Merchantrade lancar perkhidmatan e-wang – Kad Visa Pra Bayar Pelbagai Mata Wang Merchantrade Money dengan saiz dompet RM10,000. Merchantrade Money sedia bawa perubahan dalam industri perkhidmatan e-pembayaran
MERCHANTRADE Asia Sdn Bhd (Merchantrade) melancarkan kad visa pra bayar pelbagai mata wang yang boleh menukar Ringgit Malaysia secara digital ke pelbagai mata wang pada kadar pertukaran yang dikehendaki oleh pelanggan.
Kad yang dikenali sebagai Merchantrade Money ini menawarkan urus niaga dalam lima mata wang iaitu dollar Australia, pound sterling, rupiah Indonesia, dollar Singapura dan dollar Amerika. Syarikat merancang untuk menawarkan sehingga 20 mata wang asing di dalam Merchantrade Money menjelang akhir tahun 2018.
Keupayaan Merchantrade Money untuk menukar mata wang Ringgit Malaysia ke mata wang asing di mana sahaja memberi fleksibiliti dan keselesaan kepada pelanggan untuk melakukan urus niaga dalam mata wang yang mereka kehendaki pada kadar pertukaran mata wang yang telah dikunci. Ia memberi faedah dan kelebihan kepada pelanggan yang ingin memaksimumkan nilai wang mereka dan memastikan mereka tidak terjejas dengan naik turun kadar pertukaran mata wang asing.
“Merchantrade Money menawarkan kemudahan pertukaran wang 24-jam kepada pelanggan di serata dunia termasuk mereka yang sedang berada di luar negara,” kata Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K Veeran.
“Di samping itu, perkhidmatan ini juga memperkenalkan gaya hidup baru kepada pelanggan dan bakal merubah kelaziman mereka apabila bertukar daripada konsep membawa wang tunai kepada konsep baru yang menggunakan kaedah digital sepenuhnya,” katanya.
Apabila pelanggan memerlukan wang ketika menggembara, mereka boleh mengeluarkan mata wang asing di mana-mana mesin juruwangan automatik (ATM) yang mempunyai perkhidmatan Visa di seluruh dunia pada kadar yang ditetapkan dan tertakluk pada caj bank negara berkenaan.
Kad ini disokong oleh aplikasi mudah alih yang memudahkan pelanggan memeriksa baki wang, mengurus bajet, mengirim wang, menukar ringgit ke pelbagai mata wang dan melakukan urus niaga e-dagang. Merchantrade Money dibangunkan dengan kerjasama penyedia teknologi pembayaran global, Visa, dan ia boleh digunakan di lebih 44 juta rangkaian perniagaan seluruh dunia.
“Di Visa, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Merchantrade untuk melancarkan Kad Visa pra bayar pelbagai mata wang yang pertama seumpamanya di Malaysia. Kami percaya kemudahan ini bakal mengubah pengalaman pembayaran untuk warga Malaysia khususnya mereka yang selalu ke luar negara dan pekerja asing di negara ini.
Di samping itu, ia juga merupakan satu inisiatif kewangan yang inklusif memandangkan ramai di kalangan pekerja asing di sini tidak mempunyai akses kepada kemudahan pembayaran elektronik. Merchantrade Money menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada pemegang kad termasuk keupayaan menukar Ringgit Malaysia ke mata wang asing, mengirim wang kepada orang tersayang, dan membeli-belah dalam talian dengan mudah melalui aplikasi mudah alih.
“Kami optimis untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan berinovasi yang relevan kepada keperluan pemegang kad kami, menggalakkan mereka untuk mengadaptasi konsep digital seterusnya memacu aspirasi nasional untuk mewujudkan masyarakat digital,” kata Pengurus Negara Visa, Malaysia, KB Ng.
“Perolehan industri pertukaran wang secara runcit di Malaysia dianggarkan mencecah RM80 bilion di mana kebanyakan urus niaga dijalankan secara tunai. Merchantrade melangkah ke hadapan dalam merevolusikan industri ini melalui wang digital selaras trend pengguna global,” kata Ramasamy K Veeran.
Merchantrade turut yakin mampu menarik minat hampir sejuta pelanggan sedia ada untuk mendapatkan perkhidmatan terbaru ini. Pelanggan Merchantrade merangkumi pengembara, expatriat, pelajar serta pekerja asing yang merupakan pengguna tegar yang mendapatkan perkhidmatan kaunter syarikat berkenaan termasuk perkhidmatan pertukaran wang dan perkhidmatan dalam talian iaitu e-Remit dan e-Forex.
Berdasarkan trend ini, Merchantrade percaya ia membuka peluang pasaran yang luas untuk kad ini memandangkan lebih ramai pengguna kini membeli-belah secara dalam talian yang lazimnya di jalankan dalam mata wang asing.
“Lebih penting lagi, ia mewakili gelombang perubahan yang dibawa oleh FinTech ke dalam industri perkhidmatan e-pembayaran, dan kami berhasrat untuk terus melancarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan berinovasi seperti ini,” tambah beliau.
Merchantrade ialah rakan MDEC untuk program Global Acceleration Innovation Network (GAIN) yang diwujudkan untuk memacu perkembangan Malaysia dan syarikat berkaitan teknologi tempatan yang berpotensi menjadi pemain global dalam empat bahagian utama – melonjakkan kehadiran jenama, membantu akses ke dalam pasaran, meningkatkan keupayaan, padanan untuk penggabungan dan/atau pengambilalihan atau akses ke dalam ekosistem pembiayaan.
Sementara itu, Naib Presiden (Pembangunan Enterpris) MDEC, Gopi Ganesalingan, “Aspirasi Merchantrade adalah selaras dengan program GAIN yang dijalankan oleh MDEC dan kami mengucapkan tahniah kepada mereka atas pelancaran Merchantrade Money dan kerjasama mereka dengan penyedia teknologi pembayaran global terkemuka, Visa.
“Menerusi kerjasama dengan Visa, Merchantrade sedang mengukuhkan jenamanya sebagai syarikat digital yang sedang memacu perniagaannya ke arena global,” katanya.