Sekolah Agama Darul Iman, Kampung Jamuan di sempadan Kemboja dan Vietnam dirasmikan hari ini oleh Pengerusi dan Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican di hadapan 300 penduduk kampung terbabit.

SEBELUM ini, penduduk kampung berkenaan bergantung kepada sekolah lama yang agak uzur dan tidak mempunyai kemudahan asas seperti elektrik atau kipas.

Pengerusi dan Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican merasmikan Sekolah Agama Darul Iman disaksikan Ketua Kampung Jamuan, Manap Mohd Zin (dua dari kanan), mudir sekolah, Ustaz Ramli Yusof (jubah putih) dan Ketua NGO Muslim Kemboja, Ali Said (kiri sekali)

Datuk Dr Mustapha berkata, pembinaan sekolah itu dapat memberi manfaat kepada 120 pelajar berusia dari 6 tahun iaitu pra tadika sehingga 15 tahun.

“Kita menekankan keselesaan untuk pelajar semasa mereka berada dalam bilik darjah dan apa yang penting pelajar ini dapat menumpukan  perhatian  kepada pelajaran.

“Sekolah ini mempunyai dua kelas dengan kos pembinaan sebanyak USD30,000 dan jumlah itu tidak termasuk peralatan sekolah,” katanya ketika merasmikan sekolah baru yang dibina sejak Februari lalu dan siap sepenuhnya pada awal November lalu.

Keselesaan dalam bilik darjah sekolah agama yang lengkap dengan kemudahan asas

Menurut Mustapha, kos pembinaan sekolah itu adalah hasil  sumbangan dari Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Terengganu dan individu bagi melengkapkan keseluruhan sekolah tersebut.

“Walaupun sekolah ini, tidak dapat menampung keseluruhan pelajar seramai 120 orang tetapi buat masa ini, mereka boleh menggunakan sekolah lama bagi kanak-kanak pra Tadika seusia 6 tahun atau menggunakan sekolah dengan kaedah 2 sesi pengajian pagi dan petang,” katanya.

Justeru, Mustapha berhasrat untuk menambah satu tingkat lagi sekolah itu bagi menampung keseluruhan pelajar ini bergantung kepada duit sumbangan yang diterima oleh NGO Antarabangsa.

“InsyaAllah, sekiranya ada rezeki kita akan tambah satu tingkat lagi supaya semua pelajar dapat belajar pada waktu yang sama.

Lakaran artis model Sekolah Agama Darul Iman

“Saya juga menyarankan agar ibu bapa terus memberi penekanan kepada pendidikan anak-anak mereka agar mereka mendapat ilmu pengetahuan untuk menjamin masa depan yang lebih baik.

“Bagi anak-anak yatim dan anak mualaf serta fakir miskin, saya cadang kampung ini mewujudkan satu tabung yang diketuai oleh Ketua Kampung atau Imam kampung berkenaan,” katanya.

Mustapha juga berharap masyarakat Islam Kemboja yang berada di luar negara turut membantu saudara-saudara mereka seperti membuat sekolah, masjid, surau, telaga dan lain-lain kemudahan bagi kepentingan masyarakat secara umumnya.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua yang hadir bahawa kita tidak boleh mengharapkan bantuan luar semata-mata dan masyarakat kampung perlu bekerjasama serta saling membantu supaya benda yang berat dapat diringankan,” katanya.

Ketua Kampung merangkap imam, Manap Mohd Zin (kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada Mustapha (kanan) atas usaha membina sekolah agama

Beliau berkata, NGO Antarabangsa sekadar melaksanakan amanah Allah SWT untuk membina masjid, surau, telaga dan sekolah.

Setakat ini, tiga buah sekolah telah dibina oleh NGO Antarabangsa termasuk sekolah ini dan berharap kampung ini dapat memanfaatkan sekolah ini dengan sebaik mungkin dengan menjaga kebersihan sekolah serta memperindahkan lagi kawasan keliling supaya ianya kelihatan menarik.

“Saya juga berharap masyarakat kampung ini dapat memainkan peranan bagi menghidupkan sekolah ini manakala ibu bapa perlu mengutamakan anak anak dari segi pendidikan supaya sekolah ini nanti dapat melahirkan pelajar-pelajar hebat dan dapat menyambung pengajian ke keluar negara,” katanya.

Sebahagian daripada pelajar Sekolah Agama Darul Iman

Sekolah Agama Darul Iman dibina diatas tanah seluas suku ekar berdekatan masjid kampung berkenaan. Sekolah asal kampung itu sudah terlalu uzur dan tidak boleh diperbaiki serta tidak dapat menampung  pelajar yang sentiasa bertambah.

Sehubungan itu, NGO Antarabangsa mengambil  inisiatif membuat sekolah baru yang berdaftar dengan kerajaan supaya para pelajar terjamin untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Turut hadir Ketua kampung dan Imam, Manap Mohd Zin; Gurubesar Sekolah Agama Darul Iman, Ustaz Ramli Yusof, guru-guru dan NGO tempatan dan penduduk kampung.

Kebanyakan penduduk ini adalah golongan miskin dan bekerja mengambil upah menanam padi, menoreh getah, kelindan lori kerana kedudukan kampung itu tidak jauh dari sempadan Kemboja Vietnam

Mustapha berkata, ilham menamakan sekolah itu bukan kerana sumbangan dari GLC itu sahaja tetapi saya sendiri berasal dari Negeri Terengganu Darul Iman. Jadi, nama sekolah itu diberi nama atas perhargaan kepada GLC Negeri Terengganu yang bermurah hati bagi tujuan  membina sebuah sekolah agama.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini