Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), yang merupakan persatuan bagi hospital-hospital swasta dan pusat perubatan di Malaysia sejak 1972, mengumumkan kerjasama dengan JA Assure; sebuah firma InsurTech multinasional untuk menawarkan ‘Dr Shield’- platform insurans ganti rugi profesional secara dalam talian kepada para profesional perubatan di 147 anggota hospital APHM bermula 1 September 2020.
Pelancaran ‘Doctor Shield” pada awal 2019 menandakan kejayaannya dalam industri penjagaan kesihatan yang menyediakan proses pendaftaran dalam talian lengkap pertama di Malaysia – merangkumi ciri-ciri seperti proses kadar sebut harga yang cepat, penerbitan polisi dalam kadar masa kurang dari sepuluh minit, serta pembaharuan polisi ‘segera’ dalam talian.
Japhire Gopi, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga merupakan pengasas JA Assure Group menjelaskan, “Dengan adanya Chubb sebagai penaja jamin pastinya memudahkan lagi urusan.
“Sokongan daripada APHM juga menjadi isyarat terbaik bahawa kita berada pada landasan tepat untuk membantu komuniti perubatan dan masyarakat,” katanya.
Polisi ‘Doctor Shield’ ditaja jamin oleh Chubb Insurance Malaysia Berhad, merupakan sebuah syarikat insurans am yang berprestasi di Malaysia.
Sementara itu, Presiden Chubb Insurance Malaysia Berhad, Steve Crouch berkata, Chubb telah menaja jamin Insurans Penyelewengan Perubatan selama beberapa dekad, selain mahir berkaitan risiko dalam landskap penjagaan kesihatan yang sentiasa berkembang.
Beliau berkata, polisi ‘Doctor Shield’ ini juga diwujudkan untuk membantu golongan profesional perubatan dengan cara yang lebih pintar dan cepat, supaya mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada para pesakit secara lebih yakin.
Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh berkata, APHM memilih untuk berkolaborasi dengan Doctor Shield (thedoctorshield.com) berikutan langkah pendekatan yang digunakan lebih jauh ke hadapan dan mesra digital.
“Ia secara tidak langsung memudahkan proses insurans ganti rugi, selain menggabungkan ciri inovatif produk yang merupakan antara nilai tambah yang belum pernah dilaksanakan dalam industri perubatan sebelum ini.
“Ini juga merupakan peluang bagi profesional perubatan di anggota hospital untuk menjimatkan masa melalui peningkatkan tahap efisiensi.
“Melalui kerjasama ini juga, APHM berjaya mendapatkan penurunan harga secara menyeluruh untuk profesional perubatan sektor swasta. Penjimatan bagi perlindungan ganti rugi untuk mereka amat penting terutamanya ketika keadaan semasa yang tidak menentu,” katanya lagi.
Inisiatif ini jelas menunjukkan komitmen APHM membantu meningkatkan taraf rawatan perubatan di Malaysia.
Selain membantu dalam penjimatan kos, pengguna turut berkongsi keyakinan mereka dengan pendekatan ‘mesra pengantara’ Doctor Shield sekiranya berdepan dengan ‘dispute’.
Dengan Doctor Shield, pakar perubatan dan pesakit tidak perlu berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan dengan undang-undang yang kadang kala keputusannya tidak jelas.