Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menawarkan insentif pengurangan kompaun sehingga 80% sempena kempen Patuh Akta Syarikat 2016, Ambil Berat, Sayangi Syarikat yang bertujuan untuk memberi pemahaman, kesedaran dan peringatan kepada orang awam tentang keperluan dan peruntukan asas yang perlu dipatuhi secara berkala di bawah Akta Syarikat 2016.

INSENTIF pengurangan kompaun yang bertemakan ‘Mulakan Pematuhan Akta Baru dengan Sifar Kompaun’ akan berkuatkuasa pada 1 September 2018 sehingga 30 Disember 2018. Insentif ini akan menjadi pemudah cara bagi orang awam untuk menyelesaikan kompaun yang masih belum dijelaskan.

Kadar peratusan pengurangan yang diberi adalah seperti jadual berikut:

Tempoh Bayaran Kadar Pengurangan*
1 September 2018 –30 September 2018

RM80% dari nilai asal atau minima
RM200 (mana-mana yang lebih tinggi)

1 Oktober 2018 –31 Oktober 2018

RM70% dari nilai asal atau minima
RM300 (mana-mana yang lebih tinggi)

1 November 2018 – 30 November 2018

RM60% dari nilai asal atau minima
RM400 (mana-mana yang lebih tinggi)

1 Disember 2018 – 31 Disember 2018

RM50% dari nilai asal atau minima
RM500 (mana-mana yang lebih tinggi)

Bagi menikmati insentif pengurangan kompaun ini, pihak syarikat, pengarah-pengarah atau pemilik syarikatyang berkaitan boleh hadir ke Tingkat 26, Bahagian Pematuhan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Menara SSM@Sentral, Kuala Lumpur atau mana-mana kaunter Pejabat Negeri Suruhanjaya Syarikat Malaysia di seluruh Negara.

Pelancaran kempen dan insentif pengurangan kompaun tersebut telah diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2018 (SSMNC2018) yang dianjurkan di Sunway Pyramid Convention Centre.

Persidangan bertemakan ‘Doing Business In The Age Of Disruption’ yang dianjurkan selama 2 hari ini dihadiri lebih 1000 peserta yang terdiri daripada setiausaha syarikat, sektor korporat, pengamal undang-undang, golongan usahawan dan pihak-pihak berkepentingan terhadap sektor korporat di Malaysia.

Persidangan ini memberikan fokus perbincangan terhadap perubahan landskap perniagaan serta cabaran terhadap perubahan digital pada masa kini di mana teknologi memainkan peranan yang amat besar dalam arus informasi, proses globalisasi serta ekonomi.

Objektif penganjuran kali ini juga lebih bersifat holistik dan menyentuh impak perubahan semasa beserta persediaan menghadapi sebarang kemungkinan hasil dari kepesatan teknologi dan multimedia.

Dalam ucapan perasmian oleh Dato’ Saifuddin Nasution, beliau turut mengumumkan dua pendekatan baru yang diambil bagi memastikan peranan SSM sebagai pengawalselia sektor korporat di negara ini terus diperkukuh di negara ini.

Pendekatan pertama adalah langkah SSM memperkenalkan Corporate Rescue Mechanism (CRM). CRM ini merupakan kerangka undang-undang baharu di Malaysia, CRM diperkenalkan untuk membantu memulihkan kedudukan syarikat yang menghadapi kekangan kewangan agar kembali beroperasi seperti sedia kala melalui proses pengstrukturan syarikat.

Inisiatif kedua pula, SSM memperkenalkan “Extensible Business Reporting Language” (XBRL) atau lebih dikenali sebagai “Malaysian Business Reporting System” (MBRS). MBRS ini merupakan satu platform serah simpan yang membolehkan syarikat menyerah simpan pelaporan tahunan kepada SSM secara atas talian.

Sistem ini dijangka akan dilancarkan sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2018 untuk semua syarikat tempatan dan syarikat asing.

Kedua-dua inisiatif ini merupakan faktor utama yang menggalakkan penyertaan yang amat memberangsangkan pada persidangan yang dianjurkan pada kali ini.

Turut hadir bersama-sama memeriahkan Majlis Pelancaran Persidangan Kebangsaan SSM kali ini ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,  Dato Sri Jamil Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Dato Zahrah Abd Wahab Fenner.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini