Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) telah melancarkan kempen Pajak Gadai-i baharu iaitu “Gadai Emas Menang Emas” yang berlangsung dari 1 Mac 2021 sehingga 31 Disember 2021.

Kempen ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM500,000.00 kepada pelanggan sedia ada dan juga pelanggan baharu Pajak Gadai-i.

Hadiah Utama  yang ditawarkan adalah barangan kemas emas pelbagai jenis 916 (22k) bernilai RM100,000.00 sementara hadiah tempat kedua berupa barangan kemas emas pelbagai jenis 916 (22k) bernilai RM 75,000.00 manakala hadiah tempat ketiga adalah  barangan kemas emas pelbagai jenis 916 (22k) bernilai RM25,000.00.

Sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan Pajak Gadai-i, Bank Muamalat juga menawarkan 1 gram kepingan emas 999 (24k) eksklusif berlogo Bank Muamalat untuk 100 pemenang bulanan yang terpilih sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Kini, pelanggan boleh mencagarkan barang kemas atau akaun emas mereka bagi memenuhi keperluan tunai segera atau untuk tujuan pelaburan. Mereka sekaligus layak secara automatik menyertai kempen “Gadai Emas Menang Emas” ini.

Pajak Gadai Islam Bank Muamalat bukan sahaja memenuhi keperluan tunai segera melalui gadaian.

Ia juga boleh digunakan bagi tujuan simpanan emas kerana kadar keuntungan yang dikenakan adalah di atas nilai pembiayaan, dan bukan di atas nilai emas yang dicagarkan oleh pelanggan yang lazimnya diamalkan industri Pajak Gadai Islam sekarang. Oleh itu, pelanggan akan menikmati kadar bayaran keuntungan yang lebih rendah.

Ini bersesuaian dengan keadaan semasa di mana harga emas yang rendah menggalakkan ramai pelanggan membeli emas di kedai emas yang kemudiannya boleh disimpan di Bank Muamalat dengan selamat di samping menikmati kadar bayaran keuntungan yang rendah.

Berikutan keadaan semasa pandemik COVID-19, Bank Muamalat menyahut saranan kerajaan untuk mempercepatkan proses pendigitalan masyarakat dengan menawarkan Gadaian Semula secara dalam talian.

Para pelanggan sedia ada tidak perlu hadir ke cawangan untuk membuat gadaian semula. Mereka hanya perlu menghubungi Bank Muamalat dan pegawai yang ditetapkan akan meneruskan proses gadaian semula seperti yang dipersetujui oleh pelanggan. Gadaian semula secara dalam talian ini juga merupakan yang pertama di Malaysia bagi perkhidmatan Pajak Gadai-i.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Khairul Kamarudin berkata dengan pelancaran “Gadai Emas Menang Emas,” Bank Muamalat menyasarkan pertumbuhan nilai gadaian sebanyak RM100 juta sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Kempen “Gadai Emas Menang Emas,” adalah siri kempen keempat selepas kejayaan kempen “Kembara 999 Pajak Gadai-i” yang telah dilancarkan pada 1 Mei 2020 dan berakhir pada 31 Januari 2021 yang turut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM500,000.00.

Menerusi kempen “Kembara 999 Pajak Gadai-i,” Bank Muamalat telah mencatatkan peningkatan 248% nilai gadaian bagi perkhidmatan Pajak Gadai-i, bersamaan RM126 juta. Kempen ini telah menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan perkhidmatan Pajak Gadai Islam, menerusi 67 cawangan Bank Muamalat di seluruh Malaysia,“ katanya dalam kenyataan.

Hadiah utama kempen “Kembara 999 Pajak Gadai-i” yang merupakan  sebuah kereta Proton  X70 telah dimenangi oleh Zalena Nyan, sementara Hadiah Kedua, sebuah Proton Iriz telah yang dimenangi oleh Sabariah Ab Rahman dan hadiah ketiga berupa wang tunai RM10,000.00 pula telah dimenangi oleh Sitti Aminah @ Sitti Halimah Sari.

Hadiah keempat hingga kesembilan yang merupakan pakej umrah atau baucar percutian bernilai RM10,000 setiap satu dimenangi oleh Noor Shuhaila Mohamad, Mohammad Khairul Aizat Alias, Zulkifli Mohamad, Mohd Fauzi Mohd Salleh, Hasnah Ab Aris dan Rogine a/p Balan.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen “Gadai Emas Menang Emas”, sila layari laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my atau kunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat.