bersifat plularisma agama. Walaupun luarannya seolah-olah menampakkan ianya berbaur ajaran Islam, tetapi orang yang memiliki sedikit ilmu pengetahuan ajaran Islam pasti menyedari ajaran ini jelas menyalahi ajaran Islam yang sebenar.
Pihak IKIM ingin menegaskan bahawa Ajaran the Ahmadi Religion of Peace and Light (AROPL) yang didapati disebarkan secara dalam talian pada masa ini merupakan ajaran sesat yang tiada kaitan dengan ajaran Islam, walaupun kandungannya dilihat banyak memetik ayat-ayat al-Qur’an, dan al-Hadith Nabi SAW,
Sebagai inisiatif membantu pembendungan ajaran sesat ini, IKIM akan menggunakan semua saluran dan platform seperti Radio, TVIKIM, media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok dan sebagainya bagi memberikan kefahaman jelas kepada masyarakat berhubung isu ini dan menyedarkan masyarakat awam betapa bahayanya ajaran sesat ini jika ia menular.
IKIM memandang serius isu ini dan akan melakukan sebarang usaha untuk membendung penyebaran ajaran sesat di Malaysia.