Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyemak semula Kadar Asas (BR) sebanyak 25 mata asas, iaitu daripada 2.77% kepada 2.52%, sementara Kadar Pembiayaan Asas (“BFR”) disemak semula daripada 5.72% kepada 5.47%.

Pada masa yang sama, kadar deposit juga akan diselaraskan ke bawah sebanyak 25 mata asas.

Semua perubahan kadar akan berkuat kuasa 10 Julai 2020. Keputusan ini adalah sejajar dengan langkah penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia iaitu daripada 2.00% kepada 1.75%.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, “Semakan semula kadar tersebut adalah tepat pada masanya memandangkan tempoh moratorium akan berakhir.

“Kami menjangkakan langkah ini akan mengurangkan kesan pascamoratorium yang dialami sebahagian besar pelanggan kami, iaitu dengan meringankan komitmen bayaran ansuran bulanan mereka.

“Bank Islam sentiasa memberi penekanan dalam memastikan keperluan kewangan pelanggan diberi perhatian, terutamanya dalam mengharungi persekitaran semasa yang mencabar.

“Bank ini juga menyediakan khidmat rundingan berkenaan pengaturan pembayaran pembiayaan kepada pelanggan yang terjejas teruk oleh wabak COVID-19.”

“Bank Islam komited untuk terus menawarkan pelbagai penyelesaian kewangan yang memenuhi kehendak dan jangkaan pelanggan. Bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik, Bank Islam akan terus mendukung prinsip kemampanan perniagaannya dengan memanfaatkan kemajuan teknologi dan inovasi,” katanya.

Semakan terakhir BR Bank Islam telah dilaksanakan pada 12 Mei 2020, iaitu daripada 3.27% kepada 2.77%, manakala BFR diturunkan daripada 6.22% kepada 5.72%.

Untuk mendapatkan khidmat rundingan, pelanggan dinasihatkan mengunjungi cawangan Bank Islam berhampiran atau hubungi Pusat Panggilan Bank Islam talian di 03 2690 0900