Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil pelbagai inisiatif dalam memperkukuhkan kerjasama dengan pemain industri.

UMT bekerjasama erat dengan RHB Islamic Bank Berhad melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempromosikan kempen kelestarian alam sekitar marin “OCEAN HOPE”.

Kempen OCEAN HOPE pada awalnya digerakkan oleh Kelab Akademik Program Sarjana Muda Sains Biologi Marin (Kelab Marina), Universiti Malaysia Terengganu bermula dengan penganjuran bengkel dan forum “Waste Management for Ocean Hope Workshop 2018” yang telah disokong kuat oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMT.

Profesor Dato` Dr Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT dalam ucapannya berkata, UMT merasakan inilah masa yang terbaik untuk melonjakkan projek OCEAN HOPE ke peringkat yang lebih serius berikutan respon positif daripada orang awam.

“UMT mengucapkan ribuan terima kasih kepada RHB Bank Islamic Berhad atas komitmen mereka untuk menjadi rakan strategik utama dalam menjayakan projek OCEAN HOPE,” katanya.

Pengarah Urusan, RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adissadikin Ali menegaskan kerjasama itu menguatkan lagi penyampaian kesedaran kempen.

“Melalui kerjasama antara UMT dan RHB Islamic ini, kita dapat memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk meningkatkan kesedaran dan menyampaikan kepentingan penyelidikan dalam pemuliharaan ekosistem marin serta alam sekitar, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)”.

Katanya, kerjasama unik antara RHB Islamic dan UMT mendorong kesan yang lebih besar untuk SDG14 PBB untuk Life Below Water juga merupakan segmen kurang diwakili dari kalangan korporat berbanding dengan semua SDG lain di Malaysia.

Sementara itu, Dr. Maizah Mohd Abdullah yang juga bertindak selaku Penyelaras Projek OCEAN HOPE berharap agar bengkel itu dapat memberi penjelasan terperinci serta kaedah terbaik untuk mengurus dan mengurangkan sisa sampah yang dihasilkan dalam kehidupan seharian.

“Masyarakat juga diterangkan bagaimana sistem pengurusan sampah yang tidak diuruskan dengan sempurna akan memberi kesan kepada lautan”.

Projek OCEAN HOPE dikatakan sesuai dengan dengan tahap pendidikan golongan sasar dan dilaksanakan secara interaktif.

Kempen ocean hope turut mendapat perhatian dan sokongan daripada saintis pelbagai institusi, kumpulan penyelidikan dan pusat pengajian dari UMT.

Majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT itu menyaksikan Profesor Dato` Dr Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT dan Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adissadikin Ali menandatangani dokumen perjanjian bagi mewakili agensi masing-masing.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahmad Zaini Sofian, Pengarah Perhubungan Perniagaan, RHB Islamic Bank Berhad, Prof Madya Dr Marinah Mohd Ariffin, Dekan Pusat Pengajian Sains Marin & Sekitaran selaku saksi bagi pemeteraian MoU tersebut serta pegawai-pegawai Kanan UMT.