Pasaran telefon pintar boleh lipat kini berada pada fasa yang jauh lebih matang berbanding beberapa tahun lalu. Pengeluar telefon pula berebut-rebut menghasilkan pelbagai jenis peranti dengan fokus kepada kelebihan masing-masing daripada sekecil-kecil spesifikasi sehingga kepada rekaan seperti ketebelan, bateri, kamera ataupun sistem terbaik untuk penggunaan jangka panjang.

Namun menerusi HONOR Magic V6, HONOR nampaknya cuba mengubah persepsi tersebut secara menyeluruh. Selepas mencuba sendiri peranti ini untuk beberapa hari, Magic V6 bukan sahaja terasa seperti telefon boleh lipat paling matang pernah dihasilkan HONOR, malah mungkin antara peranti paling lengkap di pasaran Android ketika ini.

Rekaan Nipis Yang Benar-Benar Mengagumkan

Perkara pertama yang terus mencuri perhatian sudah tentu ialah reka bentuknya. HONOR Magic V6 hadir dengan ketebalan hanya 8.75mm apabila dilipat dan sekitar 4.0mm apabila dibuka sepenuhnya – menjadikannya antara telefon lipat paling nipis pernah dihasilkan setakat ini. Beratnya juga sekitar 219 gram sahaja sekali gus tidak membebankan poket anda mahupun beg tangan.

Apa yang menarik, pengalaman memegangnya terasa lebih dekat dengan telefon flagship biasa berbanding sebuah peranti lipat kerana anda boleh menggunakan peranti ini pada sebelah tangan dengan selesa untuk kegunaan harian.

HONOR turut menawarkan empat pilihan warna iaitu Ferghana Red, Sunrise Gold, Ivory White dan Classic Black. Tetapi secara peribadi, varian Ferghana Red nampak paling premium dan menyerlah sebagaimana warna peranti yang penulis gunakan ketika ini untuk tujuan reviu.

Engsel Baharu Yang Sangat Kukuh

Walaupun tampil nipis, HONOR tidak mengorbankan aspek ketahanan. Magic V6 menggunakan HONOR Super Steel Hinge dengan kekuatan tegangan mencecah 2800MPa – lebih tinggi berbanding banyak peranti lain di pasaran. HONOR turut mendakwa engsel ini cukup kuat untuk menarik pesawat seberat 1.25 tan dan sebuah Ferrari, sekali gus memperlihatkan tahap ketahanan luar biasa yang cuba diketengahkan.

Lebih penting, ia telah diuji sehingga 500,000 kali lipatan yang bersamaan penggunaan sekitar 13 tahun untuk pengguna biasa. Ini memberikan keyakinan lebih tinggi terhadap ketahanan jangka panjang peranti. Malah, Magic V6 juga hadir dengan penarafan IP68 dan IP69 untuk perlindungan air serta debu, sesuatu yang masih jarang ditawarkan pada telefon boleh lipat.

Skrin Cantik Dengan Kesan Lipatan Yang Minimum

Skrin dalaman peranti ini menggunakan panel LTPO bersaiz 7.95-inci dengan kadar segar semula 1-120Hz serta sokongan sehingga 5000 nits brightness. Skrin luarnya pula sebesar 6.52 inci dengan kecerahan mencecah 6000 nits.

Apa yang paling ketara ketika penggunaan ialah kesan lipatan yang kini semakin sukar dilihat. Dalam kebanyakan situasi, ia hampir tidak mengganggu pengalaman penggunaan harian sama ada untuk menonton video kegemaran anda atau menyaksikan semula gambar-gambar yang sudah dirakam menggunakan peranti ini.

HONOR turut menggunakan teknologi HONOR Magic Diamond Screen bersama lapisan Anti-scratch NanoCrystal Shield untuk perlindungan lebih baik terhadap calar dan hentakan.

Menonton video, membaca artikel dan melakukan pelbagai perkara pada skrin besar terasa sangat memuaskan – lebih-lebih lagi dengan bezel yang nipis dan warna paparan yang cukup hidup. HONOR juga masih meneruskan fokus terhadap teknologi eye-comfort menerusi sokongan 4320Hz PWM dimming, AI Defocus Eyecare 2.0 dan Dynamic Dimming untuk mengurangkan keletihan mata.

Prestasi Flagship Yang Tidak Mengecewakan

Magic V6 dijana cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 bersama MagicOS 10 berasaskan Android 16. Dalam penggunaan harian, semuanya terasa sangat lancar sama ada melakukan pelbagai tugasan dalam satu skrin, suntingan kandungan media sosial atau menghabiskan masa berjam-jam bermain permainan video dalam talian.

Permainan seperti PUBG Mobile dan Genshin Impact dapat dijalankan dengan stabil tanpa isu haba melampau. Lebih menarik, HONOR berjaya memuatkan bateri sebesar 6660mAh ke dalam tubuh yang sangat nipis ini. Ia mungkin antara kapasiti bateri terbesar pernah ditawarkan pada telefon peranti boleh lipat termaju ini.

Bateri ini pula turut disokong pengecasan pantas 80W berwayar dan 66W tanpa wayar, selain menyokong reverse wireless charging. Dalam penggunaan harian biasa, peranti ini mampu bertahan sepanjang hari tanpa masalah besar walaupun dengan penggunaan skrin dalaman yang agak kerap.

Kamera Kini Setanding Telefon Flagship

Satu perkara yang sering menjadi keutamaan ialah sistem kamera. Tetapi pada Magic V6, HONOR nampaknya lebih serius. Ia dilengkapi kamera utama 50MP, ultra-lebar 50MP dan kamera telefoto periskop 64MP dengan 3x optical zoom serta CIPA 6.5- penstabilan imej henti.

Prestasi kamera telefoto sangat mengagumkan terutamanya untuk fotografi jarak jauh. Hasil zum masih tajam dan stabil walaupun pada keadaan pencahayaan kurang baik. Warna yang dihasilkan juga nampak lebih natural berbanding generasi terdahulu.

Rakaman gambar pada waktu malam memang tidak mengecewakan dan ini dapat dibuktikan menerusi hasil gambar yang diambil menggunakan mod malam.

Paling mengujakan apabila penulis mengacukan lensa kamera peranti ini dengan zum 100 kali tepat ke arah bulan penuh. Hasilnya cukup mengagumkan apabila nampak dengan jelas tompokan permukaan bulan walaupun sukar dilihat dengan mata kasar.

Kualiti gambar yang dirakam membuktikan HONOR Magic V6 bukan kaleng-kaleng peranti yang memiliki ciri-ciri termaju dengan bantuan Kecerdasan Buatan (AI) dalam menghasilkan apa jua gambar yang anda kehendaki tanpa kompromi.

Sebagaimana model terdahulu yang pernah diuji seperti HONOR Magic V3, peranti ini juga dilengkapi ciri studio Harcourt yang terkenal apabila ciri Potrait digunakan.

Untuk rakaman video pula, semua kamera menyokong rakaman sehingga 4K dan hasil penstabilan video juga memuaskan untuk kegunaan media sosial.

Integrasi Dengan Ekosistem Apple Yang Sangat Menarik

Antara ciri paling unik pada Magic V6 ialah integrasi rentas ekosistem yang sangat baik dengan peranti Apple. Pengguna boleh mengakses fail iCloud terus daripada peranti ini selain melakukan pemindahan fail pantas antara iPhone dan MacBook menggunakan HONOR Connect.

Magic V6 juga boleh dijadikan paparan kedua untuk MacBook menerusi fungsi Mac Screen Extension. Bagi pengguna iPhone yang ingin beralih ke Android tanpa kehilangan pengalaman ekosistem Apple sepenuhnya, ini mungkin antara ciri paling bernilai yang ditawarkan HONOR ketika ini.

Peranti ini memperkenalkan beberap ciri baharu seperti HONOR Onetap, Mac Screen Sharing, Mac Screen Extension, Notification Sharing dan menyokong pindahan fail dengan sistem iOS (iPhone & MacBook).

Satu lagi ciri yang menarik ialah HONOR Onetap yang mana anda boleh berkongsi atau memindah sebarang imej daripada telefon ke telefon dalam satu sentuhan. Apabila bahagian atas peranti ini dihubungkan anda akan menerima atau menghantar imej dalam sekelip mata sahaja. Menarik bukan!

AI Yang Lebih Praktikal

Seperti kebanyakan peranti flagship 2026 lain, AI menjadi fokus utama pada Magic V6. Tetapi bezanya, HONOR cuba menjadikan AI lebih praktikal untuk penggunaan sebenar. Integrasi Google Gemini pada skrin besar terasa jauh lebih berguna khususnya untuk tugasan produktiviti seperti merancang jadual, menjana nota dan melakukan carian pintar.

Ciri AI Meeting Agent pula boleh membantu menghasilkan ringkasan mesyuarat, mind-map dan peringatan secara automatik. Selain itu, fungsi Multi-Flex dan Fast Flex menjadikan fungsi pelbagai tugas pada skrin besar terasa lebih praktikal berbanding sekadar gimik.

Peranti ini juga dilengkapi ciri AI pada suntingan gambar Magic Retouch dimana anda bebas mengedit gambar mengikut gaya dikehendaki misalnya AI Style yang menawarkan ciri suntingan gaya Animasi, Sketch, Cartoon dan Watercolour.

Anda boleh melihat hasil beberapa gambar yang disunting menggunakan AI yang dilengkapi pada peranti terbaharu ini.

Kesimpulan

HONOR Magic V6 berjaya memperlihatkan bagaimana telefon boleh lipat kini semakin hampir menjadi peranti arus perdana. Ia nipis, tahan lasak, mempunyai bateri besar, prestasi flagship, kamera yang baik dan pengalaman puas menggunakannya setiap hari khususnya bagi mereka yang memang memerlukan peranti dengan skrin yang lebih besar.

Paling penting, HONOR berjaya menghasilkan sebuah peranti yang tidak lagi terasa seperti produk eksperimen sebaliknya sebuah telefon premium lengkap yang sesuai digunakan sebagai peranti utama harian.

Terlalu banyak ciri yang boleh diulas pada peranti terbaharu ini kerana jika disenaraikan spesifikasinya cukup panjang.

Peranti ini juga menyokong pengunaan pen pintar stylus HONOR Magic Pen yang memberi kelebihan kepada mereka yang terbabit dalam bidang grafik atau yang berkaitan.

Jika anda mencari telefon boleh lipat paling nipis dengan pelbagai ciri kegunaan ketika ini, HONOR Magic V6 sememangnya wajar berada dalam senarai teratas.

Spesifikasi HONOR Magic V6:

  • Skrin Luaran: 6.52″ OLED 2420 x 1080 piksel
  • Skrin Dalaman: 7.95″ OLED 2352 x 2172 piksel
  • Cipset: Snapdragon 8 Elite Gen 5 (4nm)
  • Sistem: Magic OS 10, Android 16
  • Memori: 16 GB + 16 GB (HONOR RAM Turbo)
  • Storan: 512GB
  • Bateri: 6,660mAh Silikon-Karbon, Pengecasan Pantas 80W
  • Berat: 219gram
  • Kamera belakang: 50MP Ultra Lebar Kamera (f/2.2), 50MP Utama (f/1.9) OIS, 64MP Ultra Sensing Periskop Telefoto (f/2.5) OIS
  • Kamera depan: 20MP (skrin dalaman, f/2.2), 20MP (skrin luaran, f/2.2)
  • Ciri Keselamatan: Pengimbas cap jari, pengecaman muka, nombor pin
  • Warna: Ferghana Red, Sunrise Gold, Ivory White dan Classic Black
  • Kalis Air dan Habuk : IPX68 & IPX69
  • Sokongan: Pen Stylus
  • Harga: RM7,699

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini