Pasaran perumahan Malaysia memerlukan transformasi untuk mencapai pasaran perumahan yang kondusif, yang akan melindungi kepentingan pembeli rumah.
ISU-isu utama yang perlu ditangani termasuk penyediaan perumahan yang mampu dimiliki, harga rumah yang melambung, penawaran dan permintaan yang tidak sepadan, serta kesukaran untuk mendapatkan pinjaman perumahan.

Seruan ini dibuat oleh ahli panel di meja bulat CEO yang membincangkan cabaran yang dihadapi landskap pasaran hartanah yang kian berubah.
Jurucakap tetamu panel, Tan Sri Lim Hock San, Pengarah Urusan Kumpulan LBS Bina Group Berhad, menyeru semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, pemaju, bank dan pembeli rumah untuk bekerjasama dalam menangani isu perumahan mampu-milik yang berterusan.
“Usaha bersama diperlukan untuk menyelesaikan isu kemampuan pemilikan perumahan,” katanya.
Bertemakan, “Menghadapi Landskap Hartanah Baru – Mengatasi Cabaran”, Sidang Kemuncak Fokus Perumahan dan Hartanah Negara 2019 menyediakan platform menarik bagi para pemaju industri hartanah untuk membincangkan dan bertukar idea mengenai langkah-langkah untuk mengatasi pasaran hartanah yang tidak menentu.
Data terkini Bank Negara mendedahkan bahawa hartanah di Malaysia dilabelkan sebagai ‘tidak mampu’ berdasarkan metrik kemampuan antarabangsa, dengan kira-kira 74% daripada 171,000 unit kediaman yang tidak terjual berharga melebihi kemampuan rakyat Malaysia.
Lim berkata, ‘kemampu-milikan perumahan’ masih menjadi kebimbangan utama untuk majoriti pembeli rumah di Malaysia, dan dalam banyak kes, ia merupakan beban kewangan, terutamanya untuk pembeli rumah pertama dan kaum millennial.
Untuk menurunkan harga hartanah, beliau mencadangkan agar lebih banyak tanah kerajaan dikhususkan untuk perumahan yang mampu dimiliki.
“Kekurangan tanah di Lembah Klang adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada harga yang semakin meningkat. Pada masa ini, yang kami tahu hanya sebahagian kecil daripada projek perumahan yang mampu dimiliki dibina di atas tanah milik kerajaan.
“Jika lebih banyak tanah boleh diperuntukkan bagi pembangunan perumahan yang mampu dimiliki, ini akan meningkatkan bekalan rumah mampu milik.”

Dalam merealisasikan agenda perumahan negara, adalah penting agar langkah-langkah kolektif diambil, ini termasuk:
• Pemberian insentif untuk meningkatkan penggunaan IBS di kalangan pemaju dan pembina, yang seterusnya akan mempercepatkan penyerahan rumah berkualiti dan menurunkan harga rumah;
• Mempercepatkan penubuhan unit petugas khas yang dicadangkan untuk melancarkan proses kelulusan projek perumahan yang mampu dimiliki;
• Mepercepatkan penubuhan pusat pangkalan data dan entiti tunggal untuk membolehkan pengurusan penawaran dan permintaan hartanah yang berkesan. Dengan cara ini, pemaju hartanah boleh membina jenis hartanah yang sesuai yang memenuhi keperluan sebenar pembeli rumah. Lebih penting lagi, pangkalan data tersebut mestilah dapat diakses oleh semua pihak berkepentingan;
• Meningkatkan pendapatan isi rumah yang seterusnya akan mengukuhkan kedudukan pembeli rumah untuk mendapatkan pembiayaan yang lebih baik; dan
• Memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri untuk memudahkan perancangan dan pelaksanaan projek perumahan mampu milik. Satu entiti tunggal patut ditubuhkan untuk memimpin, mengawasi dan menyelaraskan inisiatif perumahan mampu dimiliki untuk negara.
Mengenai pemaju hartanah, Lim berpendapat bahawa pembangunan perumahan mampu milik bukan lagi sekadar membina sebuah rumah berbumbung. Pemaju hartanah mesti mengkaji keperluan sebenar pembeli rumah untuk membina rumah yang akan membantu meningkatkan kesejahteraan pembeli rumah dan keluarga mereka.
“Masalah perumahan sekarang adalah rumit, dan tiada penyelesaian yang mudah. Kita perlu bekerjasama dan berfikir di luar kotak. Pemaju perlu sedar bahawa ‘perumahan yang mampu dimiliki’ bukannya membina rumah murah.
“Ia adalah mengenai membina masyarakat yang berpadu dan lebih baik, membolehkan penghuni berkembang dalam persekitaran yang aktif dan selamat. Secara peribadi, saya percaya jika kita semua bekerjasama, kita boleh membentuk masa depan yang lebih baik untuk industri dan negara,” kata Lim.
Kembali untuk tahun kedua, persidangan tahun ini telah menarik lebih daripada 150 peserta termasuk pembuat dasar, pemaju hartanah, ejen, perunding, penyelidik dan institusi kewangan untuk berkongsi idea transformasi untuk meningkatkan sektor hartanah yang mencabar.






































