Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dato’ Dr Mustapha Ahmad Marican menyeru agar semua pihak cakna dan bersama-sama mencegah gejala buli daripada terus berlaku di semua peringkat pendidikan iaitu daripada sekolah rendah, menengah hingga ke universiti.
Beliau berkata, para pelajar juga harus mengelakkan diri daripada terbabit dalam aktiviti yang memudaratkan seperti kes buli atau jenayah lain yang akan memalukan ibu bapa dan sekolah.
“Nasihat saya ialah sekiranya ada sesiapa yang melakukan kes buli segera laporkan kepada pihak sekolah, guru-guru atau ibu bapa kita.
“Ini kerana sekolah merupakan tempat pendidikan yang paling selamat dan tenang untuk anak-anak pelajar. Buli bukan budaya kita dan adap sopan mestilah di pupuk agar dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berilmu tetapi juga memiliki keperibadian yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM dan PPKI tahun 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Megat Panji Alam di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Mustapha berkata, SMK Megat Panji Alam adalah sekolah yang telah berjaya meletakkan kedudukan yang baik dari tangga ke 20-an ke tangga ke-12 bagi kejayaan cemerlang dalam keputusan SPM.
Menurutnya, lanak-anak muda kini perlu dibekalkan dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya kerana ketidaktentuan zaman sekarang dan cabaran berdepan dengan zaman teknologi masa kini supaya tidak ketinggalan zaman.

“Hakikatnya dunia tidak akan berubah tanpa perkembangan ilmu, maruah dan harga diri seorang manusia berkait rapat dengan ilmu yang dimiliki.
“Hargailah guru-guru yang bertungkus lumus untuk mencurahkan ilmu, memberi kita pengetahuan walaupun mereka juga mempunyai tanggungjawab dalam keluarga. Tetapi demi para pelajar, mereka sanggup mencurah bakti,” katanya.
Seramai kira-kira 300 orang hadir terdiri daripada 103 pelajar yang menerima sijil penghargaan ibu bapa dan guru-guru. Turut hadir Pengetua Sekolah SMK Megat Panji Alam Cikgu Ibrahim Mohd Amin; Yang Di Pertua PIBG, Emellia Abdullah; Tokoh usahawan DinMega, Haji M Tajudeen Mohd Shahabudin dan guru-guru.


































