Mah Sing dan Lazada muncul syarikat pertama menjual rumah dalam talian di Asia Tenggara pada 12 Disember ini

MAH Sing Group Berhad, dan platform eDagang Lazada Malaysia, telah berganding bahu untuk membawa kemudahan pembelian rumah dalam talian buat pertama kalinya di Asia Tenggara.

Berikutan kejayaan yang dicapai semasa Lazada 11.11 Shopping Festival, kerjasama strategik ini telah dibentuk sempena Jualan Hebat Akhir Tahun Lazada 12.12 bagi memenuhi keperluan generasi baru pembeli dalam talian.

Majlis pelancaran diadakan di Ruyi & Lyn, Bangsar Shopping Centre dirasmikan oleh Datuk Ho Hon Sang, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, dan Christophe Lejeune, Ketua Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia, dan disaksikan oleh Tan Kok Wai, Malaysian Prime Minister’s Special Envoy to China dan Tan Sri Dato’ Sri Leong Hoy Kum, Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Mah Sing.

“Mah Sing peka terhadap perubahan tabiat dan pilihan pelanggan, terutamanya yang berkaitan dengan penggunaan teknologi yang meluas untuk membeli barangan.

“Kami ingin menjadi lebih inovatif dalam perniagaan dan mengubah cara pelanggan membeli rumah mereka.

“Lebih separuh daripada penduduk Malaysia membeli-belah menerusi dalam talian, maka sebagai pemaju pertama yang menjual unit rumah secara dalam talian melalui platform eDagang seperti Lazada, perkembangan ini memberikan kami kelebihan daya saing berbanding pemaju lain di Malaysia,” kata Datuk Ho Hon Sang, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing.

Christophe Lejeune, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia berkata, “Kami teruja dengan peluang menjadi platform eDagang pertama di rantau ini yang menjual hartanah.

Sambutan hangat yang diterima semasa Lazada 11.11 Shopping Festival menggalakkan kami meningkatkan usaha untuk memenuhi permintaan pengguna yang sentiasa berubah dan semakin berani berbelanja dalam talian.

Generasi pembeli kini di Malaysia sedang mencari lebih banyak penyelesaian digital bagi semua keperluan gaya hidup, dan kami percaya bahawa kerjasama ini akan menjadikan rumah mampu milik lebih mudah diakses oleh para pembeli muda.”

Para pembeli rumah Mah Sing yang membeli rumah mereka menerusi Lazada akan menerima Insentif eksklusif dari Lazada sebanyak 5%, bernilai antara RM20,000-RM30,000; satu-satunya insentif dalam talian terbesar yang pernah ditawarkan di platform Lazada.

Mah Sing yakin bahawa insentif ini mampu menarik lebih ramai pelanggan yang pintar menggunakan kemudahan digital sepanjang kempen jualan tersebut.

Ho berkata, “Ini merupakan kali pertama hartanah dijual menerusi platform e-dagang di Asia Tenggara dan Mah Sing teruja dapat menjadi perintis di pasaran Malaysia.

Oleh sebab unit-unit terpilih adalah terhad dan disediakan khas untuk kempen ini, kami menggalakkan para pembeli untuk bertindak dengan pantas. Siapa cepat dia dapat!”

Projek-projek Mah Sing yang akan disenaraikan di Lazada untuk 12.12 termasuklah M Vertica, Cheras; M Centura, Sentul; Sensa Residence@Southville City, KL South; M Aruna, Rawang; M Vista, Pulau Pinang; dan Meridin East, Johor.

Mereka yang berminat boleh melihat kesemua hartanah ini mulai 28 November 2018. Unit yang terpilih boleh diletakkan ke dalam troli dan dibeli mulai 10 hingga 12 Disember 2018.

Bakal pembeli juga digalakkan untuk menghubungi bank mereka untuk memeriksa kelayakan pinjaman sebelum membuat tempahan unit menerusi Mah Sing Flagship Store di LazMall semasa kempen berlangsung.

Bayaran tempahan akan dikembalikan sepenuhnya jika pembeli membuat keputusan untuk tidak meneruskan pembelian mereka. Selepas pemilihan unit, dokumentasi dan permohonan pinjaman dimuktamadkan, pembeli boleh menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dan menjadi pemilik rumah baru.

Selaras dengan slogan terbaharu “Reinvent Spaces. Enhance Life”, Mah Sing telah melancarkan Arts & Lights Play! Vol. 4 pada September lalu di Galeri Jualan Southville City di Bangi.

Digelar sebagai muzium “Instagram” yang pertama di Malaysia, pelancaran Arts & Lights diilhamkan oleh muzium-muzium selfie di Amerika seperti Muzium Aiskrim dan Kilang Warna.

Pameran pertama yang dilancarkan pada November 2017 telah menarik seramai 47,018 orang pengunjung.

Sehingga Oktober 2018, pameran ini telah dikunjungi oleh 62,018 orang, sebahagian besar terdiri daripada penyokong setia Mah Sing yang telah mengunjungi acara-acara sebelum ini.

Inisiatif pemasaran yang popular ini telah berjaya meningkatkan pendedahan jenama Mah Sing kerana ia menarik perhatian kumpulan yang pintar menggunakan digital di mana bilangan mereka kini semakin meningkat di Malaysia.

Mah Sing turut melancarkan aplikasi mudah alih baharu dipanggil ‘MY Mah Sing’ pada awal tahun ini untuk menjejak keseluruhan proses pemilikan rumah Mah Sing oleh pembeli.

Aplikasi peneman ini memberi bantuan dalam tiga bidang teras; sebelum masuk rumah (menandatangani SPA), memasuki rumah (penyerahan kunci) dan membina kehidupan (menjadi sebuah masyarakat).

Para pemilik rumah akan mendapat pengalaman yang menyeluruh di hujung jari kerana perkhidmatan aplikasi ini juga termasuk dan tidak terhad kepada penyusun jadual VP Bersepadu, Laporan Pengurusan Kerosakan, Pentadbir Pengurusan Hartanah, kemas kini foto kemajuan pembinaan dalam masa sebenar dan Keahlian M Club secara maya.

Pelancaran ini selaras dengan keutamaan Mah Sing untuk meningkatkan mutu kehidupan para pelanggan.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini