Buat julung kalinya dalam industri permotoran Malaysia, Isuzu Malaysia memperkenalkan trak pikap popularnya D-Max dengan enjin berkuasa kecil iaitu enjin 1.9 liter Ddi BluePower.
Mengapa agaknya pengeluar trak pikap dari Jepun ini berani mengambil risiko lain dari lain dengan mempertaruhkan enjin berkapasiti kecil ini kerana ada yang mengatakan enjin berkuasa 1.9 liter ini tidak segagah enjin 2.5 liter yang biasa digunakan.
Meskipun pelbagai andaian diberikan, trak pikap Isuzu ini sebenarnya sudah terbukti trak pikap yang paling menjimatkan bahan api diesel kerana pada 2015, trak D-Max pernah melakukan perjalanan dari Bangkok, Thailand dengan hanya satu tangki penuh diesel.
Justeru, menerusi enjin baharu hanya 1.9 liter ini, D-Max terbaharu ini bukan sahaja ‘menjimatkan lagi’ penggunaan bahan api diesel malah memiliki kuasa enjin lebih baik berbanding enjin 2.5 liter sekali gus menjadi trak pikap pertama di Malaysia menerima pengiktirafan kenderaan cekap tenaga (EEV).
Menurut Isuzu, enjin 1.9L berkenaan mampu menjana sebanyak 150 PS kuasa pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork antara 1,800 hingga 2,600 rpm.
Ini merupakan peningkatan output jika dibandingkan dengan enjin 2.5L (136 PS/320 Nm) yang lama, masing-masing dengan kenaikan 10% kuasa dan 9% tork. Isuzu mendakwa penggunaan minyak bagi enjin ini 19% lebih cekap, dengan bacaan purata lapan liter bagi setiap 100 km.
Justeru, kehadiran model ini dengan enjin 1.9 liter akan menggantikan pilihan enjin 2.5 liter yang ditawarkan sebelum ini. Berikutan itu, Isuzu D-Max 2019 di Malaysia, hanya akan menawarkan dua pilihan enjin sahaja iaitu 1.9 liter dan 3.0 liter yang masih dikekalkan.
Antara kelebihan enjin baru ini ialah ia kini 56 kg lebih ringan, menggunakan tali sawat rantai (timing chain), pengecas turbo VGS yang digunakan kini dengan julat janaan yang lebih luas dan sistem suntikan minyak commonrail bertekanan tinggi.
Selain itu, sistem transmisi juga menggunakan kotak gear enam-kelajuan baharu bagi kedua-dua pilihan automatik dan juga manual.
Rekaan luaran
Model Isuzu D-Max 2019 mengalami sedikit perubahan kosmetik iaitu rekaan gril kombinasi krom-hitam yang lebih besar, lampu utama jenis LED projektor sepenuhnya manakala bahagian lampu kabus, kemasan krom baru menjadikannya kelihatan maskulin.
D-Max ini juga mendapat rekaan rim aloi 18-inci baru untuk tampak lebih sporty dan cermin sisinya juga akan terlipat secara automatik sekiranya kenderaan dikunci.
Satu lagi ciri yang cukup menarik perhatian penulis ialah pintu ruang barangan yang cukup ringan dan mudah diangkat dengan hanya menggunakan satu jari (tambahan aksesori)
Jika anda mempunyai masalah untuk mencapai barangan yang diletakkan ditengah-tengah ruang kargo, jangan risau kerana ‘bedliner’ boleh ditarik ke belakang sekali gus tidak memerlukan anda melompat masuk ke dalam ruang berkenaan.
Rekaan dalaman
Melangkah ke ruang dalaman, bagi meningkatkan tahap keselesaan penumpang dan ‘sedap’ mata memandang, penggunaan bahan lembut dapat dilihat di bahagian panel antaranya pada pintu glovebox, atas ruang meter dan panel pintu di sisi pemandu serta perehat lengan di tengah.
Selain itu, padanan skrin sentuh dengan perisian Android di tengah papan pemuka menjadikan trak pikap ini kelihatan anggun manakala kerusi rekaan baru dengan gabungan bahan fabrik-kulit pula sesuai untuk mereka yang sering menggunakan trak pikap ini sebagai kenderaan untuk melawat projek pembinaan.
Sistem infotainmennya pula boleh diberikan pujian kerana panel skrin LCDnya bukan sahaja memaparkan visual cukup jelas apabila cakera DVD dimainkan malah bunyi dihasilkan cukup hebat dihasilkan menerusi dua speaker LIVE SURROUND SOUND diatas bumbung tengah D-Max ini.
Bagi penulis, D-Max terbaharu ini boleh dianggap trak pikap pertama yang dipadankan dengan sistem bunyi yang serba hebat.
Sepanjang perjalanan penulis dari Kuala Lumpur ke Port Dickson, dapat merasakan kadar bunyi enjin dieselnya tidak terlalu kuat sebagaimana trak pikap lain sekali gus membuktikan jurutera Isuzu berjaya menjadikan kabin penumpang kenderaan ini selesa.
Bagaimanapun, penumpang belakang mungkin tidak berasa selesa berikutan kedudukan kerusinya masih dalam keadaan tegak berbanding trak pikap Mitsubishi yang lebih selesa. Jika ini dapat diperbaiki pada masa depan mungkin trak pikap ini akan menjadi pilihan ramai.
Bagaimanapun, jika mahukan ruang lebih luas, kerusi belakang ini boleh dilipat sama ada bahagian tempat duduk mahupun penyandarnya dengan hanya menarik tali yang disediakan. Hebat bukan!
Ciri keselamatan
Antara ciri keselamatan baharu ialah Vehicle Launch Assist Control dan Hill Descent Control (HDC) manakala ciri lain sedia ada pada D-Max termasuk dua beg udara SRS, ABS dengan EBD, Brake Assist, Hill Start Assist (HSA), kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem kawalan cengkaman (TCS), Brake Override System (BOS) serta kamera undur.
Kesimpulan
Apa yang menarik apabila memandu kenderaan diesel khususnya D-Max ini ialah tahap penjimatan bahan apinya kerana sepanjang sesi pandu uji dijalankan paras takuk digitalnya seakan tidak bergerak sekali gus menunjukkan penggunaan minyak cukup menjimatkan.
Meskipun dipadankan dengan enjin 1.9 liter (cukai jalan hanya RM400), ia bukannya dilihat sebagai sebuah trak pikap yang ‘lemah’ tetapi sebenarnya cukup berkuasa dan mampu mengalahkan pesaingnya dijalan raya.
Isuzu D-Max terbaharu ini bukan sahaja sebuah jentera yang lasak untuk dipandu untuk apa sahaja kegunaan tetapi menjadi satu tanda aras baru dalam dunia trak pikap yang berjaya membuktikan dengan kuasa enjin kecil.
Penulis beranggapan memandu D-Max ini seakan memandu sebuah kereta sedan yang dilengkapi pelbagai ciri baharu yang mampu memberikan tahap kepuasan maksimum kepada pemiliknya.
Dengan senarai harga tidak termasuk insurans bagi pendaftaran persendirian, pilihan varian adalah seperti berikut; versi Single Cab 4×4 1.9L (RM85,799), Single Cab 4×4 3.0L (RM92,838); lima varian bagi versi transmisi manual – 1.9L 4×2 MT Low Ride (RM80,149), 1.9L 4×2 MT Hi-Ride (RM86,699), 1.9L 4×4 MT Type B (RM96,699), 1.9L 4×4 MT-P (RM105,999) dan 3.0L 4×4 MT Type B (RM106,738).
Bagi versi transmisi automatik pula, ia terdiri daripada empat varian; 1.9L 4×4 AT Type B (RM104,599), 1.9L 4×2 AT Hi-Ride (RM100,049), 1.9L 4×4 AT-P (RM115,799) dan yang terakhir 3.0L 4×4 AT-P (RM120,838).
Semua sekali terdapat 11 varian berbeza yang ditawarkan.
SPESIFIKASI
Isuzu D-Max 1.9 Liter
- Enjin: 1,898cc, empat silinder sebaris, 16 injap, VGS Turbo Intercooler Diesel DOHC
- Kuasa maksimum: 150PS pada 3,600rpm
- Tork maksimum: 350Nm pada 2,600rpm
- Transmisi: Enam kelajuan Automatik dengan Sequential Shift
- Ciri keselamatan: 6 beg udara, ABS, EBD, HSA, TCS dan ABLS
- Tayar : 255/60/R18
- Tangki minyak : 76 Liter
- Harga: RM115,799 (tidak termasuk insurans dan SST)