Samsung Malaysia Electronics hari ini secara rasmi melancarkan telefon pintar dengan skrin boleh-lipat generasi ketiga, Samsung Galaxy Z Fold2 5G pada harga lebih rendah berbanding model pertama Galaxy Fold terdahulu yang dijual pada RM8,388.

Meskipun generasi kedua Galaxy Fold boleh dianggap baru diperkenalkan pada Oktober tahun lalu, kehadiran model generasi terbaharu ini tampil dengan penggunaan dwi-skrin.

Galaxy Z Fold 2 diperkenalkan selepas Samsung Electronics mendengar maklumbalas daripada pengguna yang mahukan penambahbaikan dan ciri baharu yang lebih baik.

Sama ada dilipat atau tidak, pengguna akan mendapat pengalaman serba baharu yang unik menerusi inovasi terkini yang dilengkapi pada peranti ini.

Melihat kepada rekaan luaran, skrin bahagian luar atau skrin depan menawarkan saiz 6.2-inci Super AMOLED beresolusi 2260 x 816 dengan rekaan hampir nirbingkai dan sebuah kamera 10-megapiksel (MP).

Manakala untuk bahagian dalam, ia hadir dengan skrin 7.6-inci yang boleh dilipat, menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X, bersama Infinity Flex Design dengan resolusi 2208 x 1768 serta menawarkan kadar segar semula 120Hz.

Galaxy Z Fold2 5G dilengkapi cip Snapdragon 865+, memori 12GB RAM, dan bateri 4500mAh.

Telefon pintar berteknologi tinggi itu mempunyai tiga tetapan lensa iaitu 12 megapiksel (MP) untuk sudut ultra lebar, 12MP sudut lebar dan 12MP untuk sensor lensa telefoto.

Galaxy Z Fold2 didatangkan dengan pilihan storan bermula 256GB hingga 512GB bersama keupayaan memori (RAM) 12GB.

Peranti berkenaan dilengkapi dengan pek dua bateri berkapasiti 4500mAh dan turut menyokong pengecas pantas konvensional dan tanpa wayar.

Sesuai dengan kemajuan dunia teknologi, Galaxy Z Fold2 dilengkapi dengan cip jaringan 5G terbina dan menggunakan pemprosesan 64-bit Octe-Core.

Antara ciri menarik yang ditawarkan oleh peranti terbaharu ini ialah aplikasi Multi-Window yang boleh dibuka lebih daripada empat skrin pada satu-satu masa. Anda boleh membuka pelbagai fail daripada aplikasi sama dan melihatnya pada bahagian sisi.

Kuasa baterinya juga dipertingkatkan kepada 4500mAh berbanding 4380mAh pada Galaxy Fold terdahulu menjadikan peranti seumpama Phablet ini boleh digunakan untuk jangka masa lebih panjang.

Bagi anda yang berminat, boleh melakukan pra-tempahan untuk Samsung Galaxy Z Fold2 5G pada harga RM7999 di Malaysia. Dua warna ditawarkan iaitu Mystic Black dan Mystic Bronze bermula 25 September 2020.

Pra-tempahan dibuka bermula 11 September hingga 24 September ini di cawangan Samsung terpilih atau menerusi Samsung E-store. Untuk pra-tempahan, pengguna turut akan menerima Galaxy Buds Live bernilai RM699 dan Montblanc Card Holder bernilai RM655 secara percuma.

Spesifikasi Galaxy Z Fold2

  • Pemproses: 64-Bit Octa Core
  • RAM: 12GB
  • Storan: 256GB / 512GB
  • Kamera utama: 12MP + 12MP + 12MP
  • Jaringan: Cip 5G terbina
  • Berat : 282 gram
  • Bateri : 4500mAh
  • Harga: RM7999