Alliance Bank telah diiktiraf sebagai antara “20 Syarikat Senarai Awam Terbaik ASEAN” yang memiliki amalan tadbir urus korporat yang cemerlang sempena Anugerah 2021 Corporate Governance Scorecard ASEAN (ACGS) baru-baru ini.

Amalan tadbir urus korporat terbaik antarabangsa telah digunakan sebagai asas untuk penilaian anugerah selain proses semakan oleh entiti yang sebaya.

Proses penilaian merangkumi lima bidang, antaranya hak pemegang saham, layanan yang saksama terhadap pemegang saham, peranan pemegang kepentingan, pendedahan dan ketelusan serta tanggungjawab lembaga pengarah.

Program anugerah ini merupakan inisiatif oleh ASEAN Capital Markets Forum (ACMF) yang
terdiri daripada pengawal selia pasaran modal daripada kesemua 10 bidang kuasa ASEAN.
ACGS telah diadakan buat pertama kalinya pada tahun 2011 sebagai sebahagian daripada
usaha untuk menggalakkan integrasi serantau dan kawasan ASEAN sebagai destinasi kelas aset dan pelaburan.

Dalam atur cara anugerah yang sama, Alliance Bank turut menerima “ASEAN Asset Class
Award” yang diberikan kepada syarikat senarai awam yang mencapai skor minimum sebanyak 97.5 mata daripada 130 mata maksimum serta anugerah sebagai “Top 3 PLCs per Country”.

Kellee Kam Group Chief Executive Director of Alliance Bank

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kellee Kam berkata bahawa anugerah yang diterima mencerminkan budaya korporat bank serta penekanan terhadap melakukan tindakan yang betul dalam semua perkara.

“Mengutamakan pemegang kepentingan adalah sebahagian daripada DNA kami yang memandu semua strategi, keputusan dan tindakan kami dalam menyampaikan nilai kepada para pelanggan, pekerja dan komuniti kami. Anugerah yang diterima membuktikan kecemerlangan dan profesionalisme kami di Alliance Bank dalam melaksanakan tadbir urus korporat yang sewajarnya dalam semua bidang perniagaan kami,” Kam berkata.

Semua anugerah ini diterima selepas bank dinobatkan sebagai juara “Excellence Award for
Corporate Governance Disclosure” antara syarikat senarai awam Malaysia untuk MSWG ASEAN Corporate Governance Award 2021 yang dianjurkan oleh Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG).