LBS terus mengutamakan perbandaran dan rumah mampu milik pada 2019

LBS Bina Group Berhad (LBS), mengekalkan trend pertumbuhan yang terus meningkat dengan peningkatan jualan melebihi RM1.4 bilion pada 2017, kepada lebih daripada RM1.5 bilion pada 2018.

Ini menandakan bahawa LBS telah mencapai peningkatan selama empat tahun berturut-turut, dari 2014 hingga 2018 dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 25%.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Lim Hock San berkata, “LBS sekali lagi mencapai pertumbuhan positif walaupun persekitaran pasaran yang mencabar.

“Mencapai hasil yang lebih baik selama empat tahun berturut-turut mengesahkan strategi yang telah kami laksanakan.

“Kami mempunyai rekod prestasi yang baik dalam menawaran produk yang memenuhi keperluan pembeli rumah, pada masa tepat dan yang lebih penting, pada lingkungan harga tepat,” katanya dalam kenyataan.

Pada tahun 2018, kebanyakan jualan diperolehi melalui pelancaran projek baru di LBS Alam Perdana di Puncak Alam, Residensi Bintang Bukit Jalil, Zenopy Residences di Seri Kembangan dan Kita @ Cybersouth di Dengkil.

Selain itu, perkembangan projek perbandaran termasuk Bandar Saujana Putra, D’ Island Residence di Puchong, Bandar Putera Indah di Batu Pahat dan Cameron Golden Hills di Cameron Highlands, turut menyumbang kepada hasil jualan yang baik.

Menuju ke 2019, meskipun prospek pasaran yang mencabar kerana sentimen waswas
pasaran yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan, LBS yakin dapat mencapai hasil jualan bernilai RM1.5 bilion yang didorong oleh strategi penawaran produk yang betul dan pelancaran baru yang tertumpu di Lembah Klang.

Ini termasuk perbandaran LBS Alam Perdana dan perbandaran Kita @ Cybersouth di Dengkil yang dijangka memberi sumbangan besar kepada pendapatan LBS pada 2019.

“Masih terdapat permintaan tinggi untuk perumahan yang berkualiti pada harga berpatutan. Strategi kami untuk memberi tumpuan lebih kepada rumah yang mampu dimiliki di dalam perbandaran yang mapan dan matang, dengan reka bentuk yang baik, kemudahan serta akses mudah; terus diterima dengan baik oleh pasaran, ” katanya.

LBS tetap optimis dengan prospek pertumbuhannya dengan jumlah jualan belum dibilkan pada RM 1.745 bilion setakat 31 Disember 2018. LBS telah merancang pelancaran projek-projek baru yang dianggarkan mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.82 bilion.

Hartanah yang akan dilancarkan pada tahun 2019 termasuk rumah teres dua tingkat di LBS Alam Perdana, kondominium Residensi Bintang Bukit Jalil, rumah teres dua tingkat di Bandar Putera Indah, Batu Pahat, serta lebih daripada 1,000 unit rumah yang
mampu dimiliki di Kita @ Cybersouth.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini