Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengadakan Hari AMAL Bank Islam 2018, satu inisiatif tanggungjawab korporat Bank Islam yang diadakan serentak di seluruh negara bertujuan untuk menyantuni golongan yang memerlukan.

INISIATIF ini menyaksikan warga Bank Islam berganding bahu melalui aktiviti gotong royong melakukan kerja-kerja kebajikan dan amal untuk penerima-penerima manfaat yang telah dikenalpasti di setiap negeri di seluruh negara.

Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif (Pemangku) bergotong-royong mengecat Pusat Jagaan Kasih Titian OKU Nur, Rawang

Program ini diadakan dengan hasrat untuk merealisasikan inisiatif kemampanan Bank Islam dalam menyumbang kembali kepada masyarakat dan alam sekitar di samping menggalakkan keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya (work-life balance) di kalangan warga Bank Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif (Pemangku) Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, “Hari AMAL Bank Islam 2018 ini merupakan kali kedua diadakan sejak diperkenalkan pada 2017.

Untuk tahun ini kami menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000 di mana RM140,000 adalah dari dana zakat manakala RM60,000 adalah peruntukan khusus untuk Hari AMAL.

Kami menganggarkan lebih dari 520 warga Bank Islam di seluruh negara, termasuk ahli pengurusan akan turun padang untuk melakukan kerja-kerja kebajikan di 14 lokasi.

Kakitangan Bank Islam menyantuni penghuni di Pusat Jagaan Titian OKU Nur, Rawang

Seramai 490 penerima manfaat yang terdiri dari individu dan institusi akan disantuni sepanjang Hari AMAL ini.

Secara keseluruhannya, sejumlah 3,120 jam (masa kakitangan/ man hours) diluangkan untuk menjayakan program Hari AMAL ini ”.

Antara aktiviti-aktiviti kebajikan yang akan dijalankan di 14 lokasi ini termasuklah aktiviti gotong-royong membersihkan dan memperbaiki rumah warga emas, maahad tahfiz, madrasah dan pusat jagaan OKU serta aktiviti menanam anak bakau untuk ekosistem paya bakau dan pembersihan pantai.

Bagi aktiviti Hari AMAL di Rawang, Selangor, Ketua Pegawai Eksekutif (Pemangku) Bank
Islam, Mohd Muazzam Mohamed dan sukarelawan warga kerja Bahagian Sokongan Korporat Bank Islam bersama-sama berganding bahu menyumbang tenaga di Pusat Jagaan Titian OKU Nur.

Pusat ini menyediakan khidmat penjagaan 24 jam kepada golongan warga emas dan OKU yang mempunyai masalah mental yang tidak merbahaya.

Aktiviti gotong-royong yang dilakukan meliputi kerja-kerja membersih dan mengemas
ruang dalam dan luar pusat jagaan, menggantikan tilam dan bantal serta cadar baru,
menyumbangkan perabot, barangan keperluan dan barangan dapur.

Warga Bank Islam bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar Pusat Jagaan Kasih Titian OKU Nur, Rawang

Program ini diikuti juga dengan aktiviti beramah mesra bersama warga OKU dan jamuan makan tengahari.

Hari AMAL 2018 ini adalah sebahagian daripada inisiatif Bank Islam menyokong
Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based Intermediation – VBI) yang diperkenalkan
oleh Bank Negara Malaysia sebagai hala tuju strategik industri perbankan Islam
seterusnya.

Tambahan pula, elemen-elemen inisiatif tanggungjawab korporat Bank Islam
seperti Hari AMAL ini adalah untuk mencapai agenda Matlamat Pembangunan Lestari
(Sustainable Development Goals – SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB).

Melangkah ke hadapan, Bank Islam akan terus berusaha untuk mencapai lagi matlamat-matlamat SDG yang lain dan ini secara langsung selari dengan hala tuju Bank Islam ke
arah VBI yang mementingkan nilai aspek “Triple Bottom Line” iaitu manusia, planet dan
kemakmuran (people, planet and prosperity).

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini