NGO Antarabangsa yang diterajui Pengerusinya, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican menasihatkan para pelajar tahfiz khususnya agar tindakan membuli pelajar junior tidak dijadikan sebagai satu amalan ketika menghuni di asrama.

Mustapha berkata, mereka harus menjaga adab ketika menuntut ilmu agama dengan membimbing pelajar junior yang dianggap sebagai adik dan menjaga batas pergaulan supaya tidak timbul perselisihan faham yang akan hanya merugikan masa depan mereka kelak.

“Kita harus belajar agama Islam bersungguh-sungguh dan bimbing adik-adik kita yang baru masuk tahfiz ini. Pelajar senior kena anggap mereka sebagai abang kepada pelajar baru dan berkongsikan pengalaman bukannya kekerasan.

“Selain itu, saya juga mahu semua pelajar seharusnya berani melaporkan apa-apa yang dibuat oleh guru- guru diluar dari kebiasaan dengan melaporkannya kepada ibu bapa, rakan dan pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika mengadakan lawatan melihat projek pembinaan Maahad Tahfiz Al Quran Al Badr di Labuan, Sabah baru-baru ini.

Mustapha berkata, ibu bapa juga disarankan melawat anak-anak mereka dengan kerap dan sering berkomunikasi sama ada menerusi panggilan telefon atau WhatsApp.

Mustapha (dua dari kiri) bergambar dihadapan sekolah Tahfiz di Kg Lubok Temiang Labuan, Sabah

Dalam lawatan ringkas itu, Dr Mustapha turut mengadakan pertemuan dengan 90 pelajar maahad tahfiz berkenaan yang dibina diatas tanah seluas satu ekar setengah di Kg Lubok Temiang Labuan.

Sementara itu, Mudir yang juga Pengetua Pusat tahfiz berkenaan, Ustaz Mohamad Abdullah berkata, Dr Mustapha adalah seorang yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan termasuk terbabit dengan pembinaan masjid, surau dan sekolah tahfiz serta lain-lain aktiviti kebajikan.

“Kami semua amat terharu dengan sikap dan kesungguhan beliau datang ke sini semata-mata melihat perkembangan projek pembinaan Maahad Tahfiz ini.

“Justeru, kita harap maahad tahfiz ini dapat disiapkan secepat mungkin selepas kemasukan bekalan elektrik dan air. Beliau juga mahu semua guru-guru yang mengajar mestilah yang berwibawa, memegang amanah, menjaga kebajikan pelajar dan keselamatan.

“Sekiranya ada guru-guru yang mengambil kesempatan kepada para pelajar, guru tersebut sewajarnya dikena tindakan yang berat,” katanya.

Dr Mustapha berkata, pembukaan maahad tahfiz kelak akan dapat dimanfaatkan bagi anak-anak penduduk Labuan kerana kedudukan tahfiz ini amat cantik berhampiran laut dan proses menyaluran bekalan elektrik serta keperluan lain perlu disegerakan kerana tahfiz itu berdaftar manakala bangunan itu sudah lulus daripada segi keselamatan oleh pihak bomba.

“Maahad Tahfiz ini dijangka beroperasi pada awal tahun depan selepas proses kemasukan bekalan elektrik dan air serta peralatan lain. Justeru, semua pihak perlulah membantu mana yang boleh bagi mempercepatkan proses pemindahan pelajar-pelajar ini dari rumah tumpangan kepada penempatan sendiri,” katanya.