Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa terus komited menghulurkan bantuan menerusi misi kemanusiaan sejak 20 tahun lalu.

PENGERUSINYA, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, pihaknya akan meneruskan misi kemanusiaan itu dengan sokongan rakyat Malaysia.

Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan beras kepada masyarakat Islam Kemboja

“Saya melihat sendiri kesusahan masyarakat Islam di sana dan berusaha melaksanakan pelbagai program kesedaran kepada masyarakat Melayu Champa, mualaf dan lain-lain kaum agar mereka mampu berdikari dengan memberi modal bagi membeli biji benih tanaman dan peralatan untuk bercucuk tanam.

“Mereka juga disarankan mewujudkan konsep koperasi dan Felda seperti di negara ini bagi menjana pendapatan agar dapat keluar secara perlahan daripada kemiskinan tegar,” katanya.

Beliau berkongsi pengalamannya ketika mengadakan program Jalinan Mesra Masyarakat Melayu Champa di Kampung Sem Reap, kira-kira 450 km dari ibu kota Kemboja, Phnom Penh.

Pada majlis itu, Mustapha turut menyumbang beras sebanyak 20 kilogram dan barang keperluan asas kepada fakir miskin.

Beliau turut bercadang membeli 15 ekor lembu untuk dikorbankan dan diagih kepada penduduk kampung terpilih di kawasan pedalaman di Kemboja.

Mustapha berkata, hasil bimbingan dan pelbagai usaha yang dijalankan pihaknya, masyarakat Islam di Kemboja kini telah mengalami pelbagai perubahan dalam kehidupan.

“Orang Melayu Champa sudah ada kebun, kereta dan sebahagiannya telah mempunyai kedai sendiri. Walaupun tidak banyak tetapi hampir semua bandar utama di Kemboja ada kedai dimiliki oleh orang Islam.

“Ini antara perubahan-perubahan yang berlaku di sini, meskipun mereka dikatakan masih berada pada tahap era 80-an, namun terdapat juga kawasan yang sudah meningkat maju khususnya di bandar,” katanya.

Mustapha berkata, usaha memajukan masyarakat Islam di Kemboja bermula ketika beliau mula berkhidmat di Wisma Putra pada 1999.

Katanya, misi utamanya adalah membina telaga bagi penduduk memperoleh air bersih seterusnya membaiki surau, sekolah, balai polis dan masjid.

Setakat ini, pihaknya telah berjaya membina lebih 3,000 telaga, tiga pusat tahfiz dan lima masjid di sekitar Kemboja.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini