QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), pengendali perniagaan KFC, Pizza Hut dan Ayamas di Malaysia telah menjadi rujukan kepada peserta Program Kerjasama Teknikal Malaysia (Malaysian Technical Cooperation Programme – MTCP) yang memfokus kepada Infrastruktur Pematuhan Standard Halal yang dianjurkan oleh Wisma Putra dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

QSR Brands (M) Holdings Bhd adalah sebuah syarikat yang terlibat secara meluas dalam pengeluaran, ternakan dan pemprosesan ayam, dan juga pelbagai perniagaan sampingan seperti pembuatan roti dan pengeluaran sos, untuk menyokong industri makanan yang kini berkembang pesat iaitu lebih daripada 693 Kentucky Fried Chicken (KFC) dan 388 restoran Pizza Hut di Malaysia.

Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Managing Director of QSR Brands (M) Holdings Bhd giving a speech

Seramai 35 peserta dari beberapa buah negara Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan ASEAN selain agensi-agensi halal tempatan telah didedahkan dengan operasi Upstream dan Downstream yang merangkumi pemprosesan ayam, gudang penyimpanan dan kilang pembuatan sos berhampiran Pelabuhan Klang.

Pengarah Urusan QSR Brands, Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, pemilihan premis QSR Brands adalah manifestasi kepada penerimaan pihak berkuasa terhadap nilai terbaik berdasarkan piawaian halal di bawah Piawaian Malaysia yang diamalkan oleh operasi QSR di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja.

Beliau berkata, Majlis Penasihat Shariah QSR Brands, menerusi Jabatan Pematuhan Shariah dan Halal, sentiasa mengawasi keseluruhan proses pengeluaran makanan Halal QSR Brands untuk memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat pensijilan Halal JAKIM dipatuhi.

Participants of the Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP)

Pembekalan ayam dari operasi ternakan berintegrasi sehingga ke perniagaan restorannya telah diakui dan digunakan sebagai titik rujukan bagi prosedur pematuhan Halal yang mantap oleh JAKIM kerana kawalan mutu yang ketat dan berkesan.

“Kami dengan sukacitanya mengalu-alukan kedatangan wakil-wakil dan peserta untuk melakukan lawatan teknikal ke kilang pemprosesan ayam Ayamas kami, kilang sos jenama Life dan juga gudang-gudang yang berkaitan. Perkongsian ini akan memberikan pemahaman yang lebih baik kepada para peserta mengenai pensijilan Halal di Malaysia dan pematuhan yang diamalkan oleh QSR Brands,” katanya.

Participants briefed on Halal monitoring by the Shariah and Halal Compliance Department

Program MTCP dicipta untuk membantu agensi-agensi yang mempunyai kaitan dengan standard Halal dan kesesuaian infrastruktur di negara mereka. Berdasarkan pengalaman Malaysia dalam membangunkan kualiti produk Halal, program tersebut membolehkan peserta-peserta yang mengambil bahagian di dalam kursus ini berkongsi pengalaman dan menjalinkan jaringan antara satu sama lain.

Mereka yang terlibat dalam kursus ini termasuk peserta tempatan dari sektor kerajaan dan swasta, perwakilan antarabangsa dari OIC dan negara-negara ASEAN. Penyelaras Kursus adalah Jabatan Standard Malaysia (Standard Malaysia) dan ia disokong oleh Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri dan JAKIM.