Pemergian Allahyarham Saleem satu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air kerana beliau adalah seorang penyanyi yang unik dan sukar dicari ganti.

“Saleem di mata saya permata seni yang sukar dicari ganti. Rugilah kerajaan Terengganu sewaktu Saleem hidup membiarkan anak-anak seni Terengganu seperti Saleem ini berkeliaran begitu saja!” kata seniman Sulaiman Yassin di sebalik kematian Saleem.

Sulaiman Yassin atau Mat Over

Bagi Sulaiman atau lebih mesra dikenali sebagai ‘Mat Over’ sekalipun selepas ini kerajaan Terengganu mahu memberi penghargaan atau mengurniakan pingat pada Saleem tetapi hakikatnya sudah terlambat.

Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez yang turut hadir menziarahi jenazah Saleem menyifatkan Saleem antara vokalis yang terbaik dalam sejarah industri muzik tanahair.

“Tahun lalu, saya cuba bantu selesaikan masalah peribadi Saleem dengan familinya, saya gembira apabila mendapat tahu tahun ini mereka sudah berdamai,” katanya.

Penganalisis hiburan tanah air, Adam Salleh yang mula mengenali Saleem sejak pelancaran album pertama Iklim pada 1989 pula menyifatkan penyanyi itu seorang yang ‘humble’ tetapi cepat menggelabah.

“Ketika Iklim muncul album pertama, saya bawa kumpulan ini untuk sesi fotografi di Carcosa Seri Negara. Dalam perjalanan ke bukit itu, ketika Saleem memandu kereta, dia terlanggar seorang remaja India menunggang motosikal.

“Saya tengok Saleem menggelabah betul walhal insiden itu boleh settle baik-baik,” katanya.

Daripada segi persahabatan pula, walaupun namanya besar, Adam yang juga bekas Pengarang Hiburan Harian Metro berkata, Saleem adalah individu yang akan ingat kawan-kawannya.

“Sekitar 2014, ketika Saleem ke Balai Berita NSTP, dia bertanya kepada wartawan muda….dimana Adam Salleh, saya terharu kerana dia masing ingat pada saya,” katanya.

Komposer LY berkata, keistimewaan Saleem biarpun dia menyanyikan lagu orang lain, tetapi kerana penghayatan, notasi dan gaya nyanyian, seolah-olah lagu itu adalah lagunya sendiri.

“Persembahan Saleem tiada pada orang lain. Walau ramai yang cuba tiru suara beliau namun tidak semua berjaya menjadi klon Saleem kecuali anaknya sendiri yang secara biologi mempunyai persamaan ‘chemistry’ ayahnya,” katanya lagi.

Bekas penerbit hiburan RTM, Jack Nadarajah berkata, Saleem begitu istimewa kerana popularitinya bukan sahaja di Malaysia tetapi di Indonesia.

“Sikap humble Saleem begitu jelas setiap kali berjumpa dengannya, dia suka tersenyum,” katanya.

Allahyarham Saleem meninggal dunia kira-kira 6.15 pagi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras di sini, semalam.

Saleem, 57, yang popular dengan lagu ‘Suci Dalam Debu’, dimasukkan ke hospital akibat kemalangan jalan raya pada 20 September lalu yang antara lain menyebabkan kecederaan pada tulang rusuk.

Lebih 300 saudara, kenalan serta rakan artis hadir di surau berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Saleem sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 10, Cheras berhampiran Cheras Perdana. Al-Fatihah

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini