Maybank dan KFC Malaysia mengumumkan kerjasama bagi menyediakan pembayaran menggunakan Maybank QRPay di restoran KFC.

INI menjadikan jenama tersebut sebagai rangkaian restoran terbesar di Malaysia yang menawarkan kemudahan pembayaran menggunakan kod QR menerusi aplikasi Maybank.

Group President & CEO of Maybank, Datuk Abdul Farid Alias (third from left) and President & Chief Executive of Johor Corporation cum Chairman of QSR Brands, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim (second from left)

Kerjasama berkenaan telah dilancarkan oleh Presiden Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias bersama Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim di KFC The Curve, Petaling Jaya.

Turut hadir adalah Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan QSR Brands serta Dato’ John Chong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank.

Farid berkata, kerjasama di antara Maybank dan KFC Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha kedua-dua syarikat bagi menawarkan lebih kemudahan kepada pelanggan, mempertingkat kecekapan serta memacu agenda negara ke arah pembayaran tanpa tunai.

“Kerjasama yang dicipta ini bertujuan mempertingkatkan pengalaman pelanggan menerusi sebuah ekosistem pembayaran yang mengurangkan keperluan untuk membawa wang tunai serta mampu memberi banyak faedah kepada peniaga,” katanya.

“Dengan lebih 11 juta pengguna perbankan internet- yang mana lebih 4 juta menggunakan servis perbankan mudah alih- kami percaya bahawa syarikat perniagaan, terutamanya industri kecil sederhana, boleh mendapat manfaat daripada bilangan pelanggan Maybank yang meluas apabila mereka menggunakan platform digital kami seperti Maybank QRPay.”

“Dengan kehadiran KFC yang meluas di seluruh negara dan keupayaan perbankan digital terkemuka Maybank, kami percaya bahawa kami mampu memacu cita-cita negara dalam mempromosikan pembayaran tanpa tunai,” katanya.

Farid berkata, Malaysia terus menyaksikan peningkatan penggunaan teknologi tanpa tunai dan dijangka menyertai ekonomi besar seperti China, Hong Kong, Singapura dan Korea dalam masa beberapa tahun.

“Trend ini boleh dilihat dari peningkatan jumlah pengguna Maybank2u yang mengakses platform berkenaan melalui peranti mudah alih dan komputer, dan pengguna yang semakin kerap memilih transaksi berasaskan tanpa tunai.”

Sementara itu, Mohamed Azahari berkata, KFC sedang menjalani transformasi digitalnya menerusi pelbagai inisiatif berlandaskan teknologi yang telah dirangka bagi mempertingkatkan pengalaman pelanggan secara menyeluruh.

“Bagi memperluaskan lagi jaringan perkhidmatan dan memastikan kami dapat memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan cemerlang serta pengalaman yang terbaik; strategi digital yang menyeluruh telah diatur di dalam usaha kami untuk menyediakan kemudahan capaian, peningkatan kecekapan serta lebih fleksibiliti kepada pelanggan; daripada titik pesanan, pembayaran, sehingga ke penyediaan dan penghantaran produk,” katanya.

“Tahun ini kami telah melancarkan kemudahan transaksi tanpa tunai di restoran kami dengan pilihan pembayaran digital menerusi kad kredit dan debit. Hari ini, kami akan memperkenalkan sebuah lagi keupayaan baharu melalui kaedah pembayaran QR dengan kerjasama Maybank sebagai sebahagian daripada strategi memfokuskan pelanggan bagi menawarkan perkhidmatan lancar bersama nilai tambah,” katanya.

Beliau berkata, Bank Negara telah menjangkakan negara Malaysia akan menjadi sebuah masyarakat tanpa tunai menjelang 2020.

“Oleh yang demikian, kami merasakan kemudahan pilihan pembayaran menerusi telefon bimbit di restoran kami seperti QRPay merupakan satu langkah progresif untuk memastikan kami kekal menjadi peneraju dalam perniagaan di masa hadapan.”

Sistem pembayaran digital ini telah dilancarkan di 11 buah restoran KFC iaitu KFC Puduraya, Pavilion 2, Bukit Bintang, KL Sentral, Mid Valley Megamall, KLIA2 Arrival dan Departure, Sunway Pyramid, Shah Alam Section 7, The Curve dan VSQ. Ianya bakal disediakan di semua titik jualan KFC seluruh negara menjelang suku pertama 2019.

Dengan perkhidmatan terbaru ini, pelanggan yang menggunakan Maybank QRPay di restoran KFC akan menikmati kemudahan membuat pembayaran dengan hanya membuka ciri QRPay di dalam aplikasi Maybank.

Pelanggan kemudian perlu memilih fungsi “Bayar” untuk menghasilkan kod QR pada telefon bimbit mereka untuk diimbas oleh pengimbas terminal kad pada titik jualan. Jumlah pembelian kemudiannya didebitkan dari akaun deposit pelanggan sebelum transaksi selesai.

Selain kemudahan yang dinikmati oleh para pelanggan, servis terbaharu ini turut menjanjikan peningkatan kecekapan buat peniaga runcit kerana transaksi QRPay diintegrasikan ke dalam titik jualan mesin daftar tunai bagi memberikan peniaga butiran lengkap daripada setiap pembayaran.

Maybank merupakan bank pertama di Malaysia untuk menawarkan kemudahan pembayaran tanpa tunai melalui kod QR apabila perkhidmatan ini diperkenalkan pada Januari tahun ini. Setakat ini, Maybank telah mengumpul lebih daripada 160,000 peniaga yang menawarkan pilihan pembayaran ini, yang terdiri daripada peniaga kecil, cawangan restoran, serta peniaga runcit dan pusat kecantikan.

Di bawah kerjasama dengan KFC Malaysia ini juga, platform Maybank akan menyediakan keupayaan pembayaran QR melalui Alipay dan WeChat, dengan tujuan utama untuk membolehkan pelawat dari China membuat bayaran dengan lancar di outlet KFC di Malaysia.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini