Volvo ES90 serba baharu yang sepenuhnya elektrik menggabungkan keanggunan sedan, fleksibiliti fastback, ruang dalaman luas dan jarak kelegaan tanah seperti SUV. Ia adalah sebuah kenderaan serba boleh yang tidak berkompromi dengan keselesaan atau ruang.
ES90 direka untuk berkembang seiring dengan kuasa komputer teras generasi baharu yang lapan kali lebih maju berbanding generasi sebelumnya. Ia juga merupakan kereta Volvo pertama yang menggunakan teknologi 800V, membolehkan jarak pemanduan elektrik lebih jauh dan pengecasan lebih pantas berbanding mana-mana Volvo elektrik sebelum ini.
“Volvo ES90 menggabungkan teknologi tercanggih kami dengan reka bentuk Scandinavia dan keselesaan unggul, menjadikannya sebuah kereta Volvo premium yang benar-benar meningkatkan kualiti hidup anda,” kata Jim Rowan, Ketua Pegawai Eksekutif Volvo. “Model ini menyertai SUV EX90 sebagai salah satu model utama kami, mengukuhkan kedudukan Volvo sebagai peneraju industri dalam pembangunan kereta berasaskan perisian yang menggunakan kuasa pengkomputeran teras.”
Rekaan Yakin, Unik dan Praktikal
Volvo ES90 tampil dengan gaya yang berkeyakinan dan tersendiri serta ketinggian yang memberikan pemandangan jalan yang lebih jelas kepada pemandu. Garisan bumbung yang mengalir dengan kemas bukan sahaja menyerlahkan rekaan elegan tetapi juga membantu meningkatkan aerodinamik, sekali gus meningkatkan kecekapan dan jarak pemanduan elektrik.

Bahagian hadapan menampilkan rekaan lampu ikonik Thor’s Hammer, memberikan identiti Volvo yang moden dan mudah dikenali. Bahagian belakang pula lebih unik dengan lampu belakang LED berbentuk ‘C’ yang disertakan dengan lampu LED tambahan pada tingkap belakang. Ia menghasilkan susunan cahaya yang eksklusif setiap kali anda masuk dan keluar dari kenderaan.
Pintu but yang luas dan lebar memudahkan proses memasukkan serta mengeluarkan barangan, sama ada untuk perjalanan bersama keluarga atau berkelah di kawasan luar bandar. Ruang but menawarkan kapasiti sehingga 424 liter, dan tempat duduk belakang boleh dilipat untuk memberikan kapasiti tambahan sehingga 733 liter. Di bahagian hadapan, ruang frunk berkapasiti 22 liter sesuai untuk menyimpan kabel pengecasan.
Keselesaan dan Fungsi Maksimum dalam Kabin
Dengan jarak roda sejauh 3.1 meter, Volvo ES90 menawarkan ruang kaki yang luas untuk penumpang barisan kedua, menjadikannya sebuah kenderaan yang sangat selesa untuk perjalanan jauh. Enam pilihan tema pencahayaan ambien turut disediakan bagi meningkatkan kesejahteraan sensori di dalam kabin, bersama pelbagai pilihan upholsteri untuk penyesuaian peribadi.
ES90 juga didatangkan dengan bumbung panoramik yang memberikan perlindungan UV sehingga 99.9%. Jika anda memilih versi elektrokromik, tahap ketelusan kaca boleh diselaraskan untuk mengurangkan silau dan meningkatkan privasi dengan hanya satu sentuhan butang.
Kami juga memastikan tahap keselesaan akustik yang unggul di dalam ES90. Tahap bunyi dalam kabin sangat rendah, membolehkan anda menikmati sistem bunyi mewah Bowers & Wilkins dengan 25 pembesar suara berdefinisi tinggi, termasuk pembesar suara pada tempat duduk kepala dan siling.
Bagi sistem infotainmen, ES90 dilengkapi dengan sistem generasi baharu yang mempunyai Google built-in, termasuk Google Maps, Google Assistant serta lebih banyak aplikasi melalui Google Play. Sistem yang lancar dan pantas ini dikuasakan oleh Snapdragon® Cockpit Platform daripada Qualcomm Technologies. Paparan 9 inci untuk pemandu serta paparan utama head-up display memastikan anda menerima semua maklumat penting dengan cepat.
Sementara itu, paparan 14.5 inci di tengah menawarkan akses mudah kepada navigasi, hiburan, kawalan suhu, telefon, dan banyak lagi. Untuk membantu anda dalam ruang parkir sempit, sistem pandangan 3D dengan kamera 360 darjah turut disertakan.
Penambahbaikan Berterusan sebagai Standard
Volvo ES90 dibina berdasarkan seni bina SPA2 dan menggunakan Superset tech stack Volvo Cars, sama seperti EX90. Platform ini terdiri daripada satu set perkakasan dan perisian yang seragam, membolehkan Volvo terus meningkatkan prestasi serta teknologi keselamatan sepanjang hayat kenderaan melalui kemas kini over-the-air (OTA).
ES90 juga merupakan kereta Volvo pertama yang dilengkapi dengan konfigurasi dua NVIDIA DRIVE AGX Orin, menjadikannya model Volvo dengan kuasa pengkomputeran teras paling berkuasa pernah dihasilkan.

DRIVE AGX Orin ialah komputer utama NVIDIA untuk kereta pintar yang mengawal pelbagai sistem penting dengan kelajuan ultra pantas. Dengan kuasa pengkomputeran 508 trilion operasi sesaat (TOPS), ia mengurus fungsi seperti keselamatan aktif berasaskan AI, sensor kenderaan, dan pengurusan bateri yang lebih cekap.
Teknologi 800V baharu Volvo turut diperkenalkan dalam ES90, membolehkan pengecasan lebih pantas, prestasi lebih baik dan kecekapan lebih tinggi. ES90 mampu menambah 300 kilometer jarak pemanduan dalam hanya 10 minit di stesen pengecasan pantas 350 kW, dengan jarak pemanduan maksimum sehingga 700 kilometer berdasarkan ujian WLTP.
Teknologi Safe Space – Perlindungan Menyeluruh
Volvo ES90 dibangunkan mengikut Volvo Cars Safety Standard, yang menggunakan 55 tahun penyelidikan keselamatan dunia nyata dan melangkaui keperluan ujian rasmi.
Struktur badan yang kukuh, sistem keselamatan pasif termaju serta zon perlanggaran yang dioptimumkan memberikan perlindungan tambahan. Sistem keselamatan aktifnya pula menggunakan satu lidar, lima radar, tujuh kamera, dan dua belas sensor ultrasonik.
Set sensor ini membolehkan penglihatan lebih luas daripada keupayaan manusia, membantu mengelakkan perlanggaran dan bahaya di jalan raya. Sistem pemantauan pemandu turut disertakan secara standard untuk mengesan tahap tumpuan pemandu dan memberikan bantuan jika diperlukan.
Selain itu, ciri amaran pembukaan pintu membantu melindungi penunggang basikal atau pejalan kaki apabila pintu dibuka. Ciri pengesan pergerakan dalam kabin pula boleh mengesan pergerakan sekecil pernafasan bayi, membantu mengelakkan insiden tertinggal individu dalam kenderaan.
Volvo ES90 kini boleh ditempah di pasaran terpilih dan akan diperluaskan ke lebih banyak negara sepanjang tahun ini hingga 2026. Muat turun kit media di es90event.volvocars.com.






































