Lapan stesen penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membabitkan keluasan berjumlah 6,456.1 hektar (ha) telah menerima Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Dato’ A Aziz Mat, Pengarah Badan Pensijilan, Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) menyerahkan sijil MSPO berkenaan kepada Ketua Pengarah MPOB Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dalam satu majlis di ibu pejabat MPOB, di sini pada Rabu lalu.

Dr Ahmad Parveez menerima sijil MSPO dari Dato’ A Aziz Mat baru-baru ini

Kelapan-lapan stesen penyelidikan MPOB itu berjaya memperoleh Pensijilan MSPO pada 31 Julai 2019 dan mempunyai tempoh sah laku sijil selama 5 tahun sehingga 30 Julai 2024.

Lapan stesen penyelidikan yang telah menerima pensijilan MSPO itu adalah Stesen Penyelidikan MPOB Kluang, Johor yang membabikan keluasan 890.30 ha, Stesen Penyelidikan MPOB Keratong, Pahang (607.07 ha), Stesen Penyelidikan MPOB Bagan Datuk, Perak (425 ha), Stesen Penyelidikan Lahad Datu, Sabah (1,986 ha), Stesen Penyelidikan MPOB Sessang, Sarawak (1,010 ha), Stesen Penyelidikan MPOB Hulu Paka, Terengganu (856.12 ha), Stesen Penyelidikan MPOB Belaga, Sarawak (328.6 ha) dan Stesen Penyelidikan MPOB Jerantut, Pahang (353 ha).

“Pensijilan MSPO kepada ladang penyelidikan MPOB ini mencerminkan komitmen stesen-stesen penyelidikan ini dalam mematuhi kriteria amalan mampan MSPO yang diterima di peringkat antarabangsa,” kata Dr Ahmad Parveez.

Ladang penyelidikan MPOB ini telah mematuhi prinsip-prinsip kemampanan seperti yang terkandung dalam piawaian MSPO. Prinsip-prinsip ini termasuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dengan memastikan alam sekitar dan kepelbagaian bio sentiasa dipelihara melalui kecekapan pengurusan yang mampan dalam semua aspek pengurusan perladangan.

Antara lain adalah Amalan Pertanian Baik (GAP) untuk meningkatkan hasil pengeluaran, aspek keselamatan dan kesihatan pekerja di ladang serta peraturan dan undang-undang yang berkaitan.

Lain-lain kriteria melibatkan pengurusan dan pengendalian bahan kimia mengikut prosedur yang ditetapkan serta hubungan sosial yang baik dengan menitikberatkan pembangunan suasana yang harmoni di dalam pengurusan ladang.

Ketua Pengarah MPOB menggesa estet, pekebun kecil dan kilang buah kelapa sawit yang masih belum memperoleh sijil MSPO untuk segera melaksanakannya sebelum 31 Disember 2019 kerana ianya akan menjadi mandatori bermula 1 Januari 2020.