Kedutaan Arab Saudi sedia membantu NGO Antarabangsa untuk membekalkan Al-Quran untuk sekolah-sekolah Tahfiz yang dikendalikan pertubuhan itu khususnya di Kemboja dan Thailand.

PENGERUSI dan Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, pada peringkat awal beliau ke Kemboja sejak 1999, keadaan sekolah Tahfiz amat daif.

Mustapha (kiri) dan Sheikh Abdul Rahman sedang berbincang tentang sumbangan Al-Quran untuk sekolah Tahfiz yang dikendalikan oleh NGO Antarabangsa

“Al-Quran pun tidak ada dan mereka terpaksa berkongsi malah ada yang terpaksa dibuat salinan photostat namun masih tidak mencukupi.

“Sejak saya datang ke Kemboja, saya bawa sendiri Al-Quran, Muqadam, sejadah, kain pelikat dan kopiah. Syukurlah hari ini kebanyakan sekolah Tahfiz Kemboja dan Thailand sudah menggunakan Al-Quran yang asli.

“Justeru, saya amat berterima kasih kepada penasihat Islam kedutaan Arab Saudi di Malaysia Sheikh Abdul Rahman M Al Herfi yang sedia membantu membekalkan Al-Quran tersebut dibeberapa sekolah Tahfiz yang dikendalikan oleh NGO Antarabangsa di Kemboja dan Thailand,” katanya ketika ditemui, di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Sheikh Abdul Rahman M Al Herfi berkata, langkah yang diambil oleh NGO Antarabangsa amatlah baik malah satu contoh terbaik dengan memberi penekanan pendidikan agama kepada kanak kanak dan generasi muda.

Beliau berkata, langkah itu supaya mereka dapat dididik dengan cara berilmu yang baik pada masa depan dan dapat mengelak mereka daripada terjebak dengan gejala yang boleh memudaratkan diri, masyarakat dan negara.

“Oleh itu penekanan kepada ilmu agama harus dilakukan diperingkat awal dan saya rasa langkah yang dibuat oleh Mustapha adalah sesuatu yang murni serta patut menjadi contoh terbaik kepada mereka yang memperjuangkan agama Islam sejagat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan rasa kagum dengan usaha gigih NGO Antarabangsa yang berjaya membina lima buah Masjid, tiga sekolah Tahfiz Al-Quran di Kemboja manakala sebuah sekolah Anak-Anak Yatim dan sekolah Tahfiz di Thailand.

“Saya sedia membantu keperluan NGO Antarabangsa seperti Al-Quran untuk sekolah Tahfiz di Kemboja dan Thailand.

“Sebagai peringkat awal sebanyak 1,000 naskah Al-Quran telah diberikan kepada NGO Antarabangsa dan kami akan membantu dari semasa ke semasa mengikut keperluan demi agama Islam serta bagi kepentingan ummah keseluruhannya,” katanya.

Mustapha dalam pada itu berkata, NGO Antarabangsa akan memperluaskan rangkaiannya ke Filipina bagi melihat perkembangan sekolah Tahfiz dan masjid yang perlu dibangunkan atau di baikpulih.

Pada masa sama, pihaknya juga akan melihat perkembangan Islam di Loas, Vietnam dan Burma namun perlu menghormati undang undang negara tersebut kerana setiap negara memiliki peraturan dan undang-undangnya sendiri.

Beliau berkata, memperjuangkan agama Islam bukan mudah seperti di Malaysia kerana kita harus mempunyai kesabaran tinggi, daya usaha dan kekuatan mental apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya membantu kaum minoriti di negara yang dipimpin oleh pemimpin bukan Muslim.

“Bagaimanapun, saya memuji kerajaan Kemboja mengalu-alu kehadiran rakyat Malaysia ke Kemboja untuk membantu rakyatnya sama ada mereka beragama Islam atau tidak dan tidak ada peraturan yang melarang bagi kita ingin membantu malah begitu juga di Thailand, Vietnam, Loas dan Filipina.

“Apa yang penting ialah niat kita baik dan kehadiran kita di negara berkenaan ingin membantu masyarakat setempat khususnya mereka yang beragama Islam bagi meringankan beban dengan membina sekolah Tahfiz bagi anak-anak mereka dan masjid bagi tujuan mereka dapat berkumpul, menunaikan solat berjemaah dan merapatkan silahturrahim sesama mereka,” katanya.

Mustapha berkata, masjid di Kemboja digunakan untuk pelbagai kegunaan misal selain daripada solat fardu, ia turut digunakan untuk tujuan perkahwinan, mesyuarat penduduk kampung, urusan jenazah dan pengumuman hal penting.

Beliau yang memulakan program di Kemboja sejak 1999 sudah membina sebanyak 3,350 buah perigi kebanyakan di kawasan pedalaman bagi mendapatkan air bersih diikuti pembinaan masjid, surau dan sekolah Tahfiz.

“Sehubungan itu, bantuan menaja Al-Quran ini akan dapat disalurkan ke sekolah berkenaan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan Sheikh Abdul Rahman M Al Herfi dan pihak kedutaan Arab Saudi memberi sumbangan Al-Quran ini,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini