Kerajaan Negeri Selangor jalin kerjasama dengan Maybank Islamic tawar rumah mampu milik

MAYBANK Islamic menawarkan skim inovatif sewa beli hartanah ‘Rent-To-Own’ (RTO) kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah mampu milik di Selangor dibawah program khas Sewa Milik Selangorku.

Selangor merupakan negeri pertama yang bekerjasama dengan Maybank Islamic untuk menawarkan penyelesaian RTO melalui satu lagi inisiatif dibawah skim HouzKEY Maybank Islamic.

Gambar hiasan

Pembiayaan sebanyak RM1 bilion akan diperuntukkan oleh Maybank Islamic untuk 4,000 unit kediaman di kawasan seperti Bangi, Sungai Buloh dan Ampang bagi mereka yang layak memohon.

Pembiayaan ini dibangunkan berasaskan konsep Ijarah iaitu skim patuh syariah yang menawarkan 10 tahun kadar sewa bulanan yang tetap kepada pelanggan.

Di bawah program ini, pemohon kali pertama akan mendapat pembiayaan seratus peratus dan menyewa pada kadar sewaan bulanan yang rendah.

Sebanyak 20 peratus daripada jumlah sewa akan disimpan sebagai deposit sekuriti dan jumlahnya akan dikembalikan kepada pelanggan pada akhir tempoh sewaan 10 tahun atau lebih awal apabila mereka menukar kepada pembiayaan perumahan.

Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan inisiatif ini dalam pembentangan bajet Kerajaan Negeri Selangor 2019 pada Jumaat lalu. Diharapkan program ini akan memenuhi permintaan sebahagian daripada daripada 120,000 pemohon berdaftar dengan Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS).

Menerusi pengumuman ini, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari mengakui bahawa indeks kemampuan perumahan bukan sahaja diukur melalui pembinaan lebih banyak rumah mampu milik tetapi juga keupayaan isi rumah membuat pembayaran pendahuluan.

“Kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya antara kerajaan negeri dan institusi kewangan.

Kami berharap dengan pelaksanaan Program Sewa Milik Selangorku ini akan menjadi penyelesaian yang mampan untuk membantu rakyat dalam memiliki rumah di bawah program Selangorku”, katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Dato’ Mohamed Rafique Merican berkata, HouzKEY Maybank Islamic dilancarkan pada Januari tahun ini untuk hartanah yang berharga sehingga RM1 juta.

Maybank Islamic kemudian merancang untuk mengembangkan sasaran skim ini kepada projek rumah mampu milik.

“Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan rumah mampu milik kepada pembeli rumah pertama memiliki hartanah yang tidak melebihi RM250,000.

“Kami komited memberikan penyelesaian alternatif kewangan kepada rakyat Malaysia yang benar-benar mahu memiliki rumah pertama selaras dengan misi kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan”.

Beliau berkata, HouzKEY Maybank Islamic yang ditawarkan adalah sebahagian daripada inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based intermediation atau VBI), iaitu memberikan penyelesaian yang berdaya maju dan mampan dalam pemilikan rumah selaras dengan Agenda Nasional dalam pemilikan hartanah.

“Kami sentiasa berusaha untuk memperkenalkan produk yang menawarkan saranan nilai yang lebih baik kepada pelanggan. Skim HouzKEY Maybank Islamic menawarkan jalan alternatif kepada pemilikan rumah dan ia merupakan produk pertama seumpamanya yang ditawarkan di pasaran oleh institusi kewangan,” katanya.

HouzKEY Maybank Islamic telah direka untuk menyediakan penyelesaian alternatif untuk pemilikan rumah menerusi skim inovatif yang hanya memerlukan deposit sewa tiga bulan dan pelanggan dapat segera menetap di rumah impian mereka.

Selepas perjanjian ditandatangani, harga hartanah itu ditetapkan pada harga sewa tetap selama 10 tahun dan pelanggan boleh berhijrah ke pembiayaan perumahan Maybank Islamic selepas satu tahun menyewa, atau mereka boleh terus menyewa selama 10 tahun dan membeli hartanah berkenaan dengan harga yang ditetapkan pada hari pertama perjanjian.

Kerjasama antara Program Sewa Milik Selangorku dan HouzKEY Maybank Islamic akan bermula pada suku pertama 2019. Para pelanggan boleh melayari laman web www.Maybank2own.com bermulam inggu ini untuk mendaftar dan ia terbuka kepada pembeli rumah pertama yang lahir di negeri Selangor atau menetap di negeri berkenaan selama lebih dari lima tahun atau pengundi di Selangor.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini