Malaysia Airports akan memberikan sepenuh kerjasama dan sokongan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berikutan pengumuman yang telah dibuat berkenaan sistem Pra-Pelepasan Jemaah Haji di KLIA.

INISIATIF Malaysia Airports yang bakal memanfaatkan seramai 36,480 jemaah haji bagi tahun 2018 dilihat sebagai satu langkah yang amat proaktif terutama bagi pengurusan jemaah yang baru pertama kali menunaikan rukun Islam kelima itu.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Badlisham Ghazali, “Kami amat menyambut baik pelaksanaan sistem pengurusan yang sistematik dan pantas ini. Musim haji merupakan antara musim tersibuk di lapangan terbang.

Bukan sahaja pengurusan kemudahan di lapangan terbang sahaja perlu diambil kira, malah pengurusan penumpang juga turut diutamakan. Sebagai pengendali lapangan terbang, kami turut berasa gembira kerana Malaysia terpilih sebagai negara pertama di dunia bakal menggunakan sistem Pra-Pelepasan Jemaah Haji seperti yang diumumkan”.

Ujar Badlisham lagi, menerusi inisiatif serta pelaksanaan sistem ini tidak lama lagi, KLIA bakal dilihat sebagai sebuah hab serantau yang dapat memberi pengalaman baru kepada para pengguna terutamanya kepada jemaah haji yang sudah berumur kerana bukan sahaja dapat memudahkan urusan mereka, malah memberikan keselesaan disamping menjimatkan masa.

Sebuah kawasan parkir jangka panjang (LTCP) serta perkhidmatan bas shuttle percuma turut disediakan oleh pihak Malaysia Airports sebagai salah satu persiapan menghadapi musim haji serta peningkatan bilangan pengguna di KLIA, disamping 2 minit masa menurunkan penumpang di bahu jalan masuk ke lapangan terbang.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini