Umum sudah mengetahui telefon pintar paling hebat Samsung ketika ini ialah S20 Ultra dan kini tiba pula giliran untuk Prebiu.com membuat ulasan selepas dua peranti dalam siri Galaxy S20 iaitu S20 dan S20+ sudah diuji sepenuhnya.

Perbezaan paling ketara pada S20 Ultra ialah teknologi pada kuad-kamera yang mampu melakukan zoom 100X. Adakah space zoom 100 kali ganda ini benar-benar berfungsi sepertimana yang diiklankan dalam video?

Gambar bulan penuh menggunakan zoom space 100X

Ujian pertama yang penulis lakukan ialah merakam gambar bulan penuh dan hasilnya, gambar berjaya dirakam tetapi tidak setajam atau jelas yang dikehendaki namun jika zoom pada tahap 30X gambar yang terhasil lebih menarik.

Pada pandangan peribadi penulis, mungkin keadaan sekeliling mempengaruhi hasil gambar yang dirakam kelihatan sedikit kabur namun jika tidak menggunakan sebarang zoom gambar yang dihasilkan memang mengujakan.

Jika kita sedia maklum, kemampuan merakam gambar pada jarak jauh memerlukan sebuah kamera DSLR yang memiliki sambungan lensa yang panjang atau bahasa mudah perlu guna telefoto.

Gambar bulan penuh menggunakan zoom 30X

Kini dengan teknologi kamera atau telefon pintar yang semakin canggih, perkara itu tidak mustahil boleh dilakukan dan tentu sekali tidak perlu membawa kamera DSLR yang besar dan berat.

Segala-galanya boleh dilakukan terus pada sebuah peranti yang lengkap dengan ciri kemampuan kamera yang canggih dan hebat.

Samsung S20 Ultra yang menemani penulis melancong ke Pulau Pangkor memberi peluang untuk menguji sepenuhnya teknologi dan kecanggihan peranti ini meliputi pelbagai aspek.

Lihat hasil dibawah gambar yang dirakam dari Jeti Marina Island dengan zoom 100X terus ke bangunan di bandar Pulau Pangkor yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan menaiki feri.

Gambar bangunan di Pulau Pangkor yang dirakam menggunakan zoom space 100X
Gambar dari Jeti Marina Island menggunakan kamera ultra lebar

Penulis juga menguji rakaman video menggunakan zoom 20X dan gambar yang terhasil juga memuaskan meskipun objek berada pada kedudukan jauh ditengah laut dan berkelajuan tinggi.

Gambar paling menarik dihasilkan ialah gambar bot nelayan ditepi pantai pada waktu malam gelap berjaya kelihatan apabila mod malam diaktifkan.

Kuad-Kamera beresolusi tinggi 108 megapikselnya memang cukup membantu menghasilkan gambar-gambar yang cantik. Lihat hasil gambar dibawah ini.

Gambar tanpa menggunakan mod malam
Gambar lebih jelas menggunakan mod malam

Apabila S20 Ultra berada ditangan, banyak sangat gambar dan video yang mahu dirakam meskipun peranti ini agak berat ketika dipegang manakan tidak ia sebuah peranti seberat 220 gram.

Galaxy S20 Ultra ialah peranti dengan saiz skrin 6.9 inci terbesar pernah digunakan dalam sejarah Galaxy S setakat ini. Peranti itu memiliki 0.2-inci lebih besar berbanding S10 5G dan 0.1-inci lebih besar berbanding Note 10+.

Skrin ini menggunakan teknologi Dynamic AMOLED 2X, menyokong resolusi WQHD+. kadar segar semula 120Hz dan juga HDR10+.

Samsung terus memberikan skrin 120Hz pada ketiga-tiga model S20 tahun ini. Pengguna diberikan pilihan untuk menggunakan 60 atau 120 Hz yang boleh diubah menerusi tetapan peranti.

Dengan pilihan ini pengguna yang lebih mementingkan hayat bateri boleh memilih untuk menyahaktifkan skrin 120Hz yang akan memberikan pengalaman menatal yang lebih lancar.

Pengimbas cap jari ultrasonik juga terbina bawah skrin dikekalkan. Ini membolehkan jari diimbas walaupun ia basah ataupun kotor. Hanya satu cap jari boleh diimbas dengan saiz kawasan permukaan pengimbas yang masih kecil.

Tidak perlu risau mengenai jumlah gambar atau video yang dirakam kerana peranti ini dipadankan dengan memori 12GB RAM LPDDR5 dan storan 128GB UFS 3.0.

Bagi yang berasakan storan yang diberikan masih tidak mencukupi, terdapat sokongan penambahan storan menggunakan kad mikro SD sehingga 1TB.

Ciri Kamera

Peranti ini menggunakan kuad-kamera utama menggabungkan sensor 108+12+48+3D TOF Megapixel. Sensor 108-Megapixel dipadankan dengan lensa f/1.8. Sensor 12-Megapixel f/2.4 dipadankan dengan lensa ultra sudut lebar 120 darjah.

Akhir sekali sensor 48-Megapixel f/3.5 dipadankan pula dengan mekanisme periskop yang memberikan kemampuan zum optikal hibrid sehingga 10X atau zum digital sehingga 100X.

Gambar dirakam menggunakan zoom 100X
Gambar dirakam menggunakan zoom 30X

Kamera hadapan pada S20 Ultra pula adalah 40-Megapixel f/2.2 yang diletakkan di dalam lubang kamera pada bucu atas sebelah kanan. Ini ialah saiz kamera swafoto terbesar pernah digunakan pada peranti Galaxy S dan hasilnya gambar swafoto memang cantik sekali.

Kesemua elemen antaramuka dapat dilihat dengan jelas dan mudah difahami. Terdapat pelbagai mod tambahan seperti Panorama, Pro, Night dan Live Focus. Pengguna juga  boleh menetapkan mod apakah yang ingin diletakkan pada pintasan pantas.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah pintasan mengambil gambar Single Take pula mengautomasikan proses menghasilkan klip pendek, video berulang (loop) dan GIF beranimasi.

Jika sudah namanya ultra, tentu sekali peranti ini dibekalkan dengan bateri berkuasa tinggi iaitu sebesar 5000 mAh yang juga 500 mAh lebih besar berbanding S10 5G.

Kombinasi pemprosesan berkuasa tinggi, sokongan 5G dan skrin 120Hz memerlukan bateri yang bersaiz gergasi ini digunakan. Sokongan pengecasan pantas 25W berwayar disertakan dengan setiap pembelian.

Maka pemilik tidak perlu risau bateri yang besar ini memerlukan masa yang lama untuk dicas semula. Dengan PowerShare pula, S20 Ultra boleh mengecas peranti lain seperti Galaxy Buds+ secara nirwayar atau jam tangan pintar.

Jangan pula risau jika peranti ini tiba-tiba terjatuh dalam air kerana tubuh peranti ini kalis air dengan piawaian IP68.

Siri Galaxy S20 membawakan beberapa pembaharuan dengan integrasi butang Bixby pada butang kuasa, sekali gus mengikut rekaan Note 10 dan Note10+ yang tidak mempunyai butang khusus Bixby.

Sokongan audio stereo diberikan menerusi pembesar suara pada bahagian bawah dan gagang telinga yang terletak di atas kamera swafoto. S20 Ultra juga memberikan pengalaman audio yang lebih baik menerusi sokongan Dolby Atmos.

Selain itu, rekaan kesemua butang diletakkan pada sebelah kanan peranti, dengan butang kawalan tahap bunyi dan juga butang kuasa di bawahnya.

Pada hemat kami kedudukan butang kuasa dan suara pada sisi kanan adalah lebih mesra pengguna berbanding sisi kiri pada Note 10. Cuma bagi mereka yang tangan ‘kidal’ mungkin ciri ini agak janggal sedikit namun perlu membiasakan diri.

Pada siri S20 ini juga, tiada lagi bicu audio 3.5mm dan pengguna akan diberikan fon telinga yang menggunakan sambungan USB-C. Dengan ini secara rasminya Samsung tidak lagi menyertakan bicu audio pada kesemua peranti mercu mereka setelah melakukannya pada Note 10 tahun lalu.

Adalah mustahil untuk tidak bercakap mengenai bonjol kamera S20 Ultra yang amat besar mungkin disebabkan sistem teknologi kamera yang digunakan. Ia dilihat hampir dua kali ganda lebih besar berbanding yang dapat dilihat pada S20 dan S20+.

Bagaimanapun, timbul sedikit masalah apabila memegang peranti ini apabila jari sering menghalang lensa kamera kerana kedudukannya yang lain berbanding peranti-peranti Samsung sebelum ini. Jika jari anda besar pastinya akan menyebabkan gambar jari anda terakam sekali, jadi harus berhati-hati ketika memegang peranti ini.

Masalah sama juga berlaku apabila mahu mengambil gambar dengan zoom 100X kerana imej pada paparan skrin kamera bergoyang-goyang sehingga sukar untuk merakam sudut yang tepat meskipun dibantu oleh paparan skrin kecil.

Mungkin penggunaan tripod boleh membantu menyelesaikan masalah ini berbanding jika peranti menggunakan tangan sepenuhnya.

Penulis perlu beberapa kali mengubah zoom dari 100X kepada 30X untuk membetulkan semula kedudukan zoom dan perlu menahan nafas beberapa kali untuk mendapatkan kestabilan ketika mahu merakam gambar.

Bagaimanapun, apabila memilih fokus zoom 30X, gambar terhasil sudah cukup jelas dan tajam, namun sedikit kabur apabila tahap zoom ditingkatkan sehingga 100X. Mungkin ciri ini boleh diperbaiki oleh jurutera telefon Samsung pada masa depan.

Sistem operasi Android 10 dengan pelancar Samsung One UI 2.1 digunakan pada  S20 Ultra. Samsung hanya menambah beberapa fungsi baharu seperti QuickShare seakan AirDrop dan juga rutin Bixby yang dipertingkatkan. Menerusi rutin ini peranti akan memberikan saranan kandungan pada aplikasi seperti Netflix dan Spotify.

Kesimpulan

Selepas menguji kesemua peranti Samsung dalam siri S20, S20 Ultra 5G ini memiliki banyak kelebihan khususnya aplikasi kamera yang kemas dan mudah digunakan.

Konfigurasi kamera yang hebat dengan lensa sudut ultra lebar iaitu 12-Megapixel dan 48-Megapixel pada lensa telefoto manakala mekanisme periskop, S20 Ultra menyokong sistem zoom hibrid 10X dan zoom digital sehingga 100X mampu menghasilkan gambar yang cantik seakan pandangan mata sebenar.

Apa yang menarik perhatian penulis ialah kamera hadapan pada S20 Ultra adalah 40-Megapixel f/2.2, saiz kamera swafoto terbesar pernah digunakan pada peranti Galaxy S dan hasilnya gambar swafotonya memang cantik sekali.

Penghasilan semula warna daripada gambar yang dirakam jelas amat hidup malah ramai yang memberi pujian apabila gambar ini diletakkan di laman sosial facebook. Malah ketika gambar ini dicetakpun cukup cantik macam kamera DSLR atau kompak.

Namun, penulis juga perasan ketika picu kamera ditekan, sensor kamera S20 Ultra tidak mampu mengambil gambar dengan pantas atau sekelip mata.

Namun, fungsi antaramuka aplikasi kamera yang kemas cukup mudah digunakan kerana tersedia pintasan pantas untuk zoom terus ke 0.5X, 1.0X, 2.0X, 4.0X, 10X, 30X, 100X.

Bateri 5000 mAh yang digunakan adalah yang terbesar pernah digunakan dan mempunyai hayat penggunaan yang jauh lebih baik berbanding adik-adiknya.

Terlalu banyak mahu diperkatakan mengenai peranti S20 Ultra ini, namun jika anda seorang yang sanggup berbelanja pada harga RM4,999 untuk memiliki peranti ini, sedikit kekurangan pada peranti ini mungkin boleh diketepikan.

Nasihat penulis, jika membeli peranti mahal ini, jangan lupa beli juga kerangka atau ‘casing’ yang tahan lasak bagi melindungi peranti ini daripada berlaku kerosakan jika terjatuh tanpa disengajakan.

Secara umumnya, Samsung semakin ke hadapan dalam menghasilkan teknologi-teknologi terkini dan terbaik dunia ke alam galaksi bumi kita ini.