Pelakon popular, Erra Fazira yang dikatakan bakal berkahwin pada 9 Februari ini menganggap semua berita yang keluar itu sekadar angin lalu dan minta semua pihak berhenti daripada terus membuat spekulasi.
“KALAU ada tarikh kahwin atau berita gembira mengenai hubungan saya dengan Shahir, saya akan kongsi kepada semua,” kata Erra, 44, bekas peserta ratu cantik Miss Malaysia World 1992.
“Di akhbar keluar kata saya nak kahwin 9 Februari. Terbaru, Mac pula. Selagi tidak keluar dari mulut saya sendiri, jangan percaya,” katanya lagi.
Erra juga akui, dia dan bekas juara Akademi Fantasi musim kelapan (AF8) itu masih berkawan dan belum ada perancangan untuk berkahwin.
“Kalau ada berita gembira nanti, saya takkan sorok. Saya akan berkongsi kepada semua terutama rakan media. Saya takkan lupakan jasa pihak media yang selama ini bersama saya dari dahulu sampai sekarang,” katanya.
Erra turut berterima kasih kepada semua pihak yang ambil berat mengenai dirinya dengan Shahir.
“Saya dan Shahir masih berkawan dan berhubung baik. Saya macam orang lain juga, soal jodoh bukan datang daripada saya.
“Lagi satu, bukan urusan saya untuk ambil tahu dan masuk campur masalah dihadapi Shahir. Saya ada batas sendiri. Jadi, jangan kaitkan saya dengan apa yang dilalui Shahir.
“Saya sedar ramai yang ambil berat terhadap saya apatah lagi selepas timbul isu membabitkan Shahir. Saya anggap mereka seperti ibu bapa yang ambil berat kepada anak sendiri. Apa saya inginkan sekarang, doakan yang terbaik untuk saya,” katanya.
Sementara itu, Erra mengumumkan dia kini bernaung di bawah syarikat pengurusan MindOrder Sdn Bhd bermula awal tahun ini.