Perodua menganggarkan jualan sebanyak 20,399 kenderaan pada April – termasuk 4,624 unit Ativa, mewakili lebih 22% daripada jumlah tersebut – melonjakkan jumlah pendaftaran Ativa sejak pelancarannya pada 3hb Mac lalu kepada hampir 9,000 unit.

Permintaan bagi Perodua Ativa kekal tinggi dengan hampir 290 tempahan sehari secara
purata.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu yang
diberikan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

President & CEO Dato’ Zainal Abidin Ahmad

“Tempoh menunggu Ativa kini dari dua hingga empat bulan, bergantung kepada warna dan
varian yang diingini. Kami menasihatkan para pelanggan kami yang dihargai untuk bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat mengenai tempoh menunggu bagi pelbagai kombinasi varian-warna Ativa,” katanya.

Jualan 20,399 kenderaan Perodua pada April mencatatkan penurunan sebanyak 16.5%
daripada 24,431 unit pada Mac berikutan isu kekurangan cip semikonduktor yang memberi
kesan negatif kepada pelbagai industri secara global.

“Walaupun isu kekurangan cip semikonduktor masih berlangsung secara global, Perodua
berjaya menghasilkan 20,278 kenderaan pada April 2021, menjadikan jumlah pengeluaran
kami setakat tahun ini sebanyak 80,661 unit,” katanya.

Jualan April 2021 melonjakkan jumlah jualan Perodua setakat tahun ini kepada 78,304
kenderaan, mewakili peningkatan 74% berbanding jualan 45,034 unit dalam empat bulan
pertama 2020 berikutan pendaftaran minimum pada April 2020 akibat Perintah Kawalan
Pergerakan pertama.

“Isu kekurangan cip merupakan keutamaan kami buat masa ini. Kami sedang mengkaji
kesemua sumber yang ada untuk menanganinya, termasuk bekerjasama dengan pihak
kerajaan dan rakan-rakan niaga kami untuk mencari penyelesaian.

“Perodua tetap komited terhadap penghantaran tepat pada masanya, dibantu oleh skala
ekonomi kami. Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan yang dihargai atas
kesabaran mereka.

“Kami akan bertungkus lumus untuk menyerahkan sebanyak kenderaan yang mungkin
sebelum tamatnya pengecualian cukai jualan kerajaan pada akhir-Jun ini,” katanya lagi.

Zainal berkata, Perodua akan mengekalkan sasaran jualan 2021 pada 240,000 unit
buat masa ini.

Sasaran jualan 2021 Perodua mewakili peningkatan 9% daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020, dan dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan.

Perodua juga mensasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit (+23% daripada 220,968
unit pada 2020) dan 2.4 juta pengambilan servis (+20% daripada 2 juta pengambilan servis pada 2020) bagi tahun ini.