Kelompok pertama unit kenderaan MINI Cooper S Countryman dan MINI Cooper S Countryman Hightrim dihantar ke Thailand dari kilang rakan kerjasama BMW Group Malaysia, iaitu INOKOM Corporation yang terletak di Kulim, Kedah.
BMW Group Malaysia telah menyerahkan kelompok pertama unit kenderaan yang diperkenalkan baru-baru ini, iaitu MINI Countryman bagi program eksportnya ke Thailand. Dua varian kenderaan tersebut yang dieksport ke Thailand ialah MINI Cooper S Countryman dan MINI Cooper S Countryman Hightrim.
Harald Hoelzl, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia berkata, “Kilang INOKOM Corporation di Kulim, Kedah, yang dizahirkan melalui kerjasama antara Sime Darby Berhad dan BMW Group Malaysia adalah antara 30 tapak produksi yang terdapat dalam 14 buah negara di seluruh dunia yang berfungsi bagi pihak BMW Group, dan ia merupakan titik penting bagi kami di rantau Asia Tenggara.”
Hoelzl berkata, keupayaan untuk menawarkan sokongan dan khidmat bagi pasaran dalam rantau ini merupakan sebuah pencapaian yang mustahak – bukan sahaja untuk BMW Group, malah untuk Malaysia juga.
Beliau berkata, “Kami membangunkan fasiliti pemasangan domestik di sini bersama dengan rakan kerjasama kami di peringkat tempatan, iaitu Sime Darby Berhad serta dengan jaringan pembekal tempatan kami yang lain atas matlamat untuk memberi sokongan kepada rantau ini dan pada hari ini, kami telah mengorak satu langkah yang penting ke hadapan.
Inisiatif eksport yang diperkenalkan oleh BMW Group Malaysia di rantau Asia Tenggara mencontohi kejayaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).
ATIGA menggalakkan perdagangan intra-ASEAN dan memastikan aliran bebas bagi barangan di ASEAN direalisasikan dan ia juga membantu BMW Group untuk memanfaatkan kilangnya di ASEAN dengan lebih efisien – lantas memberikan fleksibiliti kepada syarikat pengeluar kenderaan premium ini untuk memenuhi permintaan pasaran di peringkat domestik dan bagi tujuan eksport dengan lebih berkesan.
MINI Cooper S Countryman
Harga: THB 2,299,000, bersamaan RM259,557.00 (Termasuk cukai nilai tambah (VAT) dengan Pakej Standard MSI)
Hadir dengan penuh keyakinan melalui keterampilan serba lasak serta siluetnya yang jelas, jentera MINI Cooper S Countryman melambangkan keharmonian antara karakter yang unik, tulen dan klasik.
Lampu depan kenderaan ini dikelilingi oleh lampu pemanduan waktu siang LED yang membulat, ia menampilkan gelungan iluminasi sebagai elemen signatur bagi jentera ini – menjadikan kontur pada lampu hadapan lebih menonjol dan boleh dilihat pada waktu siang serta malam.
Lampu kabus LED juga dilengkapkan pada lampu depan dan lampu belakang untuk tujuan keselamatan, sementara Bantuan Parkir (Parking Assistant) pula dapat membantu pemandu untuk mencari ruangan parkir yang sesuai dan memudahkan tugasan pemarkiran selari (parallel parking).
Kereta MINI Cooper S Countryman dikuasakan oleh enjin petrol 2 liter, 4 silinder dengan teknologi TwinPower Turbo yang mampu menjana kuasa setinggi 141 kW/192 kk (kuasa kuda) dan mencecah tork maksimum 280 Nm pada tahap 1,350 – 4,600 rpm. Penggunaan bahan bakar gabungan ialah 15.9 km/liter dan emisi CO2 gabungan ialah 142 g/km.
Transmisi automatik Steptronic 8 kelajuan, stereng sport bersulam kulit dengan pengawal multifungsi serta pengendalian Servotronic melengkapi pemandu dengan kelebihan untuk mengatasi segala cabaran. Kenderaan ini juga didatangkan dengan set roda aloi Pair Spoke bersaiz 18 inci dalam warna perak.
MINI Cooper S Countryman menawarkan ruangan yang lebih luas dan menempatkan lima tempat duduk, ia juga dilengkapi dengan fungsi lipatan pada penyandar belakang. Jentera tersebut mempunyai nisbah pembahagian 40:20:40 untuk menawarkan keselesaan dan kefungsian tambahan.
Saiz ruang dan kepraktikalan disinambungkan dengan kemasan warna hitam (Piano Black) dan tempat duduk sport berkulit (Leather Cross Punch Carbon Black) yang memberikan kenderaan ini keterampilan serba sporty.
Untuk menambahkan lagi ciri kemudahan, kenderaan ini juga dilengkapi dengan teknologi pembuka bonet belakang automatik – ruang but kereta ini yang luas dapat diakses melalui sensor pergerakan yang boleh diaktifkan menggunakan kaki; sensor tersebut terletak di bawah bampar belakang.
Skrin sentuh 6.5 inci yang terletak di instrumen pusat jentera MINI Cooper S Countryman ini memaparkan informasi mengenai navigasi, data kenderaan yang penting, dan menawarkan kefungsian hiburan.
Ia juga merupakan portal kepada MINI Connected, pembantu peribadi yang akan memberikan bantuan sepanjang perjalanan anda dengan membekalkan informasi dan navigasi melalui sambungan ke telefon pintar, untuk memastikan anda terhubung dan termaklum sepanjang perjalanan.
MINI Cooper S Countryman Hightrim
Harga: THB 2,499,000, bersamaan RM282,137.00 (Termasuk cukai nilai tambah (VAT) dengan Pakej Standard MSI)
MINI Cooper S Countryman Hightrim memperkayakan keterampilan sporty dan serba klasik dari jentera standard MINI Countryman melalui sorotan ‘Chrome Line’ sepanjang ruangan luaran dan dalaman kenderaan ini yang menambahkan lagi sentuhan kemewahan.
Kamera pandangan belakang yang dilengkapi dengan kefungsian sistem ‘Parking Assistant’ memudahkan lagi tugasan memarkir, manakala cermin pandangan belakang dengan fungsi ‘anti-dazzle’ automatik menawarkan tahap keselamatan yang lebih tinggi.
Dikuasakan oleh enjin petrol 2 liter, 4 silinder yang sama seperti MINI Cooper S Countryman, varian Hightrim ini mampu menjana kuasa setinggi 141 kW/192 kk dan mencapai tork maksimum 280 Nm pada tahap 1,350 – 4,600 rpm.
Pemanduan menyeronokkan lagi bergaya dijamin dengan transmisi automatik Steptronic 8 kelajuan yang bersertakan padel penukar gear, stereng sport ‘MINI Yours’ tiga spoke yang bersulam kulit dengan pengawal multifungsi, dan set roda aloi Edged Spoke bersaiz 19 inci dalam warna perak.
Ruangan dalaman kenderaan ini digayakan dengan warna hitam (MINI Yours Piano Black Illuminated) yang berseri dan memberikan jiwa kepada kenderaan ini pada waktu malam dengan ambien yang lebih sempurna dan bersifat energetik, sementara sistem bunyi Harman Kardon HiFi yang canggih pula akan mengujakan anda sepanjang perjalanan.
Diinspirasikan oleh kokpit kapal terbang jet, paparan Head-Up MINI menyampaikan informasi pemanduan yang penting seperti kelajuan kenderaan dan pemandu boleh melihat paparan ini dengan baik tanpa menjejaskan penglihatan dan perhatian mereka terhadap jalan raya.
Skrin sentuh bersaiz 8.8 inci ini yang terletak pada instrumen pusat MINI Cooper S Hightrim juga dilengkapi dengan ciri MINI Connected, iaitu pembantu peribadi anda yang akan memberikan bantuan sepanjang perjalanan dengan membekalkan informasi dan navigasi melalui sambungan ke telefon pintar – memberikan kemudahan tambahan kepada para pemandu sepanjang perjalanan mereka.