Lagu Jampi diumum sebagai Lagu Domestik Paling Tinggi Penstriman sepanjang 2017 dengan jumlah 13,879,144 kali didengar.
PENYANYI Hael Husaini, 30, menyifatkan kejayaan Jampi menjadi lagu paling diumum sebagai Lagu Domestik Paling Tinggi Penstriman sepanjang 2017 di semua aplikasi penstriman satu rahmat terindah buatnya.
Menerusi data dikeluarkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) pada Isnin, lagu ciptaannya sendiri bersama Ezra Kong itu menduduki kedudukan tertinggi sepanjang tahun lalu dengan jumlah 13,879,144 kali didengar.
Hael berkata, dia tidak menyangka pencapaian itu meskipun tahu Jampi sememangnya menerima sambutan luar biasa dan di luar jangkaan.
“Bagi saya kekuatan lagu ini sebenarnya terletak kepada permintaan ramai dan syukur peminat tidak henti-henti mainkan lagu ini di semua platform. Namun tidak sangka ia berada di kedudukan pertama paling banyak didengar.
“Saya bersama Ezra dan semua yang terbabit dalam pembikinan lagu itu memang mencurahkan segala kudrat demi memastinya menjadi. Alhamdulillah, ia melangkaui segala apa yang kami impikan.
“Pencapaian ini adalah yang tertinggi dalam karier saya dan semestinya akan terus mensasarkan lebih daripada pada masa hadapan. Tahun 2017 sememangnya meninggalkan kenangan yang begitu indah buat saya,” katanya.
Lagu terbitan Rocketfuel Entertainment dan Warner Music Malaysia Group itu juga diumum sebagai Lagu Domestik Paling Bernilai yang dikira berdasarkan langganan berbayar dan sokongan iklan.
Sementara, lagu Ed Sheeran berjudul Shape of You menjadi Lagu Antarabangsa Paling Tinggi Penstriman dan Lagu Antarabangsa Paling Bernilai pada tahun lalu dengan jumlah 13,879,144.