Anda seorang yang kreatif dan gemar berkomunikasi di laman sosial, ini adalah telefon pintar yang sesuai bagi mereka yang aktif di alam maya.

SAMSUNG Galaxy S9+, telefon pintar terbaru keluaran Samsung hadir dengan ciri AR emoji yang lebih realistik malah anda boleh mencipta emoji dengan wajah sendiri dan menukar konsep emoji seperti rambut, baju, kaca mata dan banyak lagi.

Pilihan gaya Emoji

Selain itu, ekspresi wajah pada emoji juga dicipta seakan-akan animasi 3D dan boleh berkongsi emoji terbabit kepada rakan. Ini adalah ciri pintar yang paling Prebiu.com gemari dan ciri ini turut dikongsi bersama dengan rakan-rakan yang tidak mahu melepaskan peluang merakam wajah dalam bentuk emoji.

Disamping itu, AR Emoji dihantar dalam bentuk format GIF sekali gus membolehkan ia dihantar pada pelbagai aplikasi mesej dengan mudah.

Galeri Emoji

Justeru, jenama telefon pintar Samsung tidak perlu diperkenalkan lagi. Nama itu sudah cukup kuat kerana penguasaan pasarannya daripada spesifikasi tinggi kepada model-model untuk kegunaan biasa terus kekal mendapat sambutan pengguna di negara ini.

Sehingga ke hari ini, model-model telefon pintar Samsung masih mendominasi pasaran dan ini diperkukuhkan lagi menerusi pengenalan model Samsung Galaxy S yang diperkenalkan pada tahun 2010 yang menawarkan peranti spesifikasi tinggi dengan ciri-ciri premium.

Pada awal tahun ini, Samsung sekali lagi melebarkan sayap galaksinya dengan memperkenalkan dua variasi peranti iaitu Galaxy S9 dan Galaxy S9+ dengan saiz sedikit besar. Selain perbezaan saiz, kali ini Samsung turut menawarkan perbezaan dari segi penggunaan kamera dan memori pada kedua-dua telefon pintar ini.

Samsung pada Galaxy S9/S9+ mengekalkan rekaan yang hampir sama seperti Galaxy S8 sebelum ini cuma rekaan skrin kini sedikit besar namun jika dilihat menerusi pandangan mata kasar, mungkin sedikit sukar membezakan siri Galaxy S8 dan S9.

Pada bahagian belakang pula, apa yang membezakan dengan Galaxy S8 adalah kedudukan pengimbas cap jarinya. Ini kerana hasil respons pengguna, kedudukan pengimbas cap jari S9/S9+ dipadankan dibawah lensa menjadikan pengimbas cap jari lebih mudah diakses berbanding sebelum ini.

Melihat kepada spesifikasi, Galaxy S9 hadir dengan skrin 5.8-inci Quad HD pada nisbah 18.5:9, cip pemprosesan 10nm, memori 4GB RAM, dan storan dalam pilihan 64GB hingga 256GB. Galaxy S9 menyertakan bateri berkapasiti 3000mAh.

Galaxy S9+ yang diuji Prebiu.com pula hadir dengan skrin 6.2-inci Quad HD pada nisbah 18.5:9, cip pemprosesan 10nm, memori 6GB RAM, dan storan pilihan 64GB hingga 256GB selain bateri berkapasiti 3500mAh.

Low Light Camera Day

Kedua-dua variasi telefon pintar ini turut hadir dengan sokongan kalis air, dan sokongan rangkaian Gigabit LTE. Menariknya, Samsung turut mengekalkan penggunaan bicu audio 3.5mm pada telefon pintar ini, selain ia turut hadir dengan sokongan mikro-SD sehingga 400GB.

Peranti ini hadir dalam beberapa pilihan warna dan Samsung dilihat memfokuskan kepada warna ungu sebagai warna pilihan tahun ini dan mengatakan warna ini dipilih kerana ungu dikatakan sebagai warna pilihan fesyen untuk 2018 oleh Pantone.

Terlalu banyak hendak diceritakan ciri menarik telefon pintar ini, namun apa yang pasti kedua-dua varian ini mempunyai rangkaian Internet lebih pantas dengan memberi laluan lebih banyak gelombang isyarat ke telefon.

Aksesori yang ada dalam kotak telefon Samsung S9+

Jika miliki telefon pintar pastinya perkara utama ialah kamera yang dipadankan. Umum sudah sedia maklum mengenai kecanggihan sokongan kamera Samsung yang pasti tidak mengecewakan.

Galaxy S9 mempunyai kamera 12MP AF di belakang dengan 8MP f1.7 di depan manakala Galaxy S9+ lebih hebat dengan dwikamera (lengkap OIS) dengan satu lensa sudut lebar 12MP manakala satu lagi telefoto 12MP f2.4 dan kamera depan Galaxy S9+ pula dipadankan 8MP f1.7.

Dalam keadaan cahaya cerah, ia akan menggunakan bukaan F/2.4 untuk rakaman gambar, sementara ketika keadaan cahaya malap, kamera akan menggunakan bukaan F/1.5 untuk membolehkan lebih banyak cahaya melaluinya sekaligus menghasilkan rakaman gambar yang cantik.

Foto yang diambil menggunakan Samsung S9+

Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ kali ini datang dengan Android Oreo 8.0 selain USB-C dan NFC. Samsung Pay juga dikekalkan pada kedua-dua telefon ini.

Melengkapkan kedua-dua telefon pintar ini juga adalah sokongan pengecasan tanpa-wayar laju membuatkan Samsung tidak menggunakan rekaan badan berasaskan logam.

Samsung Galaxy S9+ mempunyai ‘multi frame noise reduction’ yang menyingkirkan gambar pecah dengan merakam lebih 12 gambar pada satu masa dan menyatukannya bagi mendapatkan imej lebih baik.

Gambar diambil menggunakan teknik Live Focus

Prebiu.com juga tertarik dengan ciri Super Slow Mo yang didatangkan dengan format 960fps yang sebelum ini fungsi sama hanya datang pada 240fps saja. Hasilnya, anda boleh menyaksikan gambar gerak perlahan yang terperinci dan jelas.

Super Slow Mo ini juga mempunyai pengesan pergerakan automatik, yang biasanya terdapat dalam kamera biasa dan mampu merakam apa saja dengan pantas meskipun anda mungkin tidak bersedia ketika situasi berada depan mata.

Menariknya, Super Slow Mo juga boleh dijadikan fail GIF selain mampu diterjemahkan ke ‘wallpaper’ telefon Galaxy S9+.

Sementara itu, telefon ini turut dilengkapi ciri Bixby yang berfungsi sebagai pembantu maya digital yang telah diperkenalkan oleh Samsung bersama-sama Galaxy S8 tahun lepas.

Live Translation

Samsung kini mengintegrasikan sokongan Bixby Live Translation, membolehkan pengguna hanya membuka kamera, dan menghalakan kamera kepada teks yang ingin diterjemah. Terjemahan seterusnya akan dilakukan secara masa-nyata dan dipaparkan terus kepada pengguna.

Bixby Vision juga kini boleh mengenal-pasti nilai kalori dalam sesuatu makanan dengan menghala kamera kepadanya.

Selain kamera, Samsung turut memberikan perhatian kepada sokongan audio pada telefon pintar Galaxy S9/S9+ ini. Ia kini hadir dengan speaker yang dioptimasikan oleh AKG secara terbina, selain ia dilengkapkan dengan sokongan bunyi Dolby Atmos.

Gambar diambil menggunakan teknik Food

Galaxy S9/S9+ juga turut menyertakan sokongan untuk ia digunakan sebagai komputer dengan menghubungkan peranti ke Samsung DeX. Melaluinya, paparan akan dioptimasikan untuk paparan monitor desktop sekaligus membolehkan anda melakukan tugasan kerja seperti menggunakan komputer biasa.

Bersama-sama pengenalan Galaxy S9/S9+ ini, Samsung turut menawarkan Samsung DeX Pad yang menyertakan kebolehan untuk pengguna kekal menggunakan bicu audio pada peranti, disamping membolehkan pengguna mengubah telefon menjadi touchpad dan menggunakannya untuk mengawal ketika dalam mod desktop.

Disamping itu, Galaxy S9/S9+ daripada segi aspek ciri keselamatan pula, Samsung menyertakan sokongan Intelligent Scan yang mana mengimbas wajah dan mata (melalui pengimbas Iris) sebelum nyah-kunci peranti.

Sekiranya anda masih menggunakan Galaxy S7 atau model sebelumnya, ini mungkin peranti untuk anda miliki kerana pelbagai ciri baru yang ditawarkan mampu mengubah gaya hidup seharian anda khususnya mereka yang aktif di laman media sosial.

Samsung memasarkan Galaxy S9 dan S9+ bermula 16 Mac lalu pada harga bermula RM3,299 dengan tiga warna ditawarkan iaitu hitam, biru dan ungu.

Samsung Galaxy S9+ pula dijual pada harga bermula RM3,799 untuk 64GB, RM3,999 (128GB) dan RM4,399 (256GB).

Samsung Galaxy S9+

• Storan: 64GB hingga 256GB, kad microSD hingga 400GB

• OS: Android 8 Oreo

• Skrin: 6.2 inci Quad HD + Curved Super AMOLED, 18.5:99,10 (529ppi)

• Kamera: Dual Camera, Dual OIS – Wide-angle: Super Speed Dual Pixel 12MP AF sensor (F1.5/F2.4) + Telephoto: 12MP AF sensor (F2.4)

• Kamera Depan: 8MP AF (F1.7)

• Pemprosesan: 10nm 64-bit Octa-core (Max. 2.7 GHz + 1.7 GHz)

• Ram: 6GB

• Bateri: 3500mAh

• Harga:  RM3,799 (64GB), RM3,999 (128GB), RM4,399 (256GB)

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini