Kedutaan Arab Saudi di Malaysia menyumbangkan lima gulung karpet berukuran 15 meter setiap satu, kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Antarabangsa bagi kegunaan lima masjid di Kemboja yang telah dibangunkan oleh pertubuhan berkenaan.

SUMBANGAN itu diserahkan oleh Penasihat Islam Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Sheikh Abdul Rahman M Al-Herfi kepada Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican dalam satu majlis baru-baru ini.

Sheikh Abd Rahman berkata, sumbangan tersebut bagi menghargai kesungguhan, daya usaha dan keazaman NGO Antarabangsa membantu umat Islam sejagat khususnya dalam pembinaan perigi, masjid, surau dan sekolah-sekolah agama di negara itu.

“Usaha membangunkan umat Islam di Kemboja selama 20 tahun bukan sesuatu yang mudah tetapi berkat kesabaran dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican ini patut dicontohi dalam perjuangan agama Islam.

“Kita berharap umat Islam mempunyai kesungguhan, keazaman dan daya usaha untuk terus berjaya dan bukan sekadar berserah kepada Allah semata-mata,” katanya.

Sheikh Abd Rahman turut mengagumi usaha dan pencapaian Mustapha dalam membantu umat Islam yang dipimpin oleh individu bukan Islam sehingga mendapat pengiktirafan oleh kerajaan dan pemimpin masyarakat di negara tersebut.

Sementara itu, Mustapha berkata pihaknya berterima kasih kepada Kedutaan Arab Saudi di Malaysia khususnya Sheikh Abdul Rahman yang telah banyak membantu NGO Antarabangsa termasuk menerusi tajaan 1,000 naskhah al-Quran sebelum ini.

“Sumbangan karpet ini dapat saya gunakan di masjid-masjid yang dibangunkan oleh NGO Antarabangsa iaitu sebanyak lima buah. Diharapkan sokongan yang diberikan pihak Sheikh Abdul Rahman berterusan dalam program yang dijalankan oleh NGO Antarabangsa,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini