Industri minyak dan gas dunia secara umum diketahui sebagai industri yang kompetitif dengan semua pemain industri dan sub kontraktor bersaing mendapatkan projek seumpama berebut dalam sekeping ‘pai’.
NAMUN tidak kepada Sapura Energy Berhad yang berada dalam kelas tersendiri apabila terus berjaya meraih projek disebalik ketidaktentuan cabaran harga minyak mentah ketika ini.

Sapura mengukuhkan kehadirannya di pasaran minyak dan gas apabila merangkul lima tawaran baru minggu lalu dengan keseluruhan bernilai RM1.3 bilion sekali gus menjadikan jumlah tempahan buku kepada RM18.2 bilion yang sudah cukup menjadikan syarikat itu ‘sibuk’ untuk tiga tahun akan datang.
Penganalisis Kenanga Research, Steven Chan berkata, tawaran terbaru itu adalah kemuncak keupayaan syarikat secara kompetitif dan luar biasa untuk memenangi kontrak serta melaksanakan kerja diperingkat domestik mahupun antarabangsa.
“Kemasukan Sapura ke Mesir dan kontrak pertama dengan Royal Australian Navy membuktikan keupayaan teknologi dan kejuruteraan syarikat,” kata Chan.
Sementara itu, penganalisis pelaburan di Permodalan Nasional Berhad berkata, keupayaan Sapura meraih tawaran itu adalah hasil pengalaman luas dan kepimpinan dinamik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Shahril Shamsuddin.

“Tidak ramai yang yakin bahawa Sapura mampu meraih kembali disebabkan harga minyak mentah dunia yang lemah tetapi Shahril berjaya membuktikan disebaliknya dan menjadi kelebihan kepada Sapura untuk terus memacu industri,” katanya lagi.
Sapura meraih keseluruhan lima kontrak minggu lalu bernilai RM1.3 bilion daripada Phoenix International Austarlia Pte Ltd untuk Royal Australian Navy, Egypt’s Pan Marine Petroleum Services, Indonesia’s ENI East Sepinggan Ltd dan di Malaysia adalah ExxonMobil Exploration and Malaysia Production Inc serta Petronas Carigali.
Hasilnya, ini adalah kemajuan positif kepada Sapura yang mana semua penganalisis dalam nota penyelidikan kepada pelabur mengunjurkan unjuran positif bagi gergasi minyak dan gas ini.
Penganalisis Maybank Investment Bank, Liaw Thong Jun pula berkata, dengan tawaran terkini itu, Sapura dilihat memiliki peluang besar dalam meraih tawaran baru pada 2020 disebalik kenaikan perbelanjaan modal serta pengagihan tender oleh pemain utama minyak dan gas dunia.
Pasukan penyelidikan Alliance Investment Bank berkata, ‘mimpi buruk’ kini sudah berakhir kepada Sapura apabila disokong oleh penyata imbangan yang bersih, gearan bersih 0.6 kali dan unjuran bagi tender serta tempahan yang diterima dijangka mampu memberi pulangan kepada Sapura seawal separuh tahun kedua 2020.
Penganalisis Public Investment Bank, Nurzulaikha Azali berkata, lebih banyak kontrak dijangka diraih oleh Sapura menerusi beberapa bidaan aktif yang ada berjumlah keseluruhan RM45 bilion.
“Kejayaan terkini menjadi penanda pertama kontrak yang berjaya diraih Sapura pada 2020 dengan jangkaan lebih banyak lagi diraih untuk beberapa bulan akan datang,” kata Nurzulaikha dalam nota penyelidikan kepada para pelabur baru-baru ini.

Bagi penganalisis Hong Leong Investment Bank, Sean Lim Ooi Leong berkata, Sapura kini dalam landasan untuk merekodkan keputusan lebih baik untuk suku akan datang dan dijangkakan mencatatkan kedudukan kewangan lebih baik menjelang separuh kedua 2020 seiring dengan pemulihan sektor minyak dan gas dunia.
Secara keseluruhannya, kesemua firma penyelidikan membabitkan Alliance Investment Bank, AmInvestment Bank, Hong Leong Bank, Maybank Investment memberikan ulasan untuk membeli saham Sapura atau mencadangkan sasaran bahawa harga sahamnya dijangka naik antara 42 sen dan 55 sen dalam tempoh 12 bulan akan datang daripada harga saham semasa yang berlegar pada tahap 35 sen.
Ini jelas bahawa dengan kesemua kontrak ditangan, tiada halangan kepada Sapura daripada terus melebarkan sayapnya ke seluruh dunia.
Sapura, yang memiliki kehadiran di lebih 20 negara dan mempunyai kakitangan lebih daripada 10,000 orang membabitkan lebih 35 kewarganegaraan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk memperlahankan momentumnya dan terus berdiri dalam kelas tersendiri menjangkau pemain minyak dan gas lain. Memang benarlah Sapura berada dalam kelas tersendiri.