Kilang baharu akan menghasilkan kereta-kereta bagi pasaran tempatan dan eksport

SELEPAS setahun dan sehari dilancarkan di Malaysia, Proton X70 pertama akan dibangunkan di kilang baharu Proton di Tanjung Malim.

Hadir di majlis perasmian ialah Datuk Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi Proton, An Conghui, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group serta barisan pengurusan kanan Proton.

Sejak Proton X70 dilancarkan pada 12 Disember 2018, Proton komited untuk memulakan pengeluaran di Tanjung Malim menjelang akhir 2019. Dengan mengeluarkan kereta-kereta tersebut secara rasminya pada 13 Disember 2019, syarikat berjaya menunaikan janjinya.

SUV premium segmen C yang terlaris di Malaysia akan dihasilkan di kilang binaan baharu di Tanjung Malim yang dibina dengan kos sebanyak RM1.2 billion. Ini merupakan satu pencapaian dalam masa yang tersingkat.

Pada masa yang sama, Proton juga telah bekerjasama dengan pembekal-pembekal tempatan dan luar negara dalam memastikan segala bahagian atau komponen yang diperlukan mencukupi apabila aktiviti pengeluaran SUV pertama tersebut bermula.

“Hari ini Proton sekali lagi mencatatkan sejarah dengan mengambil satu langkah kehadapan untuk menjadi jenama automotif bertaraf global. Melalui pengeluaran Proton X70 di Tanjung Malim, kami telah mengambil langkah besar untuk menonjolkan kebolehan kami kerana itu adalah impian yang kami ingin kecapi buat masa ini.

“Kilang baharu ini bukan sahaja akan menghasilkan produk-produk baharu yang akan dibangunkan bersama Geely tetapi ia juga akan berfungsi menjadi pusat pengeluaran bagi model pemanduan sebelah kanan kerana kami akan mula mengeksport ke negara-negara di seluruh dunia,” kata Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

Plaque signing by Datuk Darell Leiking, Minister of International Trade and Industry

Bercakap di majlis tersebut, An Conghui mengulas mengenai kedudukan Proton yang menjadi sebahagian daripada Geely Auto Group sebagai rakan kongsi yang kukuh untuk meningkatkan jualan di pasaran ASEAN.

“Proton telah melakukan pelbagai transformasi yang ketara sejak dua tahun lalu. Pengalaman perkongsian antara kami telah menghasilkan persefahaman yang mendalam dan kami berbesar hati untuk membantu Proton merealisasikan aspirasi globalnya.

“Kami akan terus menyokong Proton berkembang di pasaran Malaysia dan di rantau Asean secara meluas dan pasaran luar lingkaran Asean,” katanya.

Dengan memulakan pengeluaran Proton X70 di Tanjung Malim, Proton juga secara tidak rasmi telah membangunkan ekosistem baharu pembekal automotif Malaysia. Sebagai persediaan untuk memulakan aktiviti pembuatan, Proton bekerjasama rapat dengan pembekal-pembekal tempatan untuk memadankan mereka dengan syarikat-syarikat lain yang sudahpun membekalkan komponen untuk SUV tersebut.

Usaha-usaha ini telah membentuk tujuh kerjasama baharu di mana kedua-dua syarikat tempatan dan luar negara telah memulakan usaha sama mereka yang berpusat di Malaysia untuk berkongsi kecekapan dan sumber pengeluaran.

Antara tawaran lain yang turut dicapai melalui usaha tersebut termasuklah perjanjian teknikal dan pelaburan langsung asing, yang mana telah menghasilkan jumlah pelaburan sebanyak RM263 juta dan peluang pekerjaan sebanyak 1,084 pekerjaan di mana komuniti pembekal telah bersiap sedia mewujudkan satu barisan komponen teknologi tinggi untuk Proton X70 dan model-model yang akan dihasilkan pada masa hadapan.

“Dengan adanya pembuatan Proton X70 dan model-model lain di masa hadapan di kilang Tanjung Malim ini, Proton telah membantu membangunkan komuniti pembekal. Ini adalah penting kerana mereka merupakan tunjang di dalam industri automotif Malaysia dan penyumbang utama kepada ekonomi.

“Melalui pengenalan pelbagai teknologi baharu yang sekaligus membantu mengembangkan kecekapan industri dan di masa hadapan, kerajaan berharap ini akan membuka peluang Malaysia menembusi pasaran antarabangsa dan menjadi peneraju dalam pembekalan komponen automotif,” kata Datuk Darell Leiking.

Bagi Proton, dengan adanya pembekal tempatan akan membantu syarikat menghasilkan model-model kereta di masa depan yang lebih sesuai seiring dengan kehendak dan keperluan pembeli kereta di Malaysia.

Melalui pelbagai pelan pengembangan perniagaan dan komitmen mereka untuk membangunkan pembekal tempatan, banyak syarikat dan pengguna di Malaysia juga akan mendapat faedah secara keseluruhan,” katanya.