Proton melancarkan tempahan dalam talian melalui laman web dan hadiah istimewa ditawarkan bagi tempahan yang dibuat semasa tempoh promosi

SUV serba baharu Proton kini boleh ditempah lebih mudah dengan pelancaran platform tempahan dalam talian menerusi laman web www.proton.com.

Diakses melalui laman web korporat Proton, platform baharu ini boleh digunakan bermula jam 10 pagi pada 17 Oktober untuk membolehkan pelanggan menempah Proton X70 di mana-mana sahaja menggunakan peranti dengan kemudahan internet.

Proton X70 menetapkan satu lagi penanda aras dengan menjadi model Proton pertama yang boleh ditempah secara dalam talian.

Pelanggan yang ingin menempah SUV perlu memberikan butiran peribadi mereka, model dan warna pilihan serta bandar dan negeri di mana mereka ingin mengambil kereta mereka.

Selepas bayaran tempahan dilakukan, juga secara dalam talian, resit yang dihasilkan oleh sistem akan dihantar kepada e-mel pelanggan. Proton kemudian akan melantik penasihat jualan untuk menguruskan pesanan dengan menghubungi pelanggan dalam tempoh tujuh hari bagi memproses tempahan.

Memandangkan ini adalah kemudahan jualan baharu, Proton akan mengadakan jualan kilat atau flash sale dari 17-19 Oktober untuk mempromosikan penggunaan platform baharunya.

Dalam tempoh promosi selama tiga hari tersebut, pelanggan yang menempah Proton X70 melalui dalam talian hanya perlu membayar yuran tempahan sebanyak RM99.

Bagi tempahan yang dibuat di mana-mana cawangan Proton, bayaran penuh akan dikembalikan sekiranya pelanggan mengubah fikiran mereka.

Sempena pelancaran portal tempahan dalam talian ini, Proton juga akan berkongsi maklumat lengkap mengenai Proton X70 di laman sesawangnya termasuklah spesifikasi untuk setiap varian model.

Maklumat ini akan membantu pelanggan membuat keputusan, terutamanya berkaitan pilihan variasi dan warna, sama seperti mereka berkunjung ke bilik pameran dan menyaksikan aktiviti penjualan yang sebenar.

Proton juga akan memberi ganjaran kepada mereka yang membuat tempahan sebelum pelancaran Proton X70.

Ganjaran ini berupa hadiah istimewa untuk semua pelanggan awal tidak kira sama ada mereka menempah melalui dalam talian atau di cawangan kami,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

Sementara itu, sesi pratonton pelanggan Proton X70 kini menyeberangi Laut China Selatan menuju ke Malaysia Timur yang diadakan di Kuching pada 15-16 Oktober.

Selepas sesi pratonton bersama media yang kedua, sesi ini menumpukan pada fungsi sambungan dan teknologi yang ditawarkan oleh SUV tersebut sambil menjelaskan tentang elemen gaya yang digunakan pada bahagian luaran dan dalaman model tersebut. Sesi pratonton ini akan diteruskan di Kuantan dan Ipoh dan akhir sekali di Kota Kinabalu.

Proton X70 Spec

“Sambutan pelanggan terhadap Proton X70 amat mengalakkan. Senarai kehadiran pada sesi pratonton kami sangat tinggi dengan majoriti daripada mereka menyatakan bahawa mereka kagum dengan kualiti dan spesifikasi yang ditawarkan pada model pertama yang dibangunkan bersama Proton dan Geely.

Ia akan menjadi pencetus perubahan untuk Proton dan ini diakui oleh mereka, berdasarkan jumlah tinggi pra-tempahan yang diterima. Oleh itu, kami berusaha kuat untuk memastikan kereta-kereta yang diserahkan adalah seperti yang diharapkan oleh para pelanggan kami,” kata Abdul Rashid.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini