Filem “Tombiruo: Penunggu Rimba” yang diadaptasi dari novel karya Ramlee Awang Murshid, mencipta sejarah apabila tersenarai sebagai finalis Filem Asia Terbaik pada anugerah “The Australian Academy of Cinema and Television Arts (AACTA)” 2018.
MENURUT data pencapaian filem Malaysia peringkat antarabangsa Tahun 2018 yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), filem yang diterbitkan oleh Astro Shaw akan bersaing bersama lapan filem hebat lain dari seluruh Asia.
Filem-filem itu ialah 1987 When The Day Comes (Korea Selatan), The Bold, The Corrupt and The Beautiful (Taiwan), Dying to Survive (China), Gali Guleiyan (India), Newton (India), Sanju (India), Shoplifters (Jepun) dan Youth (China).
Pemenang anugerah itu akan diumumkan pada majlis kemuncak pada 5 Disember depan di Sydney, Australia.
Terdahulu, filem arahan Dain Said yang dibintangi Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Hasnul Rahmat, Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa, Faizal Hussein, terpilih sebagai “Official Selection” di bawah kategori ‘World Fantastic Blue’ bersama-sama 36 filem lain dari seluruh dunia pada 22nd Bucheon International Fantastic Film Festival (BiFan) yang berlangsung dari 12 hingga 22 Julai lalu di Bucheon, Korea Selatan.
Selain itu, data tersebut turut berkongsi kejayaan filem berunsur super-natural, “Interchange” yang mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila meraih anugerah Kesan Khas Visual pada Festival Filem Asia Pasifik ke-58 (APFF58) di Taipei, Taiwan, pada September lalu.
Filem “Tombiruo: Penunggu Rimba” turut dicalonkan dalam kategori Penataan Bunyi Terbaik dalam festival yang sama. –Bernama