Keperluan kepada sistem pengurusan tanah perkuburan yang teratur seperti yang dilaksanakan di Malaysia misalnya Tanah Perkuburan Batu Muda Kuala Lumpur adalah contoh terbaik.
Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, pihaknya menyarankan masyarakat Islam di Kemboja untuk menyediakan kawasan tanah perkuburan yang tersusun dan sentiasa dijaga bagi keselesaan waris mengunjungi saudara-mara yang sudah meninggal dunia.
“Bagi menjayakan usaha ini, NGO Antarabangsa menyumbang tanah membabitkan kos kira-kira US Dollar 5,000 untuk digunakan bagi tujuan menambak tapak perkuburan ini yang sering dinaiki air setiap kali musim hujan,” katanya ketika melawat tapak perkuburan di Kampung Thamer, Kemboja baru-baru ini.
Beliau berkata, kawasan perkuburan seharusnya menjadi tempat yang senang dilawati apabila keadaan dan kawasan perkuburan itu bersih, cantik dan tersusun.
“Justeru, kita hendaklah menjaga kawasan perkuburan ini dengan baik dan memberi keselesaan kepada sanak saudara untuk menziarahi ahli keluarga bagi menghadiahkan ayat-ayat suci al-Quran kepada keluarga mereka.
“Sekiranya tempat ini penuh dengan pokok-pokok dan rumput yang tidak dijaga, ianya boleh mendatangkan bahaya daripada segi keselamatan. Dalam era moden sekarang keadaan sudah berbeza dan kita harus ubah minda generasi muda agak datang menziarahi keluarga mereka yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Kerja-kerja menambak tanah perkuburan seluas 1 hektar itu membabitkan kos keseluruhan US Dollar 10,000 yang diperoleh daripada hasil kutipan derma dari penduduk dan ahli jawatankuasa kampung yang bergotong royong menyiapkan kawasan itu termasuk pembinaan pagar.