Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) memperkukuh komitmennya dalam memantapkan ekosistem perdagangan Malaysia dengan pelancaran Maybank Islamic Trade Masterclass Series 2026 baru-baru ini.
Inisiatif ini meneruskan momentum teguh Program iTrade Global Export yang telah memudahkan aliran Surat Kredit (LC) Eksport bernilai RM2.3 bilion setakat 31 Disember 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Perbankan Islam Maybank merangkap CEO Maybank Islamic, Mohamad Yasin Abdullah, menekankan prestasi perdagangan Malaysia yang kukuh serta keperluan yang semakin meningkat bagi pengeksport untuk dilengkapi dengan keupayaan pelaksanaan praktikal dalam landskap perdagangan global yang semakin kompleks.
Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), jumlah perdagangan Malaysia bagi keseluruhan tahun 2025 mencecah rekod tertinggi sebanyak RM3.06 trilion, iaitu peningkatan sebanyak 6.3% berbanding tahun sebelumnya.
Negara turut mencatatkan lebihan dagangan yang ketara berjumlah RM151.80 bilion, sekali gus membuktikan prestasi eksport yang teguh. Angka-angka ini mencerminkan momentum berterusan dalam permintaan global serta aliran perdagangan serantau.
Mohamad Yasin berkata: “Walaupun angka perdagangan amat memberangsangkan, para pengeksport hari ini berhadapan dengan syarat dokumentasi yang lebih ketat, risiko penghantaran dan risiko kegagalan pihak berurusan yang lebih tinggi, serta turun naik pertukaran wang asing yang berterusan.
“Pembiayaan semata-mata tidak lagi mencukupi — pengeksport memerlukan keupayaan, keyakinan dan pengetahuan praktikal untuk melaksanakan perdagangan dengan berkesan.
“Trade Masterclass Series kami direka untuk menangani cabaran ini dengan menyediakan kemahiran pelaksanaan perdagangan dunia sebenar yang praktikal kepada pengeksport dan pengimport, dengan tumpuan kepada ketepatan dokumentasi, pengurusan risiko penghantaran dan perdagangan, serta pengurusan turun naik pertukaran wang asing,” katanya.
Trade Masterclass Series ini diwujudkan hasil daripada kejayaan Program Maybank Islamic iTrade Global Export, yang telah menjalani pra-pelancaran pada November 2024 dan dilancarkan sepenuhnya pada Mac 2025.





































