Bukan nak puji melambung tapi ini adalah realiti dan hakikat yang dapat dilihat oleh Samsung sebagai peneraju telefon pintar yang cukup gigih memperkenalkan produk baru setiap kali masuk tahun baharu.

Setiap kali tahun berubah, misalnya tahun 2020 maka siri S20 diperkenalkan dan diteruskan menerusi S21 dan terkini memasuki tahun 2022, maka lahirlah ‘baby’ baharu S22 pula.

Nah, sekali lancar sampai tiga varian diperkenalkan bermula dari model asas S22, S22+ dan S22 Ultra yang dilengkapi pen stylus yang serba praktikal.

Walaupun ramai yang beranggapan Samsung hanya mengeluarkan peranti yang ditambah baik setiap tahun, namun berbeza bagi model siri S22 kali ini.

Prebiu.com yang sekali lagi terpilih oleh Samsung Malaysia untuk menguji peranti model S22+ ini sebelum dilancarkan secara rasmi kepada umum, cukup bertuah dapat merasai sendiri pengalaman memegang telefon ini yang sebelum ini hanya melihat iklannya dikaca televisyen sahaja.

Tunggu apa lagi, mari kita terokai apa yang menarik pada telefon pintar S22+ ini? Dalam ulasan sisi pandang pertama pada peranti ini ialah rekaan luaran dan spesifikasi yang dinaiktaraf berbanding peranti siri S21 yang dilancarkan pada tahun lalu.

Rekaan Luaran

Peranti S22+ hadir dengan skrin bersaiz 6.6-inci iaitu 0.5 inci lebih besar berbanding model asas S22 (6.1 inci). Penambahbaikan paling ketara pada rekaan badan peranti ini ialah saiz bezelnya lebih nipis dan kelihatan begitu simetri serta mudah digengam.

Peranti ini juga dilengkapi teknologi Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120HZ adaptif dikekalkan dan dipertingkatkan dengan pengenalan ciri Samsung Vision Booster boleh meningkatkan keterangan skrin yang gelap bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih jelas walaupun di bawah cahaya matahari yang terik.

Penggunaan skrin yang rata turut dikekalkan dan tahap ketahanan siri S22 ini ialah menggunakan lapisan Gorilla Glass Victus+.

Telefon pintar Siri S22 menjadi yang pertama di dunia menggunakan panel kaca tahan lasak ini di pasaran dunia dan bahan yang sama digunakan juga pada panel belakang menjadikan peranti ini cukup lasak jika tiba-tiba terlepas daripada genggaman tangan.

Malah peranti dengan saiz dimensi 157.4 x 75.8 x 7.6 mm ini diperkuatkan lagi dengan penggunaan rangka Armor Aluminum yang memberikan perlindungan badan peranti ini lebih kukuh pada setiap sisi, jadi anda tidak perlu bimbang jika ia terjatuh dilantai.

Kemampuan biometri pula ialah pengimbas cap jari ultrasonik terbina di bawah skrin. Kedudukan sensor adalah cukup ergonomik untuk melakukan proses nyahkunci. Dengan pandemik sudah memasuki tahun ketiga, sistem pengimbas cap jari adalah lebih berguna berbanding imbasan wajah yang masih lagi disertakan sekiranya diperlukan.

Rekaan Kamera Unik

Sebagaimana rekaan pada model siri S21, rekaan Contour Cut Design masih dikekalkan untuk bonggol kamera namun kelihatan tidak terlalu tebal dan menonjol walaupun masih tidak rata apabila diletakkan di atas meja.

Peranti ini hadir dengan sistem tri-kamera dengan penambahbaikan ketara iaitu 50+12+10 MP berbanding 12+64+12MP tahun lalu.

Sensor yang lebih besar diberikan pada lensa sudut lebar untuk memberikan prestasi mod malam yang lebih baik serta hadir dengan sistem OIS yang boleh mengurangkan gegaran dan ciri kamera Nightography yang mampu menghasilkan gambar malam yang lebih jelas serta jitu.

Lensa telefoto kini sekadar dipadankan dengan sensor 10MP tetapi boleh melakukan zum optikal sehingga 3X dan hadir juga dengan OIS manakala lensa ultra sudut lebar dipadankan dengan sensor 12MP seperti tahun lalu.

Samsung Galaxy S22+ memiliki kemampuan kalis air sehingga IP68 dimana peranti anda boleh bertahan pada kedalaman 1.5 meter hingga 30 minit. Ciri ini membolehkan anda tidak perlu bimbang jika peranti ini basah terkena air hujan.

Spesifikasi 

Samsung Galaxy S22+ buat pertama kalinya dilengkapi cip Snapdragon 8 Gen 1 dengan memori sebesar 8GB RAM dan storan sehingga 128GB namun dengan menerusi ciri RAM Plus pengguna boleh menambah 4GB RAM secara maya sekiranya diperlukan.

Slot untuk kad sim pula dipindahkan ke bahagian bawah sama seperti S21. Slot kad sim pula mempunyai ciri dua slot iaitu di atas dan di bawah tetapi tiada ruang untuk slot kad mikro untuk storan tambahan.

Bateri yang dilengkapi pada peranti ini adalah 4500 mAh dengan sokongan sistem pengecasan pantas sehingga 45W.

Diatas kertas, tahap upaya bateri mampu bertahan sehingga 18 jam jika menggunakan internet manakala masa bercakap sehingga 36 jam untuk pengecasan penuh.

Sokongan pengecasan nirwayar ialah sehingga 15W dan telefon boleh mengecas peranti lain menerusi ciri Wireless PowerShare. Pengecas tidak disertakan dengan setiap pembelian kerana Samsung sekadar membekalkan kabel USB-C ke USB-C sebagai usaha untuk mengurangkan pencemaran plastik.

Melengkapi spesifikasi peranti ialah sokong WiFi 6E, Bluetooth 5.2, kesemua sistem GPS di muka bumi dan ketahanan kalis air IP68. Pakej menjadi semakin lengkap dengan sokongan sistem audio Dolby ATMOS menerusi pembesar suara stereo.

Satu lagi perkara menarik ialah peranti ini dibekalkan Android 12 dengan pelancar One UI 4.1. Ini ialah sistem operasi yang telah digunakan oleh siri S21, Z Fold3 dan Z Flip3 sejak Disember tahun lalu.

One UI 4.1 ialah pelancar dengan antaramuka yang ringkas, ergonomik dan kemas. Malahan trend semasa oleh semua pengeluar peranti Android ialah untuk mengekalkan sebanyak mungkin elemen Android asal pada pelancar mereka supaya proses mengemaskini boleh diberikan dengan lebih pantas menerusi Project Treble.

Harga pasaran

Samsung Galaxy S22+ yang bakal dilancarkan di pasaran negara ini akan ditawarkan pada harga RM4,099 untuk 8GB RAM/128GB storan dalam empat warna menarik iaitu Phantom White, Green, Pink Gold dan Phantom Black.

* Nantikan ulasan lebih mendalam Samsung Galaxy S22+