Syarikat rakaman baharu ini memberi tumpuan kepada muzik A-Pop untuk audiens global. Artis naungan pertama ialah Jannine Weigel – Penyanyi, penulis lagu, berpengaruh, model dan pelakon dari Thailand

Kumpulan AirAsia, syarikat perjalanan dan gaya hidup terkemuka Asia Pasifik dan Universal Music Group (UMG), peneraju dunia dalam hiburan berasaskan muzik melancarkan RedRecords, sebuah usaha sama yang inovatif untuk menandatangani, membangunkan artis baharu Asia dan mengangkat muzik pop Asia (A-pop) kepada audiens baharu di peringkat global.

(Third from left) Hassan Choudhury, Head of Music for AirAsia Group and CEO of RedRecords; Calvin Wong, CEO South East Asia and Senior Vice President, Asia – Universal Music Group; Tony Fernandes, CEO of AirAsia Group; Jannine Weigel, Red Records first signing artist; Datuk Kamarudin Meranun, Executive Chairman of AirAsia Group; Kenny Ong, Managing Director of Universal Music Malaysia; and Nadda Buranasiri CEO of AirAsia X Group at the launch of RedRecords

RedRecords akan memberi tumpuan kepada pencarian dan pembangunan bakat dari Asia Tenggara dan seluruh benua dengan kriteria pemilihan yang mencerminkan kepelbagaian budaya di Asia.

RedRecords akan berpangkalan di Kuala Lumpur dan Los Angeles serta akan menggabungkan kepakaran industri UMG dalam pembangunan artis dengan kekuatan pemasaran serantau dan global AirAsia untuk mengembangkan muzik A-Pop untuk audiens di seluruh dunia. Selain pembangunan artis dan A&R, syarikat rakaman tersebut juga akan menyediakan perkhidmatan pengedaran, pemasaran, pengurusan dan agensi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Pengumuman ini amat penting untuk saya. Ini tidak mungkin terjadi kalau tidak kerana rakan seperjuangan saya, Kamarudin dan Nadda, yang saya temui melalui industri muzik.

“Kami telah merevolusikan perjalanan udara supaya semua orang boleh terbang dan sempena meraikan operasi AirAsia yang ke-18 – kami akan memfokuskan kepada transformasi sebagai peneraju gaya hidup dan syarikat perjalanan digital di peringkat global. Bagai sirih pulang ke gagang, kami kini kembali kepada industri muzik untuk merevolusikan budaya pop Asia pada masa hadapan dan meletakkannya di pentas global bersama Universal Music sempena pelancaran RedRecords.”

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Group Sir Lucian Grainge berkata, “Saya teruja untuk mengumumkan pelancaran RedRecords bersama Tony dan pasukannya di AirAsia. Kejayaan di seluruh dunia muzik Latin dan K-Pop telah membuktikan bahawa tiada halangan kepada muzik tanpa mengira bahasa dalam era penstriman ini.

Melalui gabungan pemasaran strategik dan sumber sedia ada oleh AirAsia dan UMG, kami boleh menawarkan artis-artis Asia peluang keemasan yang untuk menempa nama secara global.”

Naib Presiden Eksekutif, Pembangunan Pasaran, Universal Music Adam Granite berkata, “Kami teruja untuk secara rasmi melancarkan RedRecords hari ini bersama AirAsia.

Bersama-sama kami berkongsi komitmen untuk pembangunan jangka panjang dan transformasi ekosistem muzik di rantau ini. Sebuah rantau dengan banyak bakat baharu yang mempunyai potensi untuk mencapai hampir 700 juta penduduk di seluruh Asia Tenggara sahaja dan di mana muzik didorong oleh audiens muda, sosial dan mudah alih.

“Kami yakin pasukan di RedRecords akan sama-sama membantu memperkenalkan A-pop kepada audiens global baharu dan sedia untuk menerima bakat baharu dari seluruh Asia.”

Ketua Bahagian Muzik Kumpulan AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif RedRecords Hassan Choudhury berkata, “Ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan potensi AirAsia dan UMG dalam perjalanan muzik. Setelah mempunyai pengalaman bekerja bersama kedua-dua syarikat terkemuka ini, menyaksikan kekuatan mereka dalam industri masing-masing, saya berhasrat untuk menggabungkan kreativiti kedua-dua pasukan ini untuk membantu membangunkan dan mengembangkan bakat muzik yang terdapat di Asia.”

RedRecords umum Jannine Weigel dari Thailand sebagai artis naungan pertama

Di sidang media tersebut, RedRecords mengumumkan artis naungan pertamanya, Jannine Weigel, seorang penyanyi, penulis lirik, pempengaruh dan pelakon. Weigel telah mengeluarkan beberapa single dan EP dan mempunyai lebih 600 juta tontonan dan 3.3 juta pengikut di YouTube, selain 3.2 juta pengikut di Facebook, 1.5 juta di Instagram dan lebih daripada 500,000 di TikTok.

Jannine Weigel berkata, “Saya amat berbangga menjadi artis pertama di bawah RedRecords dan mempunyai sokongan daripada pasukan yang sangat hebat untuk membawa kerjaya saya ke tahap yang lebih tinggi. Saya percaya para peminat akan menyukai pengalaman luar biasa yang kami bakal tawarkan dan saya tidak sabar untuk anda semua mendengar muzik baharu saya.”

Awal tahun ini, UMG mengumumkan perkembangan operasi di rantau ini dengan pelancaran ibu pejabat serantau baharu di Singapura.

UMG komited untuk mempercepatkan tumpuannya dalam mengembangkan keseluruhan ekosistem muzik di seluruh Asia Tenggara termasuk muzik yang telah direkodkan, penerbitan muzik, pengeluaran, acara langsung, perkongsian jenama dan barangan. Perkembangan A&R, komersial dan pemasaran UMG ini akan memberikan akses unik kepada para artis di bawah naungannya dari segi infrastruktur dan rangkaian global UMG di seluruh dunia.

Di samping itu, UMG SEA telah mengumumkan rancangan untuk melanjutkan fokus dan komitmennya dalam bahasa tempatan untuk menyediakan peminat muzik pengalaman terbaik di seluruh rantau ini.